ALOR SETAR – Naluri seorang wanita yang mengesyaki suaminya berlaku curang kebiasaannya tepat dan ia bukan sekadar prasangka buruk semata-mata.
Penyiasat persendirian (PI) daripada ZNZ Delima Co yang mahu dikenali sebagai Jay berkata, dalam kebanyakan kes dikendalikan, kecurigaan isteri biasanya betul apabila bukti berkaitan kecurangan pasangan berjaya diperoleh.
“Mereka dapat mengesan perubahan tingkah laku suami selain mengetahuinya daripada mesej di telefon bimbit suami. Pelanggan ini upah PI untuk mencari kebenaran menerusi intipan ke atas pergerakan suami berdasarkan maklumat diberi,” katanya baru-baru ini.
Menurutnya, ada pelanggan terpaksa menerima hakikat suami bukan sahaja menjalinkan percintaan dengan wanita lain, malah sudah mendirikan rumah tangga.
“Sudahlah telah bernikah, isteri baharu itu pula sedang hamil dan menanti masa untuk melahirkan anak. Selepas mendapat semua bukti, kami panggil pelanggan ke pejabat untuk serahkan hasil siasatan.
“Pelanggan kami itu yang berusia lewat 30-an terduduk apabila mengetahui perkara sebenar dan kami juga ada sediakan khidmat kaunselor untuk memberikan motivasi kepada mereka yang mengalami kesedihan melampau,” ujarnya.
Dalam kes ini, pelanggannya itu membayar sebanyak RM17,000 untuk intipan selama 21 hari.
Sementara itu, katanya, syarikat telah mengendalikan lebih 1,000 kes sejak 2018 dengan kira-kira 12 peratus daripadanya berkaitan pasangan curang.
“Kadar bayaran berbeza mengikut situasi, lokasi dan kerumitan kes. Kos intipan antara RM150 hingga RM500 sejam, selain ada juga yang membuat bayaran secara penuh.
“Boleh dikatakan kira-kira 37 peratus bagi kes curang adalah daripada golongan kenamaan,” jelasnya.
Tambahnya, permintaan terhadap PI meningkat setiap tahun kerana pendedahan perkhidmatan tersebut dapat dibuat di media sosial. -KOSMO! ONLINE














