SEKITAR 12 tahun lalu, wanita berwajah comel ini nekad belajar dalam bidang perubatan bagi melunaskan impian zaman kanak-kanaknya bergelar seorang doktor.
Usai mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia, dia menyambung pengajian di Kolej Mara Banting, Selangor selama dua tahun bagi persediaan menyambung pengajian di universiti.
“Alhamdulillah, keputusan sekali lagi berpihak kepada saya apabila ditawarkan biasiswa di bawah Skim Pelajar Cemerlang Majlis Amanah Rakyat (Mara) bagi menyambung pengajian selama lima tahun di luar negara.
“Selepas itu, bermulalah kembara pengajian saya sebagai bakal doktor perubatan apabila ditempatkan di National University of Ireland, Galway.
“Semuanya berjalan lancar dan selepas setengah dekad, saya berjaya menggenggam ijazah sarjana muda perubatan, sebelum kembali ke tanah air,” kata Dr. Amanda Elli, 32, sebagai mukadimah bersama Aura.
Untuk makluman, Dr. Amanda popular dengan panggilan Dr. Unicorn yang diberikan oleh pesakit kanak-kanak di wad pediatrik semasa di Ireland. Ini kerana rambutnya ketika itu berwarna-warni,
Menurut Dr. Amanda, sekembalinya ke Malaysia, dia memulakan tempoh housemanship selama dua tahun di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Katanya, selepas berjaya menempuh tempoh sukar itu (housemanship), dia berjaya bergelar pegawai perubatan, sebelum ditempatkan di Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital sama.

Pun begitu, cita-cita untuk terus berkhidmat di jabatan tersebut tidak kesampaian apabila khidmatnya diperlukan bagi membantu negara mengekang pandemik Covid-19 yang mula membadai dunia.
“Ketika itu, saya tidak sampai setahun berkhidmat dan terpaksa ‘ditarik’ keluar untuk pergi ke pusat-pusat kuarantin di seluruh negara.
“Waktu itulah saya mula rasa cabaran dan tekanan sebenar bergelar pegawai perubatan. Ketika itu, kami bekerja hampir 24 jam tanpa henti. Tidur pun tak tentu dan memang exhausted sangat waktu itu.
“Saya ditempatkan di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), Titiwangsa (Kuala Lumpur), dan bertugas di Klinik Kesihatan Kuala Lumpur serta Klinik Kesihatan Setiawangsa,” katanya.
Jelas anak kelahiran Kuala Lumpur itu, selepas enam tahun berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai doktor kontrak, dia nekad beralih ke bidang estetik.
Hal ini memerlukannya ‘lompat’ ke sektor swasta bagi meneruskannya impian bergelar pakar estetik.
Hasil usaha tanpa mengira penat lelah, anak sulung daripada dua beradik itu berjaya bergelar pakar estetik dan kini semakin dikenali sebagai doktor perubatan dan estetik di media sosial.
Perkongsiannya mengenai ilmu kesihatan dan kecantikan dalam ruangan maya bukan sahaja menuai perhatian netizen, malah mendapat sokongan daripada pelbagai pihak.
Menginjak tahun kelapan menabur bakti sebagai doktor perubatan dan estetik, pelbagai pencapaian telah dicapai oleh Dr. Amanda sama ada di dalam atau luar negara. Antaranya termasuklah menjadi top speaker bagi Conference Medical Channel Asia 2024 yang berlangsung pada 12 Oktober lalu di ibu negara.
Persidangan itu disertai oleh pakar dan doktor perubatan dari semua negara di Asia Tenggara.
Dia juga dilantik sebagai Duta Kenali Ubat Anda di bawah KKM sejak tahun lalu, selain menjadi jurucakap kesihatan bagi pelbagai konglomerat serta syarikat korporat ternama di negara ini.
Ceritanya, sebagai Duta Kenali Ubat Anda, dia berperanan meningkatkan kesedaran dan pemahaman mengenai penggunaan ubat-ubatan berkualiti dalam kalangan pengguna di Malaysia.
Ujarnya, ia bagi mengelak rakyat jatuh ke dalam perangkap ubat atau suplemen dan kosmetik bahaya yang tidak mempunyai kelulusan.
Di sebalik kejayaan yang diraih pada hari ini, pelbagai cabaran perlu dilalui termasuklah terpaksa menahan rindu kerana berjauhan dengan suami tercinta.
Jelas ibu kepada seorang cahaya mata perempuan itu, sejak hari ketiga diijabkabulkan dengan suami tercinta, dia sudah ‘terbiasa’ berjauhan, dan terpaksa menerima takdir itu.
“Suami bekerja di luar negara sebagai jurutera penggerudian di pelantar minyak. Jadi, sejak kami menikah beberapa tahun lalu, saya sudah terbiasa berjauhan dengannya.
“Perkara tersebut (perhubungan jarak jauh) sampailah ke hari ini. Kini, suami bertugas di Dammam, Arab Saudi.
“Mujurlah saya ada keluarga dan adik-beradik yang memahami serta sentiasa meniupkan kata-kata semangat, selain anak sebagai penguat,” ujarnya yang sudah lebih empat tahun berjauhan dengan suaminya.

Berkongsi mengenai topik yang sering dimuat naik dalam laman sosial, TikTok dan Instagram, Dr. Amanda memberitahu, dia tidak pernah menetapkan pemilihan topik tertentu, dan memilih kandungan secara rawak.
Katanya, dia tidak mahu terikat dengan mana-mana topik dalam menghasilkan content, dan lebih suka berkongsi secara bebas mengikut keperluan serta situasi semasa.
“Sebagai contoh, ketika hujung tahun, ramai yang mengambil kesempatan untuk bercuti bersama insan tersayang.
“Justeru, saya akan buat kandungan mengenai tip kesihatan dan persediaan sebelum bercuti termasuk mengambil vaksin.
“Selagi ia berkait dengan kesihatan dan kecantikan, saya akan kongsikan dengan masyarakat,” katanya.
Berkongsi cabaran lain, dia mengakui sering kali ditegur netizen terutamanya dalam kalangan komuniti TikTok mengenai gayanya berhijab.
Dr. Amanda yang baru hampir enam bulan berhijab penuh berkata, dia langsung tidak terasa hati dan enggan ambil pusing dengan komen kurang membina tersebut.
Mengulas perancangan masa panjang, dia yang kini bertugas di Prinz Medical Clinic (perubatan am) dan Prinz Giampapa Clinic (estetik) belum terfikir untuk mempunyai sebarang bisnes sendiri kelak.
Ujar Dr. Amanda, dia mahu fokus dengan apa yang ada di depan mata ketika ini, selain berjanji akan terus berkongsi ilmu mengenai dunia kesihatan serta kecantikan kepada orang ramai.














