MELAKA – Kes kematian melibatkan bayi dalam jagaan pengasuh bukan sahaja meninggalkan kesan trauma kepada ibu bapa, malah mereka yang mencari rezeki dengan menjaga anak asuhan tersebut.
Bagi golongan pengasuh, tanggungjawab mereka menjaga bayi dan kanak-kanak amat berat, lebih-lebih lagi melibatkan nyawa dan ia diibaratkan seperti sebelah kaki dalam penjara.
Seorang wanita dikenali sebagai Siti Saleha, 56, berkongsi pengalaman hitam selepas bayi asuhannya berusia lima bulan tiba-tiba tersedak susu.
“Suatu hari sewaktu memberikan Naufal (bayi) susu, dia tersedak dan menjadi lemah sehingga tidak sedarkan diri. Saya dan anak bergegas membawa Naufal ke hospital yang terletak kira-kira 600 meter dari rumah.
“Alhamdulillah Naufal dapat diselamatkan. Ekoran kejadian itu, saya rasa longlai. Sejak itu saya tidak lagi menjadi pengasuh. Walaupun kejadian itu berlaku 10 tahun lalu, namun ia meninggalkan kesan trauma yang panjang,” kongsinya di media sosial.
Seorang lagi pengasuh dikenali sebagai Irus memberitahu, dia mempunyai pengalaman menjaga anak asuhan yang diserang sawan secara tiba-tiba kerana demam.
“Ada satu hari anak asuhan demam, memang saya sentiasa pantau dia, tetapi dengan kehendak Allah tiba-tiba dia diserang sawan. Waktu itu dia dalam keadaan tertiarap.
“Tidak dapat dibayangkan kalau saya tidak menjenguknya waktu itu, trauma. Ssaya berhenti menjadi pengasuh sebab takut kejadian sama berulang sebab sawan jika sekali kena (serang) memang akan jadi lagi (berulang),” katanya.
Bagi Fa pula, tanggungjawab menjaga anak asuhan ibarat seperti meletakkan sebelah kaki dalam penjara kerana risiko tinggi melibatkan nyawa anak orang lain.
“Saya mencari duit poket dengan mengasuh, sayang dan jaga (anak orang) macam anak sendiri. Semoga sentiasa di bawah lindungan-Nya. Amin,” katanya.

Sementara itu, seorang pengguna D_4riSS4 yang juga seorang pengasuh memuji sifat reda kedua-dua ibu bapa Harraz, Ainol Izzah Raslan, 25, dan Nazrul Nizam Mohd. Tahar, 29.
“Terima kasih ibu bapa Harraz, saya pengasuh, sayang anak-anak asuhan sama macam anak sendiri, 10 tahun dah mengasuh hanya Allah sahaja yang tahu tanggungjawab ini, moga Nur (pengasuh Harraz) tabah dengan mulut orang,” tulisnya.
Kosmo! semalam melaporkan pengasuh Harraz dikenali sebagai Nur, 27, dihantui rasa bersalah selepas bayi dijaganya itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas mukanya tertutup dengan selimut kira-kira pukul 11.40 pagi.
Harraz bagaimanapun kemudian disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke Klinik Kesihatan Merlimau oleh neneknya.














