KAMPAR – Penduduk Kampung Bunga Tanjung dan Kampung Changkat Belulang, Malim Nawar di sini kecewa apabila langsung tidak dapat menikmati hasil tanaman apabila kawasan penempatan mereka diancam kera liar sejak 10 tahun lalu.
Penduduk mendakwa pokok buah-buahan seperti durian, rambutan, jambu, betik, mempelam dan pisang habis menjadi habuan haiwan tersebut walaupun belum masak lagi.
Mereka mendakwa, kera liar masuk ke kampung sejak kawasan hutan berhampiran telah digondolkan dan dibersihkan untuk dijadikan kawasan pertanian dan tanaman kelapa sawit.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Kampung Bunga Tanjung dan Kampung Changkat Belulang, Suhana Hasri, 45, berkata, penduduk sudah tidak tahan dan terlalu sedih kerana kerugian dan risau mengenai keselamatan mereka.
Katanya, mereka terpaksa membeli buah-buahan kampung di pasar dan tidak lagi boleh merasa hasil sendiri seperti sebelum ini.
“Semuanya kena beli. Tandan pisang yang dibalut dengan rapi sekalipun haiwan itu boleh ambil dengan mudah.
“Kebanyakan daripada 200 penduduk di sini bekerja sebagai petani dan nelayan darat. Kera masuk ke rumah penduduk melalui dapur dan pintu terbuka untuk mencuri makanan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Menurut Suhana, kera di situ kelihatan bijak apabila memakan isi telur ayam dan menyusun kulitnya dengan rapi di bekasnya selain turut mencuri kuaci, roti dan keropok.
Tambahnya, haiwan itu juga pandai menyelongkar peti sejuk untuk mencari apa sahaja makanan yang ada termasuk ais krim.
“Penduduk sudah ‘patah hati’ untuk menanam pokok buah-buahan dan sayur kerana sudah pasti hasilnya akan dikerjakan haiwan liar tersebut,” katanya.
Bagaimanapun, ujar Suhana, setakat ini tiada kes kanak-kanak atau orang dewasa diserang kera liar tersebut, namun mereka berharap pihak berkuasa mengambil tindakan segera sebelum perkara buruk berlaku.
“Perangkap kera yang disediakan oleh Perhilitan Perak pun tidak berjaya kerana mereka pandai untuk membebaskan diri sambil mengambil makanan di situ sebagai umpan,” katanya.
Justeru, beliau berharap ada langkah penyelesaian jangka masa panjang dapat dilakukan bagi mengatasi masalah itu untuk kepentingan penduduk kampung.















