fbpx
SAIFUDDIN NASUTION (kanan) dalam temu bual eksklusif dengan Kosmo! di Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya baru-baru ini. – FAIZ ALIF ZUBIR

[EKSKLUSIF] Jho Low diburu setiap masa sampai dapat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Malaysia tidak pernah berputus asa memburu dan mengesan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low yang terkait dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Saifuddin Nasution Ismail me­negaskan, kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Polis Antarabangsa (Interpol) bagi mengesan individu dikehendaki itu sehingga kini masih berjalan seperti biasa.

“(Kerjasama Kementerian Dalam Negeri dan PDRM) itu tak syak lagi, malah kita berjaya bawa balik Jasmine (bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan, 50). Maknanya kita tak pernah henti (buru Jho Low). Kita bawa balik Jasmine.

“Pihak polis macam biasalah, kerjasama Interpol semuanya berjalan macam biasa,” kata­nya ketika ditanya perkembangan terkini pemburuan Jho Low dalam temu bual bersama Kosmo!­ baru-baru ini.

Ditanya lokasi terakhir Jho Low, kata Saifuddin Nasution, beliau mendapatkan maklumat terkini dari semasa ke semasa daripada pihak polis berdasarkan pemakluman ‘correspondent’.

“Keadaan macam sekarang yang kita sedia maklum. Cuma kalau ada perubahan misalnya, Jasmine iaitu kawan dia itu… yang itu bila kita tahu, kita bawa baliklah. Yang ini kita tidak ada, status quo macam itu,” katanya.

Ujar beliau, hubungan rapat antara Malaysia dan China juga membolehkan kerjasama antara kedua-dua pihak sekiranya di­ketahui keberadaan Jho Low.

“Kita dengan China cukup dekat. Saya percaya kalau ada (keberadaan Jho Low), sudah tentu kerjasama akan berlaku. Kalau ada, saya yakin kita maklumkan. Setakat saya di sini, tak ada. Status quo begitu sahaja,” ujarnya.

Pada 19 November lalu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada forum ber­tajuk Media Townhall: Getting the Facts Right-The Untold Stories of 1MDB & Other Cases mendakwa beliau percaya Jho Low kini bersembunyi di Myanmar.

Bagaimanapun, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menjelaskan, PDRM belum menerima sebarang maklumat daripada Polis Myanmar berhubung keberadaan Jho Low di negara itu seperti yang didakwa. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN