PETALING JAYA – Ramai pelancong Malaysia terpaksa berkampung di Dannok apabila mereka terkandas selepas dilarang memasuki Hatyai untuk bercuti ekoran banjir mula melanda Selatan Thailand.
Seorang rakyat Malaysia, Fatin Nabilah, 32, berkata, dia sekeluarga terpaksa menukar perancangan di saat-saat akhir untuk bercuti ke Hatyai selepas banyak jalan ditutup akibat dinaiki air.
“Kami tak dapat ke Hatyai sebab jalan di Sadao air sudah mula naik, polis yang jaga suruh berpatah balik.
“Kami tempah hotel baharu di Dannok dan untuk tempahan di Hatyai, kami hanya tukar ke tarikh lain sebab pihak hotel membenarkan buat penukaran tarikh sehingga Mac tahun depan,” katanya kepada Kosmo!.
Fatin Nabilah berkata, Dannok ketika ini dipenuhi rakyat Malaysia dan pelancong asing lain.
“Apabila jalan menuju ke Hatyai ditutup, semua singgah di Dannok. Di Dannok juga sepanjang hari hujan, tapi masih boleh untuk berjalan-jalan,” ujarnya.
Sementara itu, sebahagian pelancong Malaysia yang berada di Hatyai pula menghadapi pengalaman mendebarkan apabila kawasan itu dilanda banjir.
Seorang pelancong dikenali Nurul, 39, berkata, kereta dinaikinya bersama dua rakan mengalami kerosakan beberapa kali.
“Cadang memang tidur satu malam di Hatyai, kami sampai Rabu lalu dan semalam (kelmarin) tak sangka pula apabila nak balik air banjir makin naik. Kereta pun breakdown banyak kali.
“Sudahlah masa nak balik, peta bawa laluan kampung yang banjir teruk di sekitar Hatyai. Lagi meragam kereta kami. Mujur ada penduduk bantu kami. Memang kawasan sini ada yang sudah tenggelam paras paha terutama di sekitar Sadao,” ujarnya.

Marzuki, 38, pula menceritakan, dia bersama dua yang lain juga terperangkap beberapa jam di Hatyai ekoran banjir yang berlaku di wilayah Songkhla.
Peniaga itu berkata, sepatutnya mereka bertiga bercuti di Hatyai bermula Isnin sehingga semalam, namun terpaksa pulang sehari awal kerana bimbang tidak dapat keluar dari kawasan itu keesokannya.
“Takut tersangkut lebih lama, kami gagahkan balik juga pagi Khamis tetapi itu pun air banjir dah mula tinggi, mereka yang nak keluar dari Hatyai sebelum pukul 1 tengah hari masih lepas, selepas itu polis suruh patah balik sebab bahaya.
“Sekitar Hatyai memang jalan sesak, peniaga dan penduduk setempat memang kelam kabut kemas barang. Ramai lagi rakyat Malaysia tersangkut di Hatyai sebab tak benar redah banjir kalau nak balik ke Bukit Kayu Hitam,” katanya.
Erisya Aqlin Shamsul Bahri, 27, pula berkata, dia bersama keluarga terperangkap enam jam di Tunglung, Songkhla kelmarin.
Ketika keluar dari Bandar Hatyai, polis Thailand tidak membenarkan mereka melalui laluan ke Bukit kayu Hitam, Kedah dan diminta untuk berpatah balik ekoran air semakin tinggi.
“Kami sekeluarga ke Hatyai pada Selasa lalu, cuaca ketika itu hujan, tetapi tidaklah banjir dan semalam (kelmarin), masa nak balik ke sempadan Bukit Kayu Hitam, sekitar Tunglung sudah banjir paras betis.
“Kereta kami pula rendah dan memang tak dibenarkan lalu oleh polis sana, yang lepas pun trak pikap. Waktu itu sekitar pukul 3 petang waktu Thailand,” katanya.
Ujarnya, dia dan keluarga terdiri daripada dua dewasa, seorang kanak-kanak, bayi dan dua warga emas terpaksa menunggu di bahu jalan sehingga dibenarkan lalu oleh polis bertugas.
“Nak patah balik ke Bandar Hatyai tak lepas juga, nak terus ke Bukit Kayu Hitam pun tak lepas.
“Kami cari tempat berteduh di kedai serbaneka yang ada, kejap singgah stesen minyak sehingga pukul 9.30 malam, baru dibenarkan melepasi kawasan Tunglung sebab air mula surut,” kongsinya.














