fbpx
Sarlinawati yang merupakan survivor kanser payudara tahap empat bangkit dengan melakukan jelajah bermotosikal bagi menyampaikan kesedaran kanser kepada orang ramai.

Jelajah dalam, luar negara dengan motosikal sebar kesedaran kanser

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TIGA tahun lalu, hidup wanita ini berubah tatkala dirinya didiagnosis barah payudara tahap empat.

Hati dan jiwanya ketika itu bagaikan mahu runtuh. Seakan-akan batu besar menghempap ke atas kepala dek kerana tidak boleh menerima keputusan doktor.

Bagi wanita ini, tiada siapa pun yang bergelar manusia boleh menerima takdir diberi penyakit sebegitu hebat.

Pun begitu, siapa dia untuk melawan takdir selain hanya mampu reda menerimanya dengan hati terbuka.

“Saya didiagnosis kanser payudara tahap empat pada Jun 2021 ketika negara sedang dibadai pandemik Covid-19.

“Antara punca utama saya mendapat kanser adalah disebabkan kemurungan selama empat tahun sebelumnya (2017) ekoran pengalaman pahit dalam rumah tangga.

“Saya mendapat kanser ketika sedang dalam rawatan pemulihan kemurungan akibat trauma daripada apa yang berlaku dalam hidup,” kata wanita itu yang kini merupakan seorang ibu tunggal kepada Aura.

Berpeluang bertentang mata bersama wanita hebat ini, Sarlinawati Abdul Mues, 48, bersyukur dia mampu bertahan sampai ke tahap ini demi kelangsungan hidup bersama keluarga kecilnya.

Selepas apa yang berlaku, Sarlinawati kini bangkit sebagai seorang pejuang kanser dan aktivis masalah rumah tangga kerana mampu menyelami jiwa isteri-isteri yang mengalami kepahitan dalam perkahwinan.

Dia juga aktif dengan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) sebagai duta dalam menyampaikan kesedaran dengan caranya tersendiri iaitu bermotosikal.

Ketika menziarahi salah seorang rakan seperjuangan kanser dalam jelajah solonya.

Menariknya, program diberi nama Jelajah Solo Pejuang Kanser masih digerakkannya termasuk di dalam dan luar negara.

“Sebelum ini saya telah menjelajah ke seluruh Malaysia selama 22 hari bermula di Institut Kanser Negara, Putrajaya.

“Dalam jelajah tersebut, saya datang ziarah dan menyantuni pejuang-pejuang kanser di setiap destinasi singgahan.

“Kami berkongsi kisah, nasihat dan memberi motivasi serta galakan bersama melalui pengalaman dilalui.

“Ini bertujuan untuk menunjukkan dan menterjemahkan bahawa saya mampu bangkit daripada kanser, melawan dan berjuang dengan cara saya bermotosikal sekali gus memberikan inspirasi kepada rakan seperjuangan.

“Meskipun masih belum disahkan bebas kanser, saya tetap mahu membantu pesakit lain menerusi program amal yang dilakukan dalam jelajah solo ini.

“Ini kerana, masih ada yang tidak tahu apa itu kanser, di mana nak dapatkan bantuan, macam mana nak buat rawatan kanser dan sebab itulah mereka ini perlukan penerangan penuh tentang kanser,” katanya.

Diaju mengenai tahap kesihatannya kini, ibu kepada seorang cahaya mata perempuan itu sekali lagi bersyukur kerana dia sihat dan tiada sel kanser baharu setakat ini.

Pun begitu, dia tetap harus meneruskan rawatan serta pembedahan lain untuk mengelakkan kanser daripada berulang.

“Sebelum ini saya pernah menjalani pembedahan membuang sebelah payudara, menjalani enam sesi kemoterapi dan 15 sesi radioterapi.

“Bercakap soal kos pembedahan dan rawatan, ia memang mahal.

“Tetapi alhamdulillah, rezeki saya disantuni kawan-kawan dan jiran-jiran yang baik yang sama-sama mengumpul dana,” katanya.

Sarlinawati yang merupakan penghidap kanser payudara memberikan perkongsian.

Berkongsi ketika awal melalui rawatan selepas didiagnosis, Sarlinawati mengakui dia juga manusia biasa dan tahu apa itu rasa sakit.

“Saya akui ketika di peringkat awal, saya juga hampir give up (putus asa) kerana tidak tahan dengan kesan sampingan rawatan.

“Kesan melecur akibat radioterapi membuatkan daging-daging pada payudara saya gugur dengan sendirinya ketika mandi.

“Emosi ketika itu memang tidak stabil akibat tekanan ditambah kekangan kewangan untuk meneruskan rawatan.

“Tetapi Allah permudahkan dengan menghantar kawan-kawan seperjuangan dan mereka yang baik serta tidak lokek membantu,” kata Sarlinawati.

Paling menyedihkan ketika pertama kali didiagnosis, doktor menjangkakan dia mampu bertahan untuk hidup sekitar lapan ke 12 bulan sahaja.

Dengan kuasa Allah, dia kini sudah tiga tahun enam bulan masih mampu menghirup udara dan terus giat berkongsi kisah bersama lain.

Bercerita mengenai perancangan selepas ini, Sarlinawati dan beberapa rakan-rakannya bakal meneruskan jelajah ke 22 negara yang dipanggil Jelajah Eropah.

“Jelajah Eropah 2025 ini dijangka mengambil masa selama empat bulan dan membabitkan 22 buah negara.

“Saya merancang untuk menjelajah ke 22 negara pula dimulai di peringkat Asia bermula dari Malaysia, Thailand, Myanmar, China, India, Pakistan dan Nepal.

“Seterusnya jelajah disambung ke Turkiye, Balkan dan masuk ke Eropah melalui Jerman seterusnya ke negara Mesir, Arab Saudi iaitu Mekah (kerjakan umrah), Madinah dan Jeddah untuk pulang ke Malaysia menaiki kapal terbang,” katanya.

Akuinya, jelajah tersebut mencabar diri dan menguji kekuatannya untuk memberikan motivasi kepada semua pejuang kanser tetapi selagi berkesempatan, dia mahu membantu seramai mana orang.

“Kanser ini satu perjalanan baharu. Seperti itu jugalah jelajah saya nanti.

“Kanser bukan pengakhiran. Kanser juga bukan tiket untuk mati. Jangan takut dengan kanser.

“Jangan persoalkan kenapa kita hidap kanser.

“Istimewanya kanser ini kerana kita diberikan amaran awal untuk mempersiapkan diri mencari bekalan kembali pulang kepada Pencipta,” kata Sarlinawati yang kini turut menjaga tiga anak arwah kakaknya dan seorang anak rakan seperjuangannya yang telah meninggal dunia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN