KEMBALI lagi dengan kisah dunia persekolahan. Jika dalam artikel terdahulu menyentuh perihal debaran calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, hari ini fokus penulis mengenai tawaran kemasukan pelajar ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Seperti yang kita sedia maklum, tanggal 13 Januari lalu keputusan tawaran tingkatan satu dan tingkatan empat ambilan 2025 ke MRSM telah pun diumumkan.
Daripada 93,635 calon menduduki Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM) dan Ujian Khas Ulul Albab, seramai 8,909 pelajar ditawarkan ke 56 MRSM di seluruh negara. Menyusul, tawaran kemasukan ke SBP bagi tingkatan satu dan tingkatan empat sesi 2025/2026 boleh disemak pada 31 Januari. Pasti ramai berdebar menanti keputusan.
Buat pelajar yang berjaya, tahniah diucapkan. Semoga ini menjadi permulaan yang baik buat kalian memulakan pengembaraan menggali ilmu dan mengenal itu apa makna hidup berdikari.
Bagi yang tidak berjaya, jangan bersedih atau putus asa. Tidak berjaya masuk ke sekolah berasrama bukan bermakna anda tidak pandai atau tidak bagus. Mentaliti sebegini seharusnya dibuang jauh-jauh.
Perlu diingat, jumlah yang memohon terlalu ramai sedangkan tempat terhad. Kuota juga memainkan peranan dalam menentukan kelayakan, misalnya bagi kemasukan ke MRSM keutamaan diberikan kepada pelajar daripada keluarga B40 dan kawasan luar bandar.
Jadi, jangan lemah semangat. Percayalah, di mana pun kalian belajar sekiranya bersungguh-sungguh pasti akan berjaya dan meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM kelak.
Penulis terpanggil untuk menjentik ‘manja’ ibu bapa yang ‘terlebih emosi’ apabila anak gagal dalam permohonan. Tidak dinafikan perasaan sedih dan kecewa itu pasti ada tapi usah terbawa-bawa sehingga mengganggu perasaan anak-anak.
Teringat perbualan ibu-ibu dalam beberapa grup WhatsApp, masing-masing menyatakan rasa tidak puas hati kerana anak mereka pelajar cemerlang di sekolah.
Kata mereka, tak logik anak gagal masuk MRSM dan tiada peluang membuat rayuan. Habis semua dipertikai termasuk bab kuota dan corak pemilihan. Tak pasal-pasal anak yang bersedih tambah remuk hatinya apabila dengar si ibu membebel macam murai tercabut ekor. Itu belum lagi semakan tawaran ke SBP, nanti sekali lagi ‘berkicau’.
Sabar puan-puan, mana yang boleh buat rayuan teruskan merayu. Bagi yang tiada peluang, percayalah dengan aturan Allah SWT. Dia Maha mengetahui apa yang terbaik. Tidak semestinya apa yang kita rasa terbaik buat anak adalah benar-benar terbaik.
Kadang-kadang kita memaksa anak untuk memenuhi kemahuan walhal tanpa sedar kita sedang melukakan hati mereka. Bukan semua permohonan kemasukan asrama adalah atas kehendak mereka. Banyak kita saksikan sebelum ini, akibat dipaksa anak-anak yang layak masuk asrama akhirnya kembali ke sekolah harian sebab ‘homesick’, tidak serasi dan macam-macam lagi faktor.
Jadi, berlapang dada ya ibu ayah, usah ribut-ribut. -KOSMO! ONLINE














