fbpx
Downgrade kehidupan boleh membuatkan kita merancang kewangan kita. - Gambar hiasan

Jangan malu downgrade gaya hidup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Kita sudah melangkah ke tahun 2025. Syukur kepada Allah kita masih dipanjangkan umur dan dikurniakan kesihatan yang baik untuk memulakan tahun 2025.

Orang kata another year, another adventures. Setiap kali masuk tahun baharu, tidak kira sama ada yang tua atau muda setiap daripada kita mempunyai matlamat untuk dicapai pada tahun tersebut.

Ada yang menanam azam baharu, ada juga yang mahu melunaskan azam yang tertangguh sebelum ini.

Bukan semua orang dapat mencapainya kerana ia memerlukan komitmen yang tinggi. Kadang-kadang lain dirancang, tetapi lain pula yang berlaku. Jadi azam sama dibawa ke tahun-tahun yang berikutnya.

Ramai yang menjangkakan 2025 tahun yang mencabar terutama dari segi kos sara hidup.

Bulan lalu, kira-kira 1.6 juta penjawat awam menerima gaji baharu bagi fasa pertama masing-masing sebanyak lapan dan empat peratus mengikut kumpulan masing-masing. Fasa kedua kenaikan sebanyak tujuh dan tiga peratus lagi pula akan diterima pada Januari 2026.

Selain itu, kerajaan menerusi Belanjawan 2025 turut bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan yang akan berkuat kuasa pada 1 Februari ini.

Bagi majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja, mereka diberi peluang untuk menangguhkan pelaksanaan gaji minimum baharu itu selama enam bulan sehingga Ogos 2025.

Dengan kenaikan gaji ini, sudah pasti berlaku kenaikan harga barangan. Seorang teman berseloroh ‘jika gaji tidak naik pun, harga barang tetap akan naik juga. Tiada yang turun kecuali hujan’.

Kata-kata itu ada kebenarannya juga walaupun perit untuk dihadam.

Baru-baru ini saya terbaca satu hantaran dibuat seorang pengguna media sosial berkongsi pengalaman menukar gaya hidup daripada mendiami rumah sewa dengan bayaran RM2,800 sebulan kepada kediaman lebih murah RM1,700 sebulan.

Gadis itu berkongsi dia menggunakan telefon bimbit lama, naik pengangkutan awam dan memasak di rumah berbanding makan di restoran.

Ternyata perubahan itu besar impaknya bukan sahaja dari segi kewangan, malah hati juga makin tenang, ber­syukur dan menjalani kehidupan dengan seadanya.

Tidak perlu malu untuk downgrade gaya hidup jika itu satu keperluan pada tahun ini kerana setiap orang ada ‘cabaran’ kewangan masing-masing.

Belajar untuk memahami yang mana satu keperluan dan kehendak. Ada orang masih selesa dengan kenderaan lama biarpun mampu menukar kereta import baharu. Mereka ini mahu menikmati hidup dengan cara mereka.

Hidup ini bukan untuk membuktikan kereta siapa pa­ling mahal, memiliki telefon bimbit model terkini, me­nyertai hobi T20, tetapi akhirnya menjerat diri dengan hutang keliling pinggang.

Biarlah kita bersederhana kecuali mampu, yang penting kepala pun tidak berserabut bila tengah bulan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN