KATA orang, lelaki yang baik untuk perempuan yang baik dan begitulah jua sebaliknya.
Namun, bagi Lia (bukan nama sebenar), dia sama sekali tidak boleh menerima apabila ditakdirkan mendapat seorang suami penuh dengan kisah silam yang hitam menyebabkan dia menganggap Tuhan itu tidak adil kerana menjodohkannya dengan lelaki sebegitu.
Membuka cerita, Lia memberitahu, dia dan suaminya, Bob (bukan nama sebenar) berkenalan menerusi seorang bekas teman sepejabatnya yang merupakan kawan seuniversiti Bob.
Bob merupakan seorang duda satu anak. Ujar Lia, Bob mengakui jatuh cinta pandang pertama terhadap Lia dan cuba mendekati wanita itu, sebelum akhirnya melamar Lia sebagai isterinya.
“Saya melihat Bob mempunyai ciri-ciri yang saya mahukan dalam seorang suami iaitu soft-spoken, rajin dan akrab dengan keluarga.
“Tanpa berfikir panjang, saya menerima lamaran Bob dan kami berkahwin beberapa tahun lalu,” katanya.
Fasa awal perkahwinan mereka cukup membahagiakan Lia, memandangkan Bob disifatkan sebagai seorang lelaki yang cukup bertanggungjawab.
Namun, Lia kemudiannya mendapat tahu bahawa anak Bob bersama bekas isterinya itu merupakan anak luar nikah memandangkan mereka pernah terlanjur sebelum berkahwin.
Malah, perkahwinannya dengan bekas isteri juga dibuat atas dasar terpaksa, selepas keluarga Bob mahu lelaki itu bertanggungjawab memandangkan ia merupakan kali kedua dia menghamilkan wanita.
Lia amat terkejut memandangkan Bob yang dikenalinya adalah seorang lelaki yang baik, selain cukup menjaga batasnya dengan wanita.
“Saya terkejut kerana Bob tidak berlaku jujur dengan saya tentang kisah silamnya itu.
“Tidak cukup dengan itu, saya juga mendapat tahu bahawa semasa di universiti, Bob pernah terlanjur dengan bekas kekasihnya yang lain sehingga wanita itu hamil dan dia memaksa wanita itu untuk menggugurkan kandungannya memandangkan kedua-dua mereka masih muda dan Bob tidak mahu masa depannya terjejas.

“Rupa-rupanya, Bob seorang lelaki liar dan sudah meniduri begitu ramai wanita semasa zaman mudanya,” luah Lia.
Bagi sesetengah orang, kisah silam seseorang mungkin boleh dimaafkan, namun tidak bagi Lia.
Hal ini kerana Lia merupakan seorang wanita dengan perwatakan yang cukup baik dan menjaga batasnya dengan lelaki.
Saban hari, dia berdoa agar dijodohkan dengan orang yang sama sepertinya, namun tidak menyangka dirinya dipertemukan dengan Bob yang kehidupannya cukup berbeza dengannya.
“Bob tidak tahu bahawa saya sudah tahu tentang kisah silamnya.
“Saya sukar menerima perkara ini dan sejujurnya saya sudah mempunyai persepsi lain terhadap suami sendiri.
“Biarpun sentiasa berdoa supaya Tuhan melembutkan hati saya untuk memaafkan dan melupakan kisah silam suami, namun hati saya masih tidak ikhlas.
“Setiap hari saya berperang dengan emosi sendiri kerana saya terlalu sayangkan perkahwinan ini, namun saya marah dengan perbuatan suami yang saya sifatkan sebagai sangat kejam,” kata Lia.
Kini, Lia berkata, dia hanya mampu berdoa agar diberikan kekuatan untuk terus menjalani perkahwinannya dan berharap satu hari nanti hatinya akan terbuka untuk memaafkan Bob.














