TREND peningkatan harga sawit pada tahun ini memberikan durian runtuh kepada golongan peneroka tanah rancangan Felda dan juga pekebun kecil sawit.
Dengan kenaikan harga sawit yang mencecah sehingga RM1,200 menyaksikan ada peneroka mampu tersenyum lebar apabila meraih sehingga lebih RM20,000 sebulan dan kebanyakan peneroka boleh mendapat purata pendapatan RM10,000 sebulan.
Bagi peneroka yang mengalami kekurangan hasil ladang atau yang dikatakan buah ‘melawas’ mereka juga mampu tersenyum dengan pendapatan purata RM5,000 sebulan.
Namun, ketika golongan peneroka gembira dengan kenaikan harga sawit, namun ada ‘mata-mata’ yang tersenyum sinis melihat tandan-tandan sawit yang berada di ladang-ladang sawit, yang menjadi sasaran mereka.
Dengan harga komoditi itu yang meningkat menyaksikan kelapa sawit kini amat berharga yang mencecah lebih RM30 setandan dan seperti kelazimanan sejak sekian lama apabila harga sawit meningkat masalah kecurian pun menjadi-jadi.
Masalah kecurian sawit bagaikan tiada kesudahan sejak sekian lama yang sukar diatasi menyebabkan peneroka dan pemilik ladang terus dan terus mengalami kerugian.
Pencuri kelihatan lebih licik apabila ada yang menggunakan lori, trak pikap, kereta dan motosikal untuk mencuri tanpa berasa takut dan mereka licik memilih waktu sesuai seperti ketika solat Jumaat.
Pengerusi Biro Sosial Felda wilayah Jengka Razak Daud berkata, masalah kecurian di tanah rancangan Felda bagaikan tiada noktah dan semakin menjadi-jadi yang mana isu ini sudah berlarutan sekian lama.
Katanya, sememangnya pemantauan dilakukan bersama-sama oleh peneroka, namun mereka tidak mampu mengawal keseluruhan ladang 24 jam apatah lagi dengan
rata-rata peneroka pada masa ini sudah berusia veteran.
Dalam hal ini Pengerusi Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan Negeri, Datuk Amizar Abu Adam berkata, selain pemantauan berterusan dalam menangani isu penjualan sawit curi ini, beliau juga sedang berbincang dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bagi mencari kaedah berkesan dalam mengelakkan penjualan sawit curi di pusat timbang.
Beliau berkata, sekiranya pusat timbang berkenaan didapati membeli sawit yang dicuri, tindakan tegas perlu dikenakan termasuk pembatalan lesen.
Jadi Sudah sampai masanya isu kecurian sawit ini dibanteras dari segenap sudut dan segala lompong yang boleh membuka ruang kecurian ini dapat dibanteras, tidak hanya sekadar pemantauan dan laporan polis setiap kali berlaku kecurian.
Bukan sahaja mencari siapa yang mencuri buah sawit dan mengenakan tindakan, namun tindakan tegas juga harus dikenakan kepada pembeli sawit curi agar aktiviti kecurian ini dinoktahkan.
Jadi satu sistem pembelian sawit yang dapat mengelakkan pembelian sawit curi di pusat belian sawit perlu diwujudkan dan tindakan tegas perlu dikenakan kepada pusat belian sawit yang didapati membeli sawit curi.
Batal sahaja lesen mereka bagi memberikan pengajaran kepada pihak lain sekali gus menoktahkan kes kecurian ini.














