fbpx
NOR AZIAH menunjukkan stok santan bagi tempahan awal yang diterima sempena mantai ketika ditemui di Pekan Chengkau, Rembau semalam. – NOR AINNA HAMZAH

‘Hari ini 200kg, esok mungkin 300kg santan ditempah untuk mantai’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

REMBAU – Seorang peniaga santan di Pekan Chengkau, di sini menerima hampir 500 kilogram (kg) tempahan awal santan sempena tradisi mantai selama dua hari.

Menurut Nor Aziah Abdul Ghani, 64, berkata, permintaan bermula semalam itu adalah bagi kegunaan penduduk setempat meneruskan tradisi keluarga masing-masing menyediakan juadah seperti rendang dan lemang.

Katanya, terdapat tempahan daripada setiap pelanggan sehingga mencecah 25 kilogram dan atas sebab itu, pihaknya mengalu-alukan orang ramai membuat tempahan awal bagi melancarkan hari mantai.

“Selalu di kampung (Rembau) macam inilah persiapan dua hari sebelum puasa. Hari ini (semalam) tempahan awal sahaja dalam 200kg. Esok (hari ini) saya anggar tempahan awal cecah 300 kilogram.

“Bagi pelanggan yang ingin membeli secara terus di kedai pula, mereka boleh berbuat demikian pada pukul 10 pagi ke atas kerana kita mampu menyediakan kira-kira 400kg santan sehari,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Dalam pada itu, Nor Aziah yang sudah 13 tahun berniaga santan berkata, santannya kini dijual dengan harga RM14 seki­logram.

Menurutnya, bermula de­ngan harga jualan RM8 seawal perniagaannya itu, harga santan makin meningkat mengikut harga kelapa.

“Bagaimanapun alhamdulillah kerana kita mempunyai stok kelapa yang ditempah dari seluruh negara sekitar 3.5 tan dengan harga sebiji kelapa RM3.20.

“Namun, dijangkakan pada Ramadan ini, harga kelapa akan naik 20 sen lagi dan kita akan jual santan dengan harga mencecah RM15,” katanya yang dibantu oleh anak bongsu, Nor Amira Mazlan, 27.

Tambahnya, dengan harga jualan sebegitu, dia masih memperoleh untung, namun tidak semewah dahulu ketika harga kelapa sebiji RM1.70. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN