MINAT yang mendalam terhadap seni halus membuatkan Syuhada Yaacob, 24, memilih untuk melanjutkan pengajian dalam bidang tersebut.
Gadis yang berasal dari Klang, Selangor itu meneruskan pengajiannya di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor bagi membolehkannya mendapat pendidikan formal dalam bidang tersebut.
“Saya minat dengan bidang seni ini sejak di bangku sekolah lagi.
“Atas sebab itu, saya memilih untuk melanjutkan pengajian dalam bidang ini, dan menjadikannya sebagai kerjaya serta mencipta nama dalam industri seni halus,” katanya kepada K2.
Syuhada mengakui bahawa untuk mencipta nama bukanlah sesuatu yang mudah, tambahan pula dia artis seni baharu dalam bidang itu.
Oleh itu, dia memerlukan satu platform yang boleh membantunya mempersembahkan karya-karya dihasilkan kepada orang ramai.
Disebabkan itu, dia memilih untuk menyertai Program Residensi ILTIZAM Seni (ILTIZAM Seni) yang dianjurkan oleh Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas).
Program tersebut merupakan salah satu platform untuk artis seni berkarya, sekali gus dapat memperkasakan bakat-bakat seni tanah air.
Seramai 10 orang artis seni yang terdiri daripada pelbagai latar belakang telah dipilih untuk menyertai program tersebut dan Syuhada merupakan salah seorang daripada mereka.
“Saya rasa bersyukur kerana terpilih menjadi salah seorang peserta untuk program ILTIZAM Seni ini.
“Memang niat saya untuk menjadikan bidang seni sebagai kerjaya tetap. Program ini membantu saya menyertai pameran seni bersama artis seni lain yang terlibat dalam program ini,” jelasnya.
Untuk program ini, karya yang dihasilkan oleh Syuhada berbentuk dua dimensi bertemakan kain pelekat.
Inspirasinya untuk menghasilkan karya seni bertemakan kain pelekat datang daripada arwah bapanya.
Syuhada menjelaskan, arwah bapanya seorang yang gemar memakai kain pelekat.
“Apabila dia sudah tiada, benda itu menjadi satu memori buat saya.
“Jadi untuk karya kali ini, saya memutuskan untuk fokus menghasilkan corak kain pelekat,” katanya.

Medium yang digunakan untuk hasilkan karya tersebut adalah kertas.
Syuhada memproses kertas tersebut melalui proses rendaman, mewarna, sebelum dijemur.
“Karya yang saya hasilkan sebelum ini menggunakan corak berwarna biru kerana ia adalah warna kesukaan bapa.
“Tetapi untuk program ini, saya mempelbagaikan warna dan cuba bermain dengan rona lebih ceria,” ujarnya.
Sementara itu, Raden Hisbullah Radin Abu Bakar, 30, merupakan salah seorang artis seni yang turut menyertai program ILTIZAM Seni.
Menurutnya, sebelum ini, dia bekerja sebagai pelukis mural secara sepenuh masa sehingga menyukarkannya menghasilkan karya seni.
“Oleh itu, saya mengambil jalan alternatif dengan menyertai program ILTIZAM Seni ini.
“Bagi saya, program ini merupakan jalan terbaik untuk saya fokus berkarya dengan menghasilkan karya peribadi,” jelasnya yang juga merupakan bekas penuntut bidang seni halus.
Tambahnya, program itu boleh menjadi platform untuk dia mencipta nama dalam bidang seni.
Mengulas tentang konsep karya yang dihasilkannya untuk program tersebut, Raden Hisbullah berkata, dia mengambil tema 10 artis seni lain dalam ILTIZAM Seni.
Jadi, dia banyak bermain dengan simbolisme-simbolisme melibatkan semua artis yang terlibat dalam program itu.
Medium yang digunakan untuk menghasilkan karya itu adalah cat akrilik dan dakwat China yang dilakar di atas kanvas.
Dalam pada itu, mengulas tentang program tersebut, Pengarah Hal Ehwal Pihak Berkepentingan Ekuinas, Hizwani Hassan berkata, ILTIZAM Seni merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan oleh pihaknya.

Menurutnya, ILTIZAM Seni merupakan sebahagian program di bawah CSR yang mereka laksanakan.
“Idea untuk mewujudkan program ILTIZAM Seni ini hadir pada hujung tahun 2022 setelah pihak Lembaga Ekuinas merasakan kami kena melakukan sesuatu terhadap bidang seni di Malaysia.
“Apabila kajian dibuat, kami dapati bahawa majoriti graduan seni halus tidak meneruskan kerjaya mereka dalam bidang tersebut kerana tiada peluang dan sebagainya,” katanya.
Oleh itu, program ILTIZAM Seni ini diwujudkan bagi membantu mereka yang terlibat dalam bidang seni halus.
Bercerita lanjut, Hizwani menjelaskan, pada mulanya, pihaknya hanya merancang untuk menyediakan platform kepada artis seni menghasilkan karya dan menjualnya.
“Itu adalah idea asal kita, tetapi kita juga memikirkan bahawa mereka mungkin memerlukan bimbingan bukan hanya dari sudut seni, malah kemahiran-kemahiran lain.
“Melalui program ini, kami bukan hanya menyediakan bimbingan merangkumi seni, malah kemahiran insaniah, pengurusan kewangan dan lain-lain yang diperlukan oleh artis seni,” ujarnya.
Artis seni yang terpilih akan mengikuti program itu selama lima bulan dan mereka mendapat bimbingan daripada pakar-pakar dalam bidang seni serta lain-lain.
Pakar-pakar tersebut akan berkongsi pengalaman dan mengkritik artis seni untuk mereka menjadi lebih baik.
“Program ini pertama kali diadakan pada tahun lalu.
“Kita mulakan dengan pengambilan seramai tujuh orang artis seni dan kita melihat edisi itu berjaya.
“Mereka semua menghasilkan 45 karya dan 25 daripadanya telah terjual yang menghasilkan jumlah jualan sebanyak RM139,000,” kata Hizwani.
Melihat kepada kejayaan itu, program tersebut diteruskan pada tahun ini dengan jumlah penglibatan artis seni seramai 10 orang.
Artis seni yang terlibat dalam program ILTIZAM Seni akan mempamerkan karya mereka dalam satu pameran yang akan diadakan pada Februari tahun depan.














