Menurut Dr. Bridget, buruh asing terdedah menjadi mangsa pemerdagangan manusia di Malaysia. – Gambar hiasan

Malaysia lubuk mangsa pemerdagangan manusia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Pemerdagangan manusia merupakan isu hak asasi manusia yang kritikal di Malaysia dan telah memerangkap beribu-ribu mangsa setiap tahun.

Malaysia dilihat sebagai sebuah negara transit, destinasi dan sumber dalam rangkaian pemerdagangan manusia global.

Ini kerana Malaysia merupakan negara yang bergantung kepada buruh asing, selain memiliki kepesatan ekonomi yang memberangsangkan. Namun, sejak belakangan ini, rakyat Malaysia juga menjadi kumpulan mangsa kegemaran perekrut bagi sindiket penipuan dalam talian (scammer).

Bagi mengupas lebih lanjut berkenaan isu hangat ini, wartawan Kosmo! Ahad SITI SARAH NURUL LIYANA menemu bual Penyelidik Bersekutu Kehormat, Universiti Nottingham Malaysia, Dr. Bridget Welsh.

KOSMO! AHAD: Isu pemerdagangan manusia bukanlah sesuatu yang baharu di negara ini. Sejak sekian lama, Malaysia menjadi salah satu destinasi bagi sindiket pemerdagangan manusia dengan menawarkan pekerjaan di negara ini. Sejauh manakah seriusnya isu berkenaan ketika ini?
Professor Dr. Bridget Welsh: Kes di Malaysia sentiasa di tahap serius kerana Malaysia menjadi negara transit sejak berdekad lalu. Faktor ekonomi telah menarik buruh-buruh asing seperti Bangladesh dan Indonesia untuk datang mencari rezeki.

Tetapi sejak dua tahun lalu, rakyat Malaysia juga menjadi mangsa pemerdagangan manusia yang dikaitkan dengan sindiket penipuan dalam talian. Sama seperti buruh asing di Malaysia, rakyat Malaysia sendiri tertarik dengan gaji lumayan yang ditawarkan dari luar negara.

Mangsa tidak semestinya datang daripada keluarga susah.

Buat masa ini, tiada jumlah tepat berapa ramai mangsa terlibat di dalam dua-dua kategori tersebut. Tetapi berdasarkan rekod mangsa-mangsa warga tempatan yang telah berjaya diselamatkan pelbagai pihak setakat ini adalah lebih 5,000 orang.
Jumlah tersebut adalah anggaran konservatif.

Sebenarnya, apakah faktor-faktor yang menyebabkan Malaysia menjadi destinasi tumpuan sindiket pemerdagangan manusia?
Ramai pekerja asing diperdagangkan atau dieksploitasi dalam keadaan buruh paksa, dengan perekrut dan majikan yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan daripada mereka.

Mangsa selalunya datang dari negara jiran seperti Indonesia, Thailand, Myanmar dan Filipina, serta kawasan yang jauh seperti Asia Selatan dan Afrika. Ini berbeza dengan sindiket yang memaksa mereka melakukan jenayah siber.

Mangsa jenayah pemerdagangan manusia seperti ini tidak dikurung atau terperuk dalam satu kawasan terpencil, mereka kelihatan bebas bergerak ke mana-mana sahaja. Cuma, mereka tidak dibayar dengan setimpal dan tidak dilayan seperti manusia selayaknya.

Oleh itu, rakyat Malaysia perlu peka sekiranya mereka mendapati perkara-perkara seperti itu berlaku terutama berkaitan dengan pekerja asing di sekeliling mereka.

Ketika ini, ramai rakyat Malaysia jadi mangsa pemerdagangan manusia di luar negara. Apakah punca rakyat di negara ini mudah terperdaya tipu muslihat sindiket?
Anak-anak muda Malaysia cenderung berminat untuk mencari rezeki dengan tawaran gaji yang lebih baik di luar berbanding di Malaysia. Terdapat defisit antara peluang pekerjaan di Malaysia dan kemahiran yang dimiliki generasi muda.

Kecenderungan kilang mengambil pekerja asing kerana boleh dibayar lebih murah menyebabkan struktur ekonomi pada bahagian itu tidak menyebelahi warga tempatan. Ini menyebabkan bilangan pengangguran masih tinggi dalam kalangan generasi baharu. Perkara ini membangkitkan rasa ketidakpuasan hati terhadap struktur sedia ada.

Rekrut terbanyak datang dari Sabah dan Sarawak. Ini kerana kawasan-kawasan di Borneo tidak memiliki peluang pekerjaan yang mencukupi buat masyarakat di sana.

Oleh itu, apabila mereka terjumpa tawaran kerja dengan upah gaji yang lebih lumayan di luar negara, mereka cenderung menerimanya atas dasar mahu menyara keluarga.

Dari sudut pandangan sindiket pula, kebanyakan rakyat Malaysia adalah orang-orang terpelajar, memiliki kemahiran komunikasi lebih daripada satu bahasa dan mempunyai pengetahuan tentang penggunaan teknologi. Ini menjadikan populasi rakyat Malaysia sebagai rekrut terbaik untuk menjalankan aktiviti sindiket penipuan dalam talian.

Salah satu, lokasi pemerdangan manusia yang popular adalah di kawasan IndoChina. Betapa seriusnya masalah ini di kawasan berkenaan? Mengapakah kawasan ini menjadi tumpuan sindiket berkenaan?
Terdapat tiga kompaun sindiket penipuan pekerjaan di IndoChina iaitu di sempadan Myamar, sempadan Laos dan Kemboja. Walaupun lokasi telah dikenal pasti, tetapi terdapat beberapa faktor yang menyukarkan perkara ini daripada dibendung. Ini kerana terdapat kepentingan bagi sesetengah pihak untuk kekalkan aktiviti tersebut.

Biarpun aktiviti sindiket pemerdagangan manusia dan sindiket penipuan dalam talian dikira tidak sah dari segi undang-undang, namun ia merupakan satu ‘perniagaan’ yang mendatangkan keuntungan tinggi.

Pada tahun lalu sahaja, jumlah wang yang berjaya ‘discam’ daripada penduduk Malaysia berjumlah AS$13 bilion (RM57.6 bilion). Oleh itu, terdapat regulasi dari negara terlibat yang menyukarkan perkara tersebut dibendung.

Di Laos, kerajaan mereka menunjukkan usaha membendung masalah tersebut tetapi tidak di Kemboja. Sementara di sempadan Myanmar merupakan kawasan konflik perang. Kawasan tersebut dikawal askar bukan hanya kerajaan.

Memandangkan aktiviti penipuan dalam talian lebih menguntungkan, adakah ini bermakna aktiviti pemerdagangan yang lebih tradisional seperti penyeludupan dadah dan pelacuran sudah berkurangan?
Aktiviti pemerdagangan manusia yang menjerat mangsa ke kancah penyeludupan dadah dan pelacuran masih ada. Cuma pulangannya tidak lumayan seperti aktiviti sindiket penipuan dalam talian. Secara keseluruhan, ekonomi aktiviti haram sedang berubah.

Berdasarkan kajian dan laporan yang saya baca dan lakukan, terdapat ratus ribu manusia menjadi mangsa pemerdagangan manusia terjebak dalam kompaun sindiket penipuan dalam talian. Ini termasuk dari Amerika Selatan, Nigeria, India dan Sri Lanka.

Difahamkan, tumpuan sindiket pemerdagangan manusia mula beralih ke Dubai. Semua tahu, Dubai ini merupakan kota mewah, mengapakah lokasi itu menjadi tumpuan sindiket?
Kompaun sindiket pemerdagangan manusia di Dubai sangat merisaukan. Ramai tertarik untuk bekerja di Dubai kerana tawaran gaji yang lumayan dan paparan tentang gaya hidup mewah yang sering dipaparkan di media sosial.

Kadang-kadang mereka tawarkan pekerjaan seperti jurutera, tetapi apabila mangsa tiba di Dubai, ia bukan seperti yang disangkakan mangsa.
Tetapi buat masa ini, saya tidak memiliki banyak maklumat berkenaan kompaun sindiket pemerdagangan manusia di Dubai.

