fbpx
Sebagai salah seorang pemain kebangsaan, Siti Nur Irdina mahu mencipta lebih banyak kejayaan.

Siti Nur Irdina srikandi hoki negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENJADI sebahagian daripada pemain untuk skuad hoki wanita negara menjadi suatu pencapaian yang manis buat Siti Nur Irdina Mohd Nor.

Nur Irdina pemain tengah berusia 20 tahun merupakan pemain termuda dalam skuad senior hoki wanita pada ketika ini.

“Apabila terpilih untuk menjadi sebahagian daripada pemain untuk skuad senior, saya pada mulanya agak takut tetapi dalam masa yang sama begitu teruja.

“Saya rasa takut kerana masih muda dan pemain senior yang lain sudah banyak pengalaman, tetapi apabila terpilih untuk bersama pasukan senior, saya mengambil peluang itu sebaiknya,” kata Siti Nur Irdina yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor.

Tambahnya, apabila berpeluang menyertai skuad hoki wanita negara, dia dapat menimba banyak ilmu kerana pemain-pemain senior yang lain berkongsi pengalaman mereka bersamanya.

Menyorot penglibatannya dalam sukan hoki, Siti Nur Irdina berkongsi, dia terlibat dengan sukan tersebut sejak di bangku sekolah rendah lagi ketika belajar di Sekolah Kebangsaan Padang Kubu di Kemaman, Terengganu.

Ketika itu dia baru berusia 10 tahun dan harus mengikuti aktiviti kokurikulum.

“Untuk aktiviti kokurikulum ini, nama saya ada dalam sukan hoki dan dari situ bermulalah penglibatan saya dalam sukan ini.

“Pada waktu itu juga saya mewakili sekolah untuk bermain di peringkat negeri dan ia berterusan sehingga saya bersekolah menengah.

“Ketika di sekolah menengah, saya menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin di Terengganu dan ia merupakan sekolah sukan untuk projek hoki,” jelasnya.

Tambahnya, ketika di alam persekolahan, dia telah mewakili negeri Terengganu untuk kejohanan hoki bawah 16 tahun dan bawah 18 tahun.

Kemudian Nur Irdina melanjutkan pengajian prauniversiti di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) di Bandar Penawar, Johor.

Dalam sukan hoki juga, dia pernah mewakili Terengganu untuk Sukan Malaysia (Sukma) tahun ini di Sarawak dan menyumbang pingat gangsa buat negeri kelahirannya.

Siti Nur Irdina mula mewakili negara untuk sukan hoki sejak tahun lalu setelah melanjutkan pengajian di SSTMI.

“Pada ketika itu saya beraksi di Liga Hoki Remaja Malaysia dan dari situ jurulatih hoki negara melihat permainan saya dan kemudian memanggil saya untuk bersama skuad hoki wanita negara.

“Saya dipilih untuk menyertai pasukan remaja bagi Kejohanan Piala Remaja Asia (Wanita) 2023 di Jepun dan kemudian diminta untuk berlatih bersama pasukan senior,” katanya.

Baru-baru ini Siti Nur Irdina turut menjadi pemain untuk skuad Young Tigress dalam Piala Remaja Asia 2024 di Muscat, Oman.

Apa yang lebih membanggakan skuad hoki remaja wanita negara juga telah berjaya melayakkan diri ke Piala Dunia Hoki Remaja 2025 yang akan diadakan di Chile.

“Kami dapat tempat kelima pada kejohanan tersebut dan layak untuk beraksi untuk ke Piala Dunia Hoki Remaja 2025.

“Ini kali pertama kami secara merit boleh beraksi di ke Piala Dunia Hoki Remaja 2025 dan saya rasa amat gembira kerana berjaya membantu negara,” ujarnya.

Mengulas sasarannya dalam sukan hoki, Nur Irdina menjelaskan, impiannya untuk mewakili Malaysia sudah tercapai tetapi dia mahu lebih lagi mencipta kejayaan dalam sukan tersebut.

“Kalau boleh saya mahu mewakili skuad hoki negara untuk Sukan Olimpik dan juga Piala Dunia.

“Dalam masa yang sama, jika ada peluang saya mahu bermain hoki di liga luar negara,” terangnya.

Selain itu, Siti Nur Irdina menjelaskan, kini adik-adiknya juga turut mengikut jejak langkahnya dengan menceburkan diri dalam sukan hoki.

Empat orang adiknya kini terlibat serius dalam sukan hoki sehingga ada yang mewakili Terengganu untuk beberapa kejohanan.

“Saya rasa bangga kerana adik-adik juga ikut serta dalam sukan hoki.

“Tetapi apa yang lebih penting kedua-dua ibu bapa saya amat menyokong kami semua untuk terlibat aktif dalam sukan hoki,” tuturnya.

Sementara itu, mengulas pengajiannya di universiti, Siti Nur Irdina menjelaskan, bukan mudah untuk membahagikan masa antara pelajaran dan sukan.

Namun, gadis ini tidak mahu terlepas kedua-duanya dan dia cuba sedaya upaya untuk membahagikan masa untuk kedua-duanya.

“Saya juga mempunyai impian untuk menjadi seorang pendidik dan atas sebab itu saya memilih untuk melanjutkan pengajian dalam bidang sains sukan.

“Saya memilih bidang ini kerana ingin mempunyai pemahaman yang mendalam tentang bidang sukan itu sendiri,” jelasnya.

Antara salah satu impian Siti Nur Irdina adalah untuk menjadi guru sukan juga jurulatih hoki bagi melahirkan bakat-bakat baharu dalam sukan tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN