fbpx
Gambar hiasan

Tulis wasiat bukan makna ‘buang tabiat’ nak mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Salah satu sebab harta pusaka masyarakat Islam yang kini mencecah berbilion ringgit tidak dapat diuruskan waris untuk pembangunan ekonomi adalah kerana berpendapat penulisan wasiat itu tidak penting.

Masyarakat Melayu begitu sensitif terhadap cadangan menulis wasiat yang diutarakan dalam keluarga masing-ma­sing sehingga timbul persepsi ibu bapa, suami atau isteri sudah ‘buang tabiat’ dan menyangka ajal mereka sudah semakin hampir.

Tidak salah sebenarnya kita membuat persiapan rapi sebelum meninggal dunia kerana usaha ini akan dapat memudahkan waris meneruskan kelangsungan hidup dengan sebaiknya.

Semua orang di dalam dunia ini pasti akan mati, tetapi bila dan di mana serta apa asbab kematian itu masih lagi dalam persoalan.

Perkara tersebut begitu subjektif untuk difikirkan tetapi dalam tempoh hayat masih lagi dikandung badan, apalah salahnya kita mengambil sedikit masa untuk melantik mana-mana syarikat pemegang amanah yang berkelayakan dan berkemahiran untuk menulis wasiat masing-masing.

Pelbagai promosi perkhidmatan berkaitan wasiat di pasaran bertujuan untuk meningkat kesedaran masyarakat tentang pentingnya melunaskan tanggungjawab tersebut bagi memudahkan urusan waris apabila ibu bapa, suami atau isteri sudah tiada lagi.

Ketika masih sihat dan waras lagi, kita tidak perlu menunggu terlalu lama untuk melaksanakan penulisan wasiat kerana segala perkhidmatan tersebut telah dipermudahkan, malah ejen yang berpengalaman akan datang ke premis pelanggan untuk memberi khidmat bantuan sehingga selesai urusan.

Dokumen yang diperlukan juga tidak begitu remeh untuk diproses bagi melengkapkan sesebuah wasiat yang baik termasuklah menitipkan pelbagai pesanan yang indah-indah kepada anak-anak dan waris agar ia menjadi satu panduan dan nasihat berguna bagi mereka mengamalkannya.

Sekiranya ibu bapa, suami atau isteri yang tidak menulis wasiat, kesnya agak rumit untuk diselesaikan, malah akan mengambil masa yang agak lama bergantung kepada pelbagai faktor sehingga boleh menyebabkan ada pihak yang tidak dapat mendapat pembelaan sewajarnya termasuk mengusahakan harta yang ditinggalkan itu.

Jika dibincangkan tentang hal harta pusaka, pastinya akan timbul pelbagai cerita sedih dan pedih untuk dikenang sehingga ada yang bergaduh, bercerai, putus hubungan adik beradik, malah ada yang membawanya hingga ke muka pe­ngadilan di mahkamah.

Jangan bersikap sambil lewa tidak mahu ambil tahu tentang harta yang dimiliki hasil daripada titik peluh selama ini untuk diserahkan kepada waris, keluarga dan anak-anak secara sah di sisi agama dan undang-undang bagi meneruskan kelangsungan hidup mereka nanti.

Sekiranya isu wasiat ini terlalu sensitif untuk difikirkan pada masa sekarang tetapi paksalah diri sekurang-kurangnya untuk memulakan langkah dengan mengisi borang penama bagi akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja atau Amanah Saham Bumiputera bagi memudahkan urusan waris apabila kita sudah tiada lagi nanti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN