Pada 8 Februari lalu, telah berlangsung acara melepaskan spesies ikan asli tempatan di Sungai Kenaboi, Jelebu, Negeri Sembilan oleh Release Fish Back (RFB) iaitu sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) yang berpengkalan di Johor Bahru, Johor dengan kerjasama Jabatan Perikanan Negeri Sembilan.
RFB bermatlamatkan untuk melestarikan semula sungai-sungai di Malaysia yang diketahui semakin terancam dengan kebanjiran spesies ikan pendatang.
Antara objektif utama RFB adalah melepaskan spesies ikan asli tempatan di beberapa sungai dipilih.
Buat masa sekarang, program melepaskan ikan asli tempatan dilakukan dua kali pada Februari setiap tahun di sungai-sungai terpilih di Negeri Sembilan dan Johor.

Walaupun pada awalnya program ini kurang mendapat sambutan dan sokongan, namun lama-kelamaan ia mula menjadi perhatian orang ramai terutamanya pemancing dan sokongan daripada jabatan-jabatan kerajaan terbabit.
Di Sungai Kenaboi tempoh hari, sebanyak 25,000 ekor ikan spesies asli tempatan seperti baung, lampam, sebarau dan terbul telah berjaya dilepaskan dengan selamat.
Turut bersama di dalam program tersebut ialah Pengarah Perikanan Negeri Sembilan, Kasim Tawe; Ketua Cawangan Sumber Perikanan Tangkapan, Pejabat Perikanan Negeri Sembilan, Doreen Wee Siew Leen; Ketua Daerah Perikanan, Pejabat Perikanan Daerah Jelebu, Mohd. Azhar Jusoh dan Pengurus Kuala D’Limau Campsite, Aziz Said.
RFB mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang hadir dan memberikan sokongan kepada program ini.
Semoga lebih ramai lagi akan turut serta dalam program-program yang akan datang.
Selamatkan spesies ikan asli tempatan kita untuk generasi akan datang.














