fbpx
MG HS merupakan salah satu daripada empat model MG yang kini diperkenalkan di pasaran Malaysia secara rasmi.

Jenama seabad British kini di pasaran Malaysia, MG HS model kemegahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JENAMA automotif ikonik British, MG atau nama penuhnya Morris Garages kini telah memasuki Malaysia.

Mungkin sebelum ini namanya agak asing, namun kini ia semakin dikenali dan kereta MG kelihatan mula meluncur di jalan raya selepas SAIC Motor Malaysia menjadi pengedar utama kepada jenama MG di negara ini.

Kejayaan MG yang berusia 100 tahun turut disumbangkan oleh kerjasama dengan SAIC Motor yang juga pengeluar kereta terbesar di China.

Dengan slogan ‘Passion Drives’, MG mencipta kenderaan yang menggabungkan antara gaya, prestasi dan inovasi.

Ditubuhkan di England pada tahun 1924, MG lebih daripada sekadar jenama dan telah membawa kecemerlangan automotif British ke seluruh dunia yang turut meninggalkan kesan dalam sejarah automotif.

Kini, MG meneruskan legasi dengan membawa teknologi canggih dan kelestarian termasuk menerusi model kenderaan elektrik (EV) berprestasi tinggi selain model-model biasa.

Empat model MG telah diperkenalkan untuk pasaran Malaysia iaitu MG ZS EV, MG4 EV, MG5 dan MG HS.

Elegan dan berani sesuai digambarkan untuk model MG HS iaitu kereta jenis enjin pembakaran dalaman (ICE) yang baru diperkenalkan oleh SAIC Motor Malaysia.

MG HS versi facelift dari model generasi pertama ini hadir dalam dua varian iaitu Standard yang dijual pada harga RM129,900 dan varian tertinggi Lux RM145,900.

Bukan sahaja luaran, bahagian dalamannya juga tampak elegan dengan rona hitam.

MG HS yang merupakan kenderaan utiliti sukan (SUV) bagi segmen C dijangka memberi saingan kepada SUV dalam segmen sama iaitu Proton X70, Honda CR-V dan Mazda CX-5.

Model yang diangkat sebagai model kemegahan bagi MG ini merupakan SUV mewah untuk pengguna berkeluarga dengan elemen sporty.

Penampilan luaran MG HS ini menampilkan rekaan gril yang tampak berani di samping logo MG yang menyerlah di atasnya.

MG HS baharu turut tampil dengan lampu hadapan jenis lampu pencahayaan siang (DRL) serta bampar belakang yang menyerlahkan HS sebagai SUV paling menarik keluaran MG.

Model SUV itu juga dilengkapi dengan dua ekzos, lampu LED dan spoiler yang sporty.

Rekaan luar MG HS varian Standard mempunyai cermin sisi kawalan elektrik, rel bumbung, spoiler belakang dan rim aloi bersaiz 17 inci.

Sementara MG HS varian Lux ditambah dengan bumbung suria panaromik dan pintu tailgate belakang automatik.

Varian Lux diperkemas dengan rim aloi potongan ‘Diamond Cut’ bersaiz 18 inci bagi melengkapkan gaya aerodinamiknya.

Untuk lebih sporty, MG HS varian Lux menampilkan ciri eksklusif dengan kaliper brek berwarna merah dan mod pemanduan ‘Super Sport’ yang menambah dinamik pada pengalaman pemanduan.

Dari segi dimensi, MG HS bersaiz 4,574 milimeter (mm) panjang, 1,876mm lebar, 1,664mm tinggi dengan jarak roda sejauh 2,720mm.

Ruang kargo pula memuatkan kapasiti sehingga 1,287 liter apabila tempat duduk belakang dilipat.

Lebih menarik, SUV ini dilengkapi dengan sistem MG iSMART yang membolehkan pelbagai fungsi kawalan menerusi telefon bimbit antaranya penetapan suhu dalam kabin kereta.

Dari segi kuasa, kedua-dua varian MG HS dijana oleh enjin petrol turbo 1.5 liter yang digabungkan dengan transmisi klac berkembar automatik tujuh kelajuan yang memacu roda hadapan.

Gabungan kuasa itu mampu menghasilkan 160PS dan tork maksimum 250Nm.

Keselesaan dapat dilihat pada varian Lux yang turut dilengkapi dengan bumbung suria panaromik.

Meninjau ke ruangan kabin, MG HS varian Standard diberikan perincian termasuk balutan kerusi upholsteri kulit hitam dengan tempat duduk hadapan kawalan elektrik.

Seterusnya, MG HS dilengkapi paparan instrumen analog dengan skrin pelbagai info bersaiz tujuh inci, skrin infotainment 10.1 inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto serta dihubungkan kepada empat pembesar suara.

Varian Standard juga diberikan sistem pendingin hawa zon tunggal dengan penapis udara PM2.5 dan liang penghembus kabin belakang serta empat peranti USB.

Untuk varian Lux pula, bahagian dalamannya dipertingkat dengan paparan instrumen digital berukuran 12.3 inci, tempat duduk Sport, mod pemanduan Super Sport, pedal penukar gear, enam pembesar suara, lampu ambient 64 warna dan penghawa dingin dua zon.

Bagi sistem keselamatan, kedua-dua varian dibekalkan standard dengan enam beg udara, kawalan kestabilan elektronik, kawalan brek ketika selekoh, active rollover protection, bantuan mula mendaki, kawalan menurun cerun dan juga kamera undur.

Varian lebih tinggi MG HS Lux pula dilengkapi kamera 360 darjah dan juga tambahan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) MG Pilot yang menampilkan fungsi seperti amaran perlanggaran hadapan dan cruise control adaptif

Ia turut dilengkapi bantuan kesesakan trafik, amaran keluar lorong serta bantuan tukar lorong, pengesan titik buta, amaran perlanggaran belakang, amaran lintasan trafik belakang dan amaran bukaan pintu.

Empat warna badan ditawarkan untuk pasaran Malaysia bagi MG HS iaitu Dynamic Red, Arctic White, Black Pearl dan Camden Grey.

SAIC Motor Malaysia turut memberikan perlindungan waranti pengeluar selama lima tahun tanpa had perbatuan untuk kenderaan bersama waranti berasingan untuk unit rangkaian kuasa (enjin dan transmisi) selama tujuh tahun tanpa had perbatuan.

Kesimpulannya, penulis berpandangan, model MG HS ini sesuai untuk pemanduan keluarga berdasarkan saiz, selain harganya di bawah RM150,000.

Kelebihan lain, kenderaan ini yang mempunyai sistem teknologi dan keselamatan ini sesuai untuk pengguna yang ingin menukar kereta dengan nafas baharu atau jenama baharu di pasaran.

Selain itu, rekaannya yang elegan dan berani menyerlahkan sisi SUV dari Britain ini berbanding SUV-SUV lain di pasaran dengan ciri-ciri ikonik ditawarkan MG.

Dari segi pemanduan, penulis belum memandu uji model ini dan berkemungkinan ketahanannya lebih kurang sama dengan SUV-SUV pesaing lain.

Memandangkan kereta ini jenis ICE, maka ia sesuai untuk pengguna yang masih memilih pemanduan tradisional yang disifatkan praktikal dengan keadaan dan struktur jalan raya di Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN