SEJAK lima tahun lalu, wanita berusia 45 tahun itu bersama suaminya memilih untuk mengusahakan perniagaan kedai jahit pakaian di Puchong Perdana, Selangor.
Hasil pendapatan yang diperoleh Khamisah Jamaluddin daripada perniagaan itu cukup baik memandangkan dia mempunyai sejumlah pelanggan tetap yang yakin dengan kualiti jahitannya.
Bagaimanapun, nasib anak jati Selangor itu bertukar suram apabila pihak kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac tahun lalu dalam usaha membendung pandemik Covid-19 dalam masyarakat.
Pendapatan bulanan ibu kepada empat cahaya mata itu dianggarkan susut 40 peratus ekoran pelaksanaan PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang hampir sepanjang tahun lalu.
Situasi tersebut sedikit sebanyak telah menyukarkan kehidupan Khamisah terutamanya untuk melunaskan komitmen setiap bulan seperti gaji dua pekerjanya dan bayaran sewa kedai.

“Kehidupan saya sebagai tukang jahit agak mencabar apabila kedai terpaksa ditutup ketika pelaksanaan PKP. Selepas dibuka kembali, jumlah tempahan pakaian susut dengan banyak.
“Keadaan ini sedikit sebanyak menjejaskan pendapatan bulanan saya sekali gus memaksa kami sekeluarga mengambil langkah berjimat cermat,” katanya kepada K2 baru-baru ini.
Menyedari hakikat itu, Khamisah tidak berdiam diri sebaliknya dia berusaha mencari pendapatan alternatif dengan menyertai Program Pembangunan Komuniti Kraf (PPKK) yang berlangsung di Kompleks Presint 9, Putrajaya baru-baru ini.
PPKK adalah sebuah program di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dalam usaha kerajaan memulihkan ekonomi negara yang terjejas akibat Covid-19.
Program berlangsung di seluruh negara termasuk Putrajaya itu terbuka kepada para belia, asnaf, golongan kategori B40, suri rumah, ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas yang terkesan akibat pandemik.
Di Putrajaya, program berkenaan dianjurkan dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Selangor dan Wilayah Persekutuan dengan Perbadanan Putrajaya (PPj).
Menerusi program selama dua hari itu, Khamisah berpeluang mempelajari ilmu penghasilan batik teknik ikat celup shibori dan itajame. Pada masa sama, dia turut didedahkan dengan ilmu jahitan bagi menghasilkan produk kraf jahitan batik seperti pelitup muka, sarung botol air, beg tote, baju-T, anak patung, alas meja dan bantal leher.
“Hasil daripada PPKK, saya berjaya menghasilkan produk seperti tudung dan alas meja yang diperbuat daripada batik.
“Alhamdulillah, ia sedikit sebanyak dapat menambah pendapatan bulanan saya. Program ini sangat bermanfaat kepada usahawan yang terjejas pendapatan seperti saya,” ujarnya.
Para peserta diberi tunjuk ajar bagi menghasilkan produk kraf melalui teknik dan kaedah yang dikendalikan oleh tenaga pengajar mahir berdasarkan modul pembelajaran disediakan oleh pihak Kraftangan Malaysia.
Tidak cukup itu, peserta turut diberi pendedahan mengenai kemahiran insaniah seperti aspek komunikasi, pemasaran secara online, pengiraan kos, kewangan serta simulasi perniagaan supaya dapat menjadi seorang usahawan berdaya maju.
Terdahulu, PPKK yang diadakan di Putrajaya dikenali sebagai Kraf Komuniti Ku (KKK) dengan Fasa I dan Fasa II telah dilaksanakan pada tahun 2019. Pada tahun 2020, projek KKK Fasa III diadakan pada 3 hingga 4 Ogos lalu.

Pada Fasa IV, program yang dijenamakan semula sebagai PPKK itu telah diadakan pada 19 hingga 20 Disember lalu dengan melibatkan seramai 20 peserta.
Seorang lagi peserta, Norsujilawati Ridzwan, 36, berkata, program PPKK memberi peluang dan idea kepadanya untuk menghasilkan produk kraf bagi menjana pendapatan sampingan.
Wanita yang bertugas sebagai setiausaha pejabat di Suruhanjaya Pilihan Raya, Putrajaya itu memaklumkan, dia berjaya menghasil dan memasarkan anak patung diperbuat daripada batik teknik itajime dan shibori.
“Program ini sangat menarik dan bermanfaat kerana melibatkan tenaga pengajar yang mempunyai kemahiran dalam penghasilan batik dan jahitan.
“Melalui PPKK, saya berjaya mempunyai produk sendiri berupa permainan soft toys sekali gus membantu menjana pendapatan sampingan ketika musim Covid-19 ini,” ujar Norsujilawati.
Terangnya, masa hujung minggunya banyak dihabiskan untuk menjahit anak patung sebelum memasarkannya pada sebelah malam selepas pulang dari kerja menerusi platform online.
Produk kraf yang dihasilkan Norsujilawati telah mendapat sambutan menggalakkan.
Produk dihasilkannya mendapat perhatian dan kepercayaan untuk dipasarkan melalui outlet-outlet anak syarikat Kraftangan Malaysia iaitu menerusi Syarikat Pemasaran Karyaneka Sdn. Bhd. (Karyaneka).
Di bawah teras pertama Penjana iaitu memperkasakan rakyat, Kraftangan Malaysia giat melaksanakan pelbagai program dalam usaha membantu usahawan kraf tempatan serta komuniti menghadapi situasi ekonomi agak mencabar.
Sejak PPKK dilaksanakan di seluruh negara sejak September lalu sebanyak 154 aktiviti diadakan dengan penglibatan keseluruhan penyertaan seramai 1,594 peserta.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, ‘Ainu Sham Rambli berkata, PPKK merupakan usaha diambil pihaknya dalam membantu ekonomi komuniti yang terjejas disebabkan Covid-19.

Katanya, program PPKK membolehkan komuniti diberi bimbingan berkaitan kemahiran teknikal untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran dan kuantiti penghasilan produk sedia ada.
“Program ini juga secara tidak langsung memberi penekanan kepada usaha memperkasa usahawan kraf sedia ada di satu-satu kawasan,” tegasnya.
Menurut ‘Ainu Sham, pihaknya juga akan terus berusaha memastikan komuniti kraf yang dilahirkan terus dibimbing bagi mengekalkan penghasilan produk kraf yang berkualiti.
Jelasnya, usaha tersebut selaras dengan teras inisiatif PPKK yang merangkumi pembangunan produk, pembangunan pengeluaran, pembangunan kemahiran teknikal digital serta pasaran dan promosi.
“Kami membantu para peserta PPKK dalam aspek bantuan bahan mentah melalui aktiviti Orientasi Pengeluaran (OP) bagi penghasilan produk jualan selain sokongan melalui tempahan dari Karyaneka.
“Kami juga menyediakan platform pemasaran secara atas talian seperti E-Kraf Bazar dan Mycraftshoppe bagi memudahkan peserta memasarkan produk sekali gus menjana pendapatan,” ujarnya.