Secara asasnya, apakah modus operandi sindiket pemerdagangan manusia untuk perdaya mangsa?
Sindiket memaparkan tawaran kerja di aplikasi seperti LinkedIn, Facebook dan sebagainya. Secara luarannya, tawaran pekerjaan tersebut nampak betul-betul sah dan boleh dipercayai.

Sesiapa sahaja akan tertarik peluang-peluang yang menjanjikan kehidupan yang lebih baik. Selalunya, mangsa diberitahu mereka perlu beli tiket penerbangan yang kemudiannya boleh ditebus semula. Apabila mereka sampai, mereka akan dibawa menaiki kereta atau van dan dihantar ke kompaun-kompaun sindiket tadi. Sejak itu, mereka akan dipaksa melakukan jenayah penipuan siber dan capai target harian.

Jika mereka tidak mampu capai target tersebut, mereka akan dipukul atau dirogol. Ini yang dipanggil hamba zaman moden.

Apakah usaha yang boleh dilakukan kerajaan untuk membantu mangsa?
Kerajaan Malaysia telah melakukan pelbagai usaha yang baik untuk membantu operasi penyelamatan terutama berkaitan hubungan bilateral negara-negara terlibat.

Seperti proses penyelamatan di Kemboja telah berjalan dengan baik. Operasi penyelamatan dari Myanmar agak sukar kerana keadaan konflik perang di sana. Saya puji usaha dan kerjasama kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan setakat ini, tetapi sudah tentu ia tidak mencukupi.

Pertama, kita perlukan pangkalan data lebih kukuh untuk memastikan perlindungan bagi mangsa-mangsa ini terjamin.

Kedua, walaupun sudah ada kempen kesedaran sindiket pemerdagangan manusia, tetapi perlu lebih khusus kepada anak-anak muda termasuk di peringkat sekolah.

Ketiga adalah penyediaan peluang pekerjaan kepada anak-anak muda. Walaupun ekonomi Malaysia berkembang, namun tidak semestinya ia dapat menyediakan peluang pekerjaan mampan.

Keempat, kerajaan perlu menyediakan protokol untuk memahami situasi sebenar mangsa-mangsa yang telah diselamatkan. Mereka ini dipaksa membuat jenayah (scam orang) atau mereka akan diseksa. Kerajaan juga perlu beri perlindungan kepada mangsa kerana situasi yang mereka alami memberikan trauma yang besar.

Adakah kes seseorang mangsa pemerdagangan manusia kembali terperangkap dalam ekosistem pemerdagangan manusia?
Tidak dinafikan terdapat kes sebegitu. Ini kerana terdapat andaian individu yang sudah terjebak dalam aktiviti jenayah ketika berada dalam kompaun scam adalah penjenayah.

Oleh itu, kerajaan mahupun masyarakat umum perlu faham tentang jenayah jenis paksaan ini. Mangsa perlu lakukan jenayah demi kelangsungan hidup ketika berada dalam kawalan ketua-ketua di kompaun tersebut.

Tetapi sesetengah mangsa terselamat dan dibawa pulang, mereka tetap dilabel sebagai penjenayah akibat ‘kerjaya’ mereka ketika dalam kompaun. Rekod jenayah dah ada bersama mereka. Ini buatkan peluang mereka untuk dapatkan pekerjaan di tanah air sangat tipis.

Ini buatkan mereka kembali terjebak dalam ekosistem pemerdagangan manusia. Isu ini bukan hitam dan putih dan perlu difahami agar ada pendekatan lebih holistik dan efektif.

Akhir sekali, apakah nasihat Dr.?
Paling utama jangan dengar arahan atau saranan sesiapa untuk pergi ke mana-mana jika anda belum kenal atau pernah jumpa orang tersebut.

Perlu sentiasa berfikiran kritikal terhadap sesuatu tawaran.

Jaminan daripada kawan-kawan kita juga tak boleh dipercayai. Sentiasa semak pengesahan dan pastikan ada dokumen hitam dan putih tentang organisasi yang anda mahu sertai itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN