BERMULA sekadar mengikut rakan bekerja separuh masa, gadis itu tidak menyangka bahawa dia sebenarnya boleh melakukan kerja-kerja seni dan kraf.
Ini kerana sejak kecil, dia tidak pernah berminat dalam bidang tersebut, namun selepas mempelajarinya dia mula tertarik dan mahu lebih mendalaminya.
Kongsi gadis asal Kuala Lumpur, Ee Yau, 22, menceburi bidang pembuatan bunga hiasan telah banyak mengajarnya tentang cara mengolah kertas menjadi gubahan bunga realistik.
“Sewaktu mula menyertai kerja ini dahulu, saya tidak menyangka bahawa bunga-bunga yang dilihat di bengkel ini dibuat daripada kertas.
“Semuanya kelihatan seperti bunga sebenar, namun ada yang berbeza saiz dan semuanya ditempah untuk dijadikan cenderahati serta hiasan dekorasi,” katanya ketika ditemui di Studio Evermore Flower di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Tambahnya yang sudah lima tahun bekerja membuat bunga hiasan dari kertas, dia berpendapat, seni tersebut mudah untuk dipelajari meskipun seseorang itu tidak mempunyai asas dalam bidang berkenaan.
Bagaimanapun, dalam pembuatan, ia masih memerlukan ketelitian terutama melibatkan bunga-bunga yang kompleks.
Katanya lagi, sepanjang bekerja dan dilatih membuat bunga, dia telah menghasilkan pelbagai jenis bungaan antaranya ros, chamomile, peony dan hydrangea.
“Dalam kebanyakan bunga, ros antara yang senang diolah kerana kelopaknya mudah dipotong, dibentuk dan paling kerap ditempah.
“Namun, yang menariknya antara bunga yang sukar juga adalah ros tetapi dari jenis David Austin Roses kerana kelopaknya yang lebih banyak, pelbagai saiz dan rapat,” ujarnya.
Bunga kertas ialah alternatif yang cantik kepada bunga sebenar dan alternatif yang lebih mesra alam bagi bunga fabrik dengan syarat diperbuat daripada sumber kitar semula atau boleh diperbaharui.
Seni pembuatan bunga kertas dipercayai bermula di China. Sejurus menghasilkannya, rakyat negara itu akan membuatnya terapung di atas air sebagai persembahan keagamaan.
Pengaruh seni ini dan kertas umumnya berkembang bersama pengembaraan pedagang China di sepanjang Jalan Sutera dari China dan akhirnya tiba di Eropah pada abad ke-11.
Sehingga hari ini, seni pembuatan bunga daripada kertas telah menjadi antara hobi dan juga pilihan dalam industri dekorasi sebagai alternatif kepada penggunaan bunga hidup.
Seni pembuatan bunga daripada kertas juga mula diminati pengasas Evermore Flower, Wai Yan, 34, selepas dia tamat pengajian di universiti.

Katanya, ia berawal 10 tahun lalu ketika dia buntu untuk mencari hadiah jambangan bunga buat majlis graduasi rakannya kerana mahu menjadikannya sesuatu yang berharga.
“Pada ketika itu, saya tidak tahu mahu beri hadiah apa, jika bunga sebenar ia tidak akan tahan lama, tetapi bunga plastik pula tidak menarik dan autentik.
“Oleh kerana itu, saya cuba membuat jambangan bunga sendiri dengan menggunakan kertas yang padanya merupakan sesuatu yang mudah diperoleh dan diolah,” kongsinya yang meminati bidang seni kreatif sejak kecil.
Jelasnya, dia memilih kertas kerana bahan itu juga sering digunakan olehnya untuk menghias papan kenyataan semasa zaman belajar.
Hal itu menjadi detik permulaan buatnya apabila jambangan bunga kertas yang dihasilkannya mendapat pujian dan perhatian.
Malah, pada masa sama, dia melihat ada peluang untuk memasarkan bunga berkenaan yang membawa kepada perkongsian di media sosial.
Dengan respons baik yang diterima, Wai Yan meneruskan minatnya itu sebagai sumber pendapatan dan mengembangkan serta mempelbagaikan pembuatan bunga daripada kertas untuk jambangan hadiah kepada dekorasi majlis, acara dan lain-lain.
Berkongsi tentang pembuatan bunga daripada kertas, Wai Yan mengatakan dia banyak belajar daripada pemerhatian, pembacaan, media sosial dan juga menyertai kursus seni.
“Peringkat awal pembuatan saya banyak menggunakan kertas kad stok untuk menghasilkan bunga dan kemudian melakukan olahan dengan penggunaan bahan lain seperti kertas krep, kad busa dan kain organza.
“Penggunaan bahan-bahan tersebut bergantung kepada keperluan perincian bunga serta bagaimana ia dapat memberi efek seperti bunga sebenar,” katanya.
Dalam proses penghasilan bunga, tidak kira sama ada saiz besar atau kecil, langkah pertama adalah dengan memotong kertas dalam bentuk kelopak terlebih dahulu.
Sebagai contoh bunga ros, setiap kelopak akan dipotong mengikut saiz kecil ke besar yang kemudian disusun dan digam daripada lapisan dalam ke luar sehingga membentuk sekuntum bunga.
Pembuatan bunga juga boleh makan masa antara tiga ke lima hari bagi bersaiz besar, manakala bunga kecil atau saiz biasa pula dihasilkan sebanyak 15 kuntum sehari.
Katanya, tempoh pembuatan bergantung kepada jenis-jenis bunga yang dihasilkan mengikut contoh pelan atau rujukan daripada pelanggan.
Harganya juga boleh mencecah bermula RM50 hingga ribuan ringgit bergantung kepada jambangan, jumlah, saiz dan jenis bunga yang ditempah.
Bercerita tentang penerimaan orang ramai tentang bunga daripada kertas, Wai Yan memberitahu awalnya sekitar 10 tahun lalu, ia kurang dikenali kerana masih baharu dalam pasaran.
“Dahulu ramai tidak tahu tentang bunga ini, malah ada segelintir menganggap ia seperti bunga kertas untuk kegunaan keagamaan.
“Namun begitu, saya cuba memperkenalkan bunga ini kepada orang ramai menerusi media sosial dan memuat naik video serta gambar estetik yang menarik minat orang ramai,” ujarnya.














