Roshuhaida (kanan) menemani suaminya, Nik Azhar yang semakin pulih selepas menerima rawatan di wad HSNZ, Kuala Terengganu kelmarin.

‘Suami beritahu dia tak mahu masuk ladang lagi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DUNGUN – Penternak kerbau yang cedera parah diserang se­ekor beruang matahari di Kampung Jerangau Sungai di sini, pada Khamis lalu mengakui sudah serik dan tidak mahu lagi menguruskan ternakan di dalam ladang kelapa sawit tersebut.

Isteri mangsa, Roshuhaida Mokhtar, 39, berkata, suaminya, Nik Azhar Daud, 40, yang baru tersedar selepas menjalani pembedahan kelmarin memberitahu insiden serangan haiwan buas itu masih terngiang-ngiang dalam fikirannya.

“Dia (Nik Azhar) kelihatan amat trauma dan berkali-kali memberitahu tidak mahu memasuki ladang kepala sawit itu lagi kerana takut terserempak dengan beruang matahari.

“Saya cuba menenangkannya dan meminta berehat bagi mempercepatkan tempoh penyembuhan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Roshuhaida berkata, suami­nya kini stabil setelah menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu pada pukul 3.40 pagi kelmarin.

Dia berkata, pembedahan itu melibatkan bahagian belakang leher, tangan dan kaki kanan yang cedera parah akibat digigit ­beruang matahari terbabit.

“Suami saya menerima ba­nyak jahitan terutama pada bahagian belakang leher. Alhamdulillah keadaannya kini semakin stabil,” katanya.

Kosmo! pada Jumaat melaporkan Nik Azhar diserang seekor beruang matahari sewaktu sedang berehat di bawah sebatang pokok sambil memantau kerbau ternakannya di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Jerangau Sungai.

Dalam kejadian pada pukul 11 pagi itu, mangsa terpaksa menikam badan beruang matahari itu dengan sebilah parang bagi mengelak daripada terus ­diserang haiwan buas itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN