PASUKAN Gerakan Am (PGA) menumpaskan kegiatan penyeludupan barangan runcit dari Thailand selepas menahan enam lelaki di Rantau Panjang baru-baru ini.
Rata-rata penyeludup merupakan warga tempatan. Modus operandi mereka adalah mudah iaitu menunggu di pangkalan haram di tebing Sungai Golok sebelum memunggah barang runcit ke dalam kereta dan menggunakan laluan kampung bagi mengelak ditahan pihak berkuasa.
Barangan itu akan dihantar kepada pemborong dan peniaga untuk dijual di pasaran Kelantan, malah seluruh Semenanjung Malaysia.
Tinjauan di Kota Bharu mendapati, banyak makanan atau barangan runcit dari negara jiran dijual secara terbuka. Jika dilihat, beras, sos pencicah, kerepek dan mi segera Thailand banyak dijual di Kelantan dan mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan. Berdasarkan pemerhatian, jualan barangan runcit seludup di negara ini dilakukan secara terbuka tanpa segan silu.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Ab. Hamid berkata, faktor utama berlakunya kegiatan penyeludupan barangan runcit ke negara ini adalah disebabkan permintaan tinggi ke atas barangan tersebut.
Menurutnya, harga barangan yang murah turut menjadi penyumbang kepada permintaan tinggi barangan runcit dari Thailand.
“Produk penambah perisa makanan, beras, minuman berperisa, sosej dan makanan ringan merupakan antara barangan runcit yang kerap dirampas PGA sepanjang Ops Taring Wawasan Kelantan dilaksanakan.
“Sebahagian besar pembeli barangan runcit Thailand terdiri daripada pemborong dan peniaga. Hanya sebilangan kecil penduduk di pinggir Sungai Golok terlibat dengan kegiatan tersebut,” katanya kepada Kosmo!.
Nik Ros Azhan memberitahu, kekerapan rampasan sejak kebelakangan ini menunjukkan bahawa masyarakat di negara ini khususnya di Kelantan sangat bergantung kepada barangan runcit dari Thailand.
Jelas beliau, terdapat beberapa kes tangkapan berulang ke atas individu yang sama melibatkan kesalahan membawa barangan runcit seludup dari negara jiran.
“Ini menunjukkan barangan runcit Thailand sangat diperlukan oleh penduduk Kelantan dan sekitarnya.
“Kebergantungan kepada barangan runcit itu juga berbalik kepada faktor harganya yang lebih murah berbanding produk tempatan.
“Selain itu, faktor tradisi penduduk di Kelantan juga memainkan peranan terhadap permintaan produk tersebut apabila mereka sudah terbiasa dengan penggunaan barangan dari Thailand,” ujarnya.
Siasatan awal pihak PGA turut mendapati bahawa barangan runcit seludup akan dibawa ke pasar-pasar harian sekitar Pasir Mas, Tumpat dan Kota Bharu.
Tambahnya, produk itu kemudian diedarkan ke seluruh Kelantan sebelum dibawa ke negeri-negeri lain bergantung kepada permintaan.
“Meskipun permintaan terhadap produk Thailand tinggi, semua pihak perlu ingat bahawa kegiatan penyeludup tetap salah di sisi undang-undang,” tegas beliau. -KOSMO! ONLINE
















