SEBAGAI sekumpulan masyarakat, setiap orang mempunyai peranan masing-masing dalam setiap pekerjaan yang dilaksanakan sama ada bergelar pegawai tinggi, petani, buruh, nelayan, tukang cuci mahupun peniaga kecil-kecilan di tepi jalan.
Jangan hanya memandang tinggi mereka yang berjawatan besar tanpa melihat ke bawah pekerja-pekerja ‘rendah’ yang menjalankan pelbagai fungsi untuk memberikan perkhidmatan bagi melancarkan urusan kehidupan kita.
Duit yang banyak tidak ada nilainya jika tidak ada yang boleh memberikan perkhidmatan seperti yang kita mahu. Sebagai contoh, kerana adanya nelayan membolehkan kita menikmati hidangan laut di atas meja.
Begitu juga tanpa buruh binaan, tidak akan terwujud kediaman yang tersergam indah dan selesa untuk didiami. Sehubungan itu, setiap pekerjaan memenuhi rantaian kehidupan.
Baru-baru ini tular rakaman video penghinaan pendakwah dari Indonesia, Gus Miftah yang memanggil seorang penjual teh ais sebagai bodoh ketika berceramah di Magelang, Jawa Tengah, bulan lalu.
Perbuatan tersebut mendapat kecaman daripada netizen Indonesia dan juga Malaysia yang berasa sangat sakit hati dengan kelancangan mulut pendakwah itu yang menghina penjual teh ais bernama Sunhaji di hadapan khalayak ramai.
Sunhaji mengakui dia tersinggung kerana tiba-tiba dimarahi dan dijadikan bahan jenaka pendakwah itu tetapi sudah memaafkan Gus Miftah, malah perkara itu sudah biasa dilaluinya.
Oleh kerana kecamana hebat daripada netizen, akhirnya Gus Miftah dengan rela hati meletakkan jawatan sebagai Utusan Khas Presiden Indonesia, Prabowo Subianto.
Namun, disebalik ujian yang diterima oleh Sunhaji, siapa sangka namanya tiba-tiba menjadi popular dan tidak putus-putus menerima pelbagai bantuan serta sumbangan termasuk dari Malaysia.
Sunhaji berkata, dia tidak menyangka kehidupannya berubah sekelip mata dan dikenali ramai, malah dapat mencapai impiannya menunaikan umrah.
“Saya menjual teh ais di tepi jalan, keluar pagi balik malam sehingga jualan habis demi menyara kehidupan isteri dan anak-anak.
“Jika kepenatan, saya akan tidur di tepi jalan,” katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan insiden menghina peniaga teh oleh seorang pendakwah terkenal di Indonesia adalah peristiwa yang menginsafkan serta memberi pengajaran berguna.
Anwar berkata, beliau kesal dengan tindakan ahli agama itu kerana ia tidak sepatutnya berlaku.
“Sikap angkuh dan sombong itu kadang-kadang bukan sahaja dalam kalangan (mereka) tidak tahu agama, tidak semestinya.
“Saya lihat (video) saya rasa aneh dan luar biasa, tetapi bagi saya pengajarannya menginsafkan,” katanya.















