MENGUBAH sisa menjadi bernilai merupakan salah satu langkah yang giat dilaksanakan ketika ini.
Usaha itu dilakukan bagi menggalakkan orang awam melaksanakan agenda kitar semula dalam kehidupan seharian.
Pada masa sama, langkah itu dapat menjadi serampang dua mata dalam usaha mengurangkan kadar pembuangan sisa dan memberi pendapatan tambahan kepada isi rumah.
Bagi merancakkan lagi usaha kitar semula dalam kalangan masyarakat, Trash4Cash Malaysia (Trash4Cash) melancarkan edisi 2024 untuk kempen ‘Recycle Me!’.
Ketua Pegawai Eksekutif, Trash4Cash, Shafreez Redza Mhd. Saiful Anuar berkata, program itu masih membawa misi untuk membudayakan kitar semula sambil memperkenalkan inovasi baharu bagi meningkatkan pengalaman pengguna.
“Tahun ini, Trash4Cash memperkenalkan tong ‘Recycle Me!’ versi baharu yang dilengkapi antara muka pengguna terkini, Wi-Fi terbina dalam dan pencetak stiker.
“Penambahbaikan ini memastikan proses kitar semula yang lancar dan menyeronokkan bagi pengguna.
“Ia seiring usaha Trash4Cash untuk menjadikan amalan kitar semula lebih mudah dan menarik bagi masyarakat umum,” katanya semasa majlis pelancaran kempen ‘Recycle Me!’ di AEON Alpha Angle, Wangsa Maju, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambahnya, tong kitar semula yang dinaik taraf tersebut adalah jawapan langsung kepada maklum balas pengguna serta komitmen pihaknya untuk menjadikan kitar semula lebih mudah, bijak dan bermanfaat.
Menariknya, kempen itu mendapat kerjasama AEON CO. (M) BHD. (AEON), Hiroyuki Industries dan Coca-Cola Malaysia
Bersama rakan kongsi, pihak Trash4Cash juga berharap dapat menginspirasikan komuniti untuk menggalas tanggungjawab pengurusan sisa dan membina Malaysia lebih bersih.
Kongsi Shafreez Redza lagi, inovasi terhadap tong kitar semula melibatkan penambahan ciri baharu yang menampilkan sistem pendaftaran satu kali, di mana ia diintegrasikan dengan laman web, Trash4Cash.

Ia turut ditambah dengan integrasi Mobil, di mana pengguna boleh terus menggunakan aplikasi Mobil Trash4Cash untuk menghantar bukti penyerahan botol dan menerima ganjaran secara langsung.
Ulasnya, kempen berkenaan dilaksanakan di 15 pusat beli-belah AEON di seluruh Malaysia selama setahun bermula 12 Disember lalu hingga 12 Disember tahun depan.
Selain membudayakan amalan kitar semula dalam kalangan masyarakat, kempen ‘Recycle Me!’ turut menekankan kepentingan kerjasama dalam memacu tindakan pemeliharaan alam sekitar.
“Dengan meletakkan tong ‘Recycle Me!’ versi baharu di lokasi strategik, kempen ini dapat memastikan lebih ramai rakyat Malaysia berpeluang menyumbang kepada usaha kemampanan dengan lokasi yang mudah diakses serta mesra pengguna.
“Kami juga berharap dapat menginspirasikan lebih ramai individu untuk menghargai nilai amalan kitar semula dan menjadikannya satu kebiasaan,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Sumber Manusia & Kemampanan, AEON, Dr. Kasuma Satria Mat Jadi berkata, pihaknya komited untuk menyokong usaha kemampanan dalam komuniti.
Kempen seperti ‘Recycle Me!’ juga mempermudahkan rakyat Malaysia untuk menyertai pergerakan kitar semula, dan menghayati impak positif yang dibawa oleh tindakan tersebut.
Dalam pada itu, Pengasas dan Pengarah Urusan, Hiroyuki Industries, Nakata Hiroyuki memaklumkan, pihaknya turut berbangga dapat bersama-sama dalam kempen itu.
Ujarnya, pihaknya terlibat dalam pemprosesan plastik yang dikutip, serta menyumbang kepada komuniti dan alam sekitar.














