fbpx
KOKURIKULUM berkredit memupuk nilai-nilai murni seperti tanggungjawab, disiplin yang baik dan pengukuhan integriti. – GAMBAR HIASAN

K2

Kokurikulum berkredit lahir graduan berkemahiran tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PELAKSANAAN kokurikulum berkredit di institusi pengajian tinggi menekankan usaha penyerlahan potensi pelajar melalui pembangunan kompetensi individu dan kemahiran insaniah ke dalam pembelajaran formal. 

Kokurikulum berkredit adalah pelaksanaan aktiviti kokurikulum yang dinilai sebagai sebahagian daripada program akademik yang ditawarkan di institusi pengajian tinggi. 

Seperti yang disarankan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), perlaksanaan aktiviti kokurikulum dikira sebagai kursus yang mempunyai kredit akademik, sama seperti kursus akademik yang lain dan merupakan salah satu syarat untuk bergraduat dengan penglibatan pelajar dalam aktiviti-aktiviti tertentu untuk memperoleh jumlah kredit yang ditetapkan.

Pengalaman Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam menawarkan kursus kokurikulum berkredit selama 24 tahun sejak Ogos 2006 adalah berpaksikan kepada usaha pembangunan sahsiah pelajar dengan pembinaan kemahiran insaniah. 

Sebanyak 60 kursus kokurikulum berkredit ditawarkan di UPM yang disusun mengikut lapan teras utama iaitu khidmat komuniti, kebudayaan, sukan, kesukarelawanan, daya usaha dan inovasi, kepimpinan, pengucapan awam serta keusahawanan. 

Pemerkasaan pembangunan pelajar turut menjadi perhatian utama melalui aspirasi ‘True North’ UPM yang meletakkan pengalaman pembelajaran dan kehidupan terbaik sepanjang pengajian di kampus. 

Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar UPM juga telah menyusun kursus kokurikulum berkredit yang mengasimilasikan kemahiran insaniah yang diluluskan oleh Senat UPM dengan tujuan untuk membangunkan potensi pelajar secara holistik. 

Pada masa yang sama, usaha memperkasa perlaksanaan kokurikulum berkredit di universiti awam juga dilakukan dari masa ke masa melalui Majlis Kokurikulum Universiti Awam (UniCC) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Pembangunan sahsiah pelajar dan pembinaan kemahiran insaniah melalui kokurikulum berkredit dapat memupuk nilai-nilai murni seperti tanggungjawab, disiplin yang baik dan pengukuhan integriti. 

Sehubungan itu, usaha penyerlahan kemahiran insaniah pelajar dapat dipercepatkan dengan konsep Keserakanan Belia-Dewasa atau Youth-Adult Partnership (Y-AP). Konsep ini menekankan keserakanan antara golongan belia dan dewasa yang merupakan perkongsian yang menguntungkan antara satu sama lain.

MAHASISWA perlu cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum. – GAMBAR HIASAN.

Pensyarah atau fasilitator yang mengendalikan kelas kokurikulum berkredit akan berperanan sebagai orang dewasa yang memiliki kearifan dan pengalaman manakala pelajar sebagai golongan belia yang idealistik memiliki keupayaan dan kreativiti.

Oleh yang demikian, pendekatan Keserakanan Belia-Dewasa berfungsi sebagai platform dalam menggabungkan kearifan dan idealistik berkenaan melalui bimbingan dan pementoran semasa pelaksanaan kelas kokurikulum berkredit.

Berdasarkan kajian Pembangunan Belia Positif di peringkat nasional mendapati golongan belia di Malaysia memerlukan sokongan aset luaran yang merangkumi jaringan serta akses kepada komuniti dan industri berbanding aset kekuatan dalaman. 

Faktor kekuatan aset dalaman belia dipengaruhi oleh peluang dan akses golongan belia kepada pendidikan yang lebih meluas termasuk peluang untuk terlibat dalam program latihan dan pembangunan kemahiran, termasuk pendidikan formal dan bukan formal.

Berdasarkan dapatan kajian berkenaan, mahasiswa juga merupakan kelompok yang memerlukan sokongan luaran bermula dari kampus, komuniti dan organisasi. Untuk merealisasikan proses sokongan luaran ini berlaku secara berkesan, pelajar memerlukan golongan dewasa sebagai pembimbing dan menjadi mentor kepada penyerlahan potensi mereka. 

Ini adalah kerana akses dan jaringan yang dimiliki oleh pensyarah atau fasilitator sebagai mentor dan pembimbing sebenarnya adalah akses yang turut dimiliki oleh pelajar yang dibimbing. 

Oleh itu, proses bimbingan dan pementoran dalam konsep Y-AP melalui kelas kokurikulum berkredit terbukti dapat mempercepatkan proses pembinaan belia positif yang memiliki karakter dan kompetensi.

Pembangunan kemahiran insaniah melalui kokurikulum berkredit yang menggunakan pendekatan konsep itu dapat membantu pelajar memantapkan kemahiran komunikasi, memperkasa kepemimpinan pelajar melalui pendayaupayaan, kerja berpasukan, pemikiran kritis dan menjana kreativiti pelajar. 

Selain itu, kursus kokurikulum berkredit dapat menyokong kepada keseimbangan pendidikan dengan melengkapkan pelajar dengan pengalaman di luar bilik kuliah untuk membentuk individu yang holistik. 

Pada akhirnya, penglibatan pelajar dalam kelas kokurikulum berkredit dapat memangkin kebolehpasaran graduan kerana peranan yang dimainkan oleh pensyarah atau fasilitator berkenaan dapat membantu pelajar meningkatkan kebolehpasaran mereka dengan kemahiran tambahan yang diperlukan oleh majikan.

Pihak majikan juga akan turut mendapat manfaat melalui pengetahuan dan kepakaran yang dimiliki golongan belia terhadap teknologi semasa melalui konsep keserakanan ini dan mewujudkan ekosistem organisasi yang memerlukan antara satu sama lain. 

Saban tahun sejumlah hampir 300,000 graduan institusi pengajian tinggi baik dari dalam dan luar negara menantikan peluang pekerjaan di Malaysia. 

Berdasarkan dapatan kajian tinjauan yang dilakukan kepada golongan belia oleh penulis dan pasukan penyelidik UPM telah mendapati golongan ini inginkan pekerjaan dan sumber pendapatan yang tetap. 

Golongan belia sangat risau dengan pengangguran dalam keadaan peluang pekerjaan yang terhad. 

Di samping itu, dapatan kajian mendapati graduan mendambakan gaji yang setimpal dan berpadanan dengan kelayakan mereka, terutamanya graduan lepasan institusi pengajian tinggi.

Pada masa yang sama, usaha menyemarakkan peluang kolaborasi antara institusi pengajian tinggi dan pemain industri melalui kursus kokurikulum berkredit perlu dilakukan secara berterusan agar graduan yang dihasilkan sepadan dengan keperluan industri pada masa 

kini. 

Selain itu, corak pendekatan pengajaran dan pembelajaran kokurikulum berkredit terutamanya di institusi pengajian tinggi perlu berubah kepada pendekatan yang berorientasikan kajian kes dan pembelajaran berasaskan masalah dengan membawa cabaran realiti ke dalam pelaksanaan kelas oleh pensyarah atau fasilitator.

Sudah sampai masanya golongan mahasiswa tidak terus tenggelam dalam suasana, sebaliknya merekalah yang mampu mengawal suasana dalam menyerlahkan potensi sebagai rakan kepada pembangunan negara.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN