fbpx
Priya yang merupakan pengarah 13 stesen radio mengakui tugasnya itu mencabar.

Kerjaya berkembang natijah sifat diri susah kata ‘tidak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“SEJAK kecil, saya memang seorang yang gemar mendengar radio dan ia sentiasa menjadi sebahagian daripada kehidupan harian saya.

“Saya suka bagaimana radio boleh menghubungkan orang ramai, memberikan maklumat, hiburan serta inspirasi kepada pendengar. Setiap kali mendengar suara penyampai radio, saya dapat merasakan kehangatan dan keseronokan yang mereka bawa ke udara.”

Itu antara mukadimah yang dilontarkan wanita berusia 37 tahun ini tatkala diajukan mengenai hidupnya dan radio.

Bagi Priya Dharshini Prabakaran, sejak dahulu, radio sentiasa memberikan sesuatu yang segar dan mendekatkan dirinya dengan dunia luar tanpa perlu bergantung pada skrin.

Dek kerana minat mendalamnya dalam bidang radio jugalah membawa dan membentuk kepada kerjayanya kini.

Priya yang tidak asing lagi dalam industri radio negara ini mengakui minatnya terhadap dunia penyiaran radio semakin mendalam apabila dia menyedari betapa radio mempunyai kuasa untuk mencipta impak besar dalam kehidupan masyarakat.

“Selain menjadi medium hiburan, ia juga memainkan peranan penting dalam menyebar berita dan maklumat relevan.

“Saya terinspirasi bagaimana penyampai radio mampu menyentuh hati pendengar dengan kata-kata mereka.

“Dari situlah, saya mula bermimpi untuk menjadi sebahagian industri ini dan memberikan sumbangan saya sendiri,” katanya yang pernah menjadi penyampai tiga stesen radio bahasa Inggeris dan kini bertindak sebagai pengarah 13 stesen radio swasta.

Cerita anak kelahiran Kuala Lumpur yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Psikologi dari Help University ini, laluan kerjayanya dalam bidang radio bertitik tolak ketika dia masih menuntut di kampus.

Beritahunya, dia mengambil peluang untuk bekerja secara sambilan di sebuah stesen radio tempatan.

“Dari situ, saya mula memahami dunia penyiaran dan merasa seronok dengan persekitarannya,” katanya kepada K-Wanita.

Kongsinya, setelah melihat stesen radio beroperasi, Priya mula menyedari bahawa ada banyak aspek menarik di sebalik tabir yang mungkin ramai tidak nampak.

“Pada masa yang sama, saya juga belajar tentang bagaimana sesuatu program radio dirancang dan dikendalikan.

“Mungkin sudah rezeki dan dikatakan takdir, ketika ke udara, salah seorang daripada ‘bos’ bertanya sama ada saya berminat untuk menjadi penyampai radio sepenuh masa atau tidak.

“Saya seorang yang susah berkata ‘tidak’, jadi saya mencuba,” katanya yang memulakan kerjaya sejak sedekad lalu bersama beberapa stesen radio seperti Hitz, Mix dan Lite FM.

Jelas Priya, meskipun berjaya sebagai penyampai radio, dia menyedari bahawa dirinya lebih cenderung bekerja di belakang tabir, merancang dan menguruskan perjalanan sesebuah stesen radio.

Ujarnya dari situ, dia mula mendalami aspek pengurusan dan akhirnya diberi peluang untuk menggalas tanggungjawab lebih besar.

Peranan dan amanah tersebut dipikul sebaik mungkin hingga dia diberi kepercayaan dan dilantik sebagai pengarah radio bermula Jun tahun lalu.

Lebih membanggakan, penat lelahnya juga ‘terbayar’ apabila dinobatkan disebagai salah seorang penerima Nona Superwoman Award 2024 bagi kategori Nona Media Award yang berlangsung bulan lalu.

Bagi Priya, pengalaman itu membuktikan bahawa kadangkala laluan kerjaya seseorang mungkin berbeza daripada apa yang dibayangkan, tetapi ia boleh membawa kejayaan yang lebih besar.

Priya menyifatkan kejayaannya dianugerahkan Nona Superwoman Award 2024 yang berlangsung bulan lalu sebagai penghormatan buat semua wanita dalam industri media.

Mengulas mengenai kejayaan dikecapi, Priya menyifatkan pengiktirafan tersebut bukanlah milik peribadi tetapi juga satu penghormatan buat semua wanita yang bercita-cita tinggi dalam industri media dan penyiaran.

“Ia membuktikan bahawa wanita juga mampu berada di kedudukan kepimpinan dalam bidang yang sebelum ini didominasi oleh lelaki.

“Saya berharap pencapaian ini menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus mengejar impian mereka tanpa rasa ragu.

“Saya juga percaya bahawa kejayaan ini bukan hanya tentang saya, tetapi juga tentang pasukan hebat yang bekerja bersama saya,” katanya.

Ditebak mengenai cabaran sebagai ketua yang dipertanggungjawabkan mengawal selia 13 saluran radio, Priya mengakui ia bukanlah satu tugas serta kerja yang mudah.

Baginya, industri penyiaran radio sentiasa berkembang dengan teknologi baharu dan perubahan dalam cara orang mendengar kandungan.

“Kami perlu sentiasa inovatif dan fleksibel dalam memenuhi kehendak pendengar.

“Ini bermakna, kami perlu memahami trend semasa dan menyesuaikan program yang ditawarkan agar tetap relevan.

“Perubahan tingkah laku pendengar yang kini lebih banyak memilih kandungan digital juga menjadi cabaran yang perlu diatasi.

“Dalam bidang radio, kreativiti adalah elemen penting, tetapi pada masa yang sama, ia harus diselaraskan dengan keperluan pasaran dan strategi syarikat.

“Saya perlu memastikan keseimbangan antara kebebasan berkarya dan hala tuju perniagaan.

“Setiap ahli pasukan mempunyai idea dan gaya tersendiri, jadi tugas saya adalah untuk menyatukan visi mereka agar selari dengan objektif syarikat tanpa menghilangkan kreativiti mereka,” katanya.

Ungkap Priya yang meminati penyanyi popular Anuar Zain, selaku pemimpin, dia juga bertanggungjawab memastikan prestasi stesen radio sentiasa berada pada tahap terbaik.

Ia termasuk dari segi pengurusan bakat, kandungan, pendapatan dan pertumbuhan jenama.

Kata Priya, tekanan untuk sentiasa mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) serta memastikan syarikat terus berkembang memerlukan ketahanan mental yang tinggi.

Justeru, katanya, penting untuk mempunyai sistem sokongan yang baik dan strategi pengurusan tekanan yang berkesan.

Mengakhiri perbualan, dia yang juga bekas penyanyi opera klasik sejak berusia lapan tahun sehingga menyertai pertandingan di peringkat sekolah menengah menyifatkan serta percaya keyakinan adalah sesuatu yang boleh dibina dengan masa dan pengalaman.

“Jika anda (wanita) benar-benar berminat dalam bidang radio tetapi merasa tidak yakin atau malu, langkah pertama adalah keluar dari zon selesa dan mencuba.

“Mulakan dengan perkara kecil seperti bercakap di hadapan cermin atau merakam suara sendiri.

“Latihan ini dapat membantu anda membiasakan diri dengan suara anda sendiri dan membina keyakinan dalam berkomunikasi.

“Dunia radio memerlukan suara dan perspektif yang berbeza. Maka, jangan ragu untuk mencuba dan menonjolkan bakat anda,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN