PONTIAN – Komuniti Perikanan Pulai Sebatang (MyKP) di sini kehilangan pendapatan kira-kira RM500,000 setahun akibat kerang yang diternak dicuri pihak tidak bertanggungjawab.
Pengerusi MyKP, Ismail Hassan berkata, anggaran kasar kehilangan kerang yang dicuri pula kira-kira 15 tan kerang setahun pelbagai saiz termasuk ‘anak-anak ‘ kerang yang turut dicuri.
Katanya, disebabkan itu, kira-kira 20 nelayan yang melakukan kerja-kerja menyauk kerang dibawah MyKP kehilangan sumber pendapatan.
Ujarnya, saiz kerang yang dibenarkan untuk dituai oleh Jabatan Perikanan ialah 24 milimeter (mm), namun kebanyakan hasil itu tidak sempat membesar disebabkan tindakan rakus pencuri terbabit.
“Maknanya kerang yang paling elok bagi 1 kilogram (kg) antara 100 hingga 120 biji kerang, namun pihak yang membeli hasil curi berkenaan tidak mengambil kira semua itu memandangkan anak-anak kerang pun mereka borong sekali.
“Pembeli kerang dicuri boleh diibaratkan sebagai pembeli besi buruk yang membeli pelbagai jenis besi buruk termasuk yang dicuri,” katanya ketika ditemui di Jeti Pengkalan Nelayan Kampung Pulai Sebatang, di sini semalam.
Tambahnya, keadaan itu sungguh mendukacitakan kerana pendapatan daripada hasil menyauk kerang merupakan ‘bonus’ tahunan kepada ahli-ahli MyKP pada setiap tahun, namun kini segalanya telah hilang.
“MyKP telah diberikan dua lot kawasan pembiakan kerang di laut Pulai Sebatang dengan dikenakan pembayaran tol, yang mana setiap lot diberikan kepada 10 orang nelayan untuk menjaganya.
“Kawasan yang telah dikhaskan kepada kami pun turut diceroboh, bagaimana kami semua nak cari ‘makan’,” katanya.
Ismail memberitahu, bagi mencegah perkara itu dari terus berleluasa, dia mencadangkan supaya penguatkuasaan bagi membenteras pencuri kerang dilakukan di darat.
Dalam hal ini ujarnya, setiap penjual kerang perlu mengemukakan permit sebelum mereka menjual hasil tersebut kepada pihak lain dengan menyatakan lokasi kerang yang diambil.
















