DUA hari sahaja lagi negara akan melangkah ke tahun baharu iaitu 2025.
Pastinya pelbagai persoalan terutama berkait dengan ekonomi dan politik sekali gus menunjangi hala tuju negara bermain di fikiran.
Bagi mengulas lebih lanjut mengenai jangkaan dan cabaran negara melangkah ke tahun 2025, wartawan Kosmo! Ahad, SAIRUL ZAMRI MISRANI berkesempatan menemu bual Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Taha Mohd. Omar baru-baru ini.
KOSMO! AHAD: Tinggal dua hari sahaja lagi kita akan melangkah ke tahun 2025. Ramai pihak beranggapan tahun hadapan ekonomi negara akan lebih mencabar. Apakah pendapat tuan mengenai isu ini?
DR. TAHA: Tahun 2025 dijangka membawa pelbagai cabaran, bukan hanya untuk Malaysia tetapi juga negara-negara serantau. Dengan hanya tinggal dua hari sebelum kita melangkah ke tahun baharu, saya juga sempat membaca pandangan pakar-pakar ekonomi seperti dari Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) dan MIDF Research yang menekankan isu kos sara hidup, hutang kerajaan serta pelaburan asing yang semakin mencabar. Persaingan dari negara jiran seperti Vietnam dan Indonesia terus meningkat dan ketidaktentuan global menambahkan beban. Malaysia perlu bersiap sedia menghadapi impak kenaikan kadar faedah oleh American Federal Reserve serta perang harga minyak antara Arab Saudi, Iran dan Russia. Jika pengurusan ekonomi tidak dilakukan secara teliti, tekanan terhadap ekonomi domestik akan menjadi lebih ketara.
Salah satu perkara yang dibimbangkan masyarakat pada tahun depan adalah kesan inflasi. Ini kerana kerajaan telah mengumumkan pelaksanaan gaji minimum pada Februari depan dan penghapusan subsidi petrol (tarikh belum diketahui). Adakah kebimbangan ini berasas?
Kebimbangan rakyat mengenai kadar inflasi berasas terutama apabila ia mempengaruhi harga barangan keperluan. Mulai Februari 2025, pelaksanaan penuh gaji minimum RM1,700 dijangka memberi kesan kepada perniagaan mikro dan kecil. Kajian Bank Dunia pada 2023 menunjukkan kenaikan gaji minimum ini boleh meningkatkan kos operasi dan menyumbang kepada kenaikan harga barang sebanyak 2 hingga 3 peratus. Jika subsidi petrol dihapuskan pula, kos pengangkutan boleh melonjak hingga 10-15 peratus, berdasarkan data Kementerian Kewangan. Justeru, kerajaan perlu memastikan mekanisme bantuan bersasar dilaksanakan dengan cekap agar rakyat tidak dibebani sepenuhnya oleh kenaikan kos ini.
Ekonomi Malaysia juga banyak dipengaruhi ekonomi dunia. Kita lihat pada tahun ini, ekonomi dunia agak kurang stabil disebabkan beberapa faktor. Adakah situasi ini akan berterusan pada tahun 2025?
Dari sudut ekonomi global, tahun 2025 dijangka terus bergelut dengan cabaran. Kadar inflasi global kini sekitar 6.5 peratus, jauh melebihi sasaran 2 peratus. Perang Russia-Ukraine yang berlarutan melambatkan rantaian bekalan global, manakala kelembapan atau pemulihan ekonomi China juga memberi kesan langsung kepada Malaysia kerana lebih 20 peratus eksport negara bergantung pada pasaran China. Namun, terdapat harapan dalam sektor pelaburan berasaskan ESG (Environmental, Social, Governance) yang semakin mendapat perhatian, khususnya dari Eropah. Malaysia boleh memanfaatkan peluang ini sebagai strategi untuk memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan.
Ketika ini beberapa perusahaan mula menggiatkan penggunaan AI. Adakah tahun hadapan lebih banyak organisasi akan menggantikan pekerja dengan AI bagi mengurangkan kos operasi. Apakah pendapat mengenai peralihan ini, adakah akan berlaku secara besar-besaran?
Penggunaan teknologi AI dijangka meningkat secara signifikan pada tahun hadapan, tetapi kebimbangannya adakah ia akan menggantikan tenaga kerja secara besar-besaran? Jawapannya bagi saya, tidak sepenuhnya. AI lebih cenderung menggantikan tugas-tugas berulang seperti entri data, khidmat pelanggan menggunakan chatbot dan pengurusan inventori. Sebagai contoh, perkhidmatan pelanggan AI seperti ChatGPT dan sistem pembayaran tanpa tunai sudah mula digunakan secara meluas. Namun, sektor seperti pembinaan dan pendidikan masih memerlukan tenaga manusia. Peralihan ini dijangka berlaku secara berperingkat, memberi ruang penyesuaian tenaga kerja.
Sekiranya AI digunakan dalam skala besar, adakah guna tenaga di Malaysia akan terjejas di mana ramai orang akan kehilangan pekerjaan kepada AI?
Walaupun penggunaan AI memberikan banyak manfaat, ia juga menimbulkan cabaran besar terhadap guna tenaga. Dalam sektor perkhidmatan pelanggan, chatbot AI telah menggantikan ramai ejen pusat panggilan. Di sektor logistik, dron dan robot semakin menggantikan pekerja gudang, manakala di sektor pertanian, teknologi dron digunakan untuk tugas-tugas seperti meracun dan membenih. Tanpa persiapan dan latihan semula pekerja dalam bidang seperti analitik data dan pengurusan AI, ramai mungkin kehilangan pekerjaan. Kerajaan dan majikan perlu berganding bahu untuk memastikan tenaga kerja Malaysia dilengkapi kemahiran baharu bagi menghadapi peralihan ini.
Ketika ini, beberapa negara di dunia sedang berperang seperti Russia-Ukraine dan Israel-Palestin. Secara asasnya, situasi perang ini dijangka lebih meluas pada tahun hadapan memandangan beberapa konflik di wilayah lain turut memuncak?
Konflik global terus membimbangkan, khususnya perang Russia-Ukraine yang masih berlarutan serta ketegangan di Asia Barat antara Iran dan Israel. Di Syria, pemilihan kerajaan Islamik baharu mencetuskan ketegangan geopolitik, ditambah dengan keinginan Turkiye untuk membentuk hubungan rapat dengan Syria yang tidak diterima baik oleh Israel. Situasi ini memberi kesan langsung kepada kestabilan harga minyak global memandangkan kedua-dua kawasan ini adalah pengeluar minyak utama. Jika konflik semakin meluas, ia juga boleh menyebabkan peningkatan jumlah pelarian, memberi tekanan pada ekonomi global dan sistem bantuan kemanusiaan.
Beberapa penganalisis berpendapat Perang Dunia Ketiga telah pun bermula tetapi menerusi cara lebih halus. Pada pandangan tuan, adakah pendapat berkenaan benar memandang perang moden berbeza dengan perang konvensional?
Ada yang berpendapat Perang Dunia Ketiga sudah bermula, tetapi dalam bentuk yang berbeza. Konflik kini lebih tertumpu pada perang siber, ekonomi dan maklumat. Ucapan Presiden Russia, Vladimir Putin pada Disember lalu yang menyatakan kesediaan menggunakan senjata nuklear jika dicabar oleh Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dalam konteks perang Ukraine menambah ketegangan. Sekatan ekonomi terhadap Russia telah memberi impak besar kepada perdagangan global. Di Asia Barat, konflik antara Turkiye, Syria, Iran, dan Israel semakin meruncing mencetuskan kebimbangan terhadap kestabilan serantau. Sementara itu, isu genosid di Palestin masih belum diselesaikan sepenuhnya. Walaupun tiada perang besar-besaran setakat ini, kesannya tetap dirasai di seluruh dunia.
Sekiranya, banyak konflik atau peperangan berlaku di seluruh dunia, apakah perkara yang kita boleh jangkakan berlaku terhadap masyarakat dunia?
Jika konflik semakin meluas, dunia bakal menyaksikan peningkatan ketidaktentuan ekonomi dan krisis kemanusiaan yang lebih besar.
Gangguan bekalan akan menyebabkan harga barang keperluan terus meningkat. Di samping itu, lebih banyak pelarian akan mencari perlindungan di negara-negara lain sekali gus menekan sistem sosial dan ekonomi negara penerima.
Bagi Malaysia, persediaan menghadapi kenaikan kos import dan memastikan dasar ekonomi yang mampan amatlah penting untuk menghadapi cabaran ini.














