PERJALANAN selama hampir tujuh jam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) menggunakan penerbangan FlyDubai terasa begitu singkat.
Manakan tidak, pesawat Boeing 737-Max milik FlyDubai bukan sahaja menawarkan tempat duduk selesa untuk kelas perniagaan, malah penumpang di kelas ekonomi juga menikmati rasa sama.
Sekadar berkongsi, sepanjang perjalanan selama tujuh jam penulis ke bumi UAE memang tidak terasa bosan.
Sebagai seseorang yang meminati bidang ‘aviation’, segalanya sempurna dalam penerbangan itu.
Untuk makluman, ini pertama kali penulis menjejakkan kaki ke UAE, memang tergaman tatkala mendarat di bumi Dubai.
Hasrat untuk melihat ‘rumah’ kepada syarikat penerbangan Emirates akhirnya tercapai. Deretan pesawat Boeing 777-300 dan Airbus A380 membuatkan penulis semakin kagum dengan syarikat berkenaan.
Namun, apa yang lebih menarik adalah bauan yang penulis hidu apabila menjejakkan kaki di Dubai. Benar kata orang, tanah Arab memang wangi.
Setibanya di Hotel Rove Downtown yang menjadi lokasi penginapan selama enam hari di Dubai, penulis terus disambut dengan bauan yang sungguh enak dan terasa mewah.
Sebelum ini, penulis ada pengalaman menginap di beberapa hotel termasuk bertaraf lima bintang seperti di Turkiye dan Jakarta (Indonesia), namun di Dubai, lain rasanya.

Jadi, pengembaraan penulis di Dubai sentiasa disambut dengan ‘signature scent’ yang terdapat di setiap bangunan dilawati lebih-lebih lagi di pusat beli-belah.
Antara bangunan mempunyai bauan paling wangi yang dapat penulis kongsikan adalah di Dubai Mall, The View At The Palm, Mall of The Emirates serta AYA Universe.
Percayalah, semuanya mempunyai bauan tersendiri tatkala penulis melangkah masuk ke dalamnya, sekali gus mencerminkan elemen kemewahan yang sering dikaitkan dengan UAE.
Selain bercakap tentang bauan indah itu, perjalanan penulis di Dubai turut disambut dengan kemegahan bangunan yang terdapat di sana, di mana semuanya dianggap sebagai ‘terbesar’ di dunia.
Pastinya, kunjungan setiap penduduk dunia ke Dubai tidak lengkap sekiranya gagal menatap kemegahan Burj Khalifa yang merupakan bangunan tertinggi di dunia.
Menara terletak bersebelahan Dubai Mall itu membuktikan kecerdikan manusia membangunkan bangunan yang boleh disifatkan sebagai ‘The Majestic’.
Ketika kunjungan ke situ, penulis sempat menikmati persembahan ‘water fountain’ yang diadakan dengan berlatarbelakangkan Burj Khalifa.
Persembahan itu bermula pada pukul 6 petang dengan kekerapan setiap 30 minit.
Sebenarnya, Dubai bukan sahaja tentang perjalanan melihat menara tertinggi sahaja, tetapi ia turut menawarkan penerokaan ke kawasan berbeza yang mencerminkan sisi lain bandar metropolitan itu.
Dalam konteks ini, penulis berkesempatan berkunjung ke kawasan pasar yang dikenali sebagai ‘souq’ seperti Al-Seef dan Gold Souq.
Ketika berada di situ, penulis mengambil kesempatan membeli beberapa botol minyak wangi yang menjadi antara item wajib beli, lebih-lebih lagi bauan oud.
Selain itu, ‘souq’ juga menjadi antara lokasi terbaik untuk membeli rempah-ratus dan bahan premium seperti safron dengan harga cukup berpatutan.
Apa yang penting, ketika berada di ‘souq’, pengunjung perlu bijak berbicara dan tawar-menawar.
Pastinya, ia akan menjadi pelancongan cukup berbaloi jika barangan yang dibeli ditawarkan pada harga murah.














