PURATA tuaian sawit bagi seorang peneroka adalah antara 10 tan hingga 15 tan sebulan bergantung kepada keluasan ladang masing-masing.

Peneroka sawit raih RM20,000 sebulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JERANTUT – Kenaikan harga buah kelapa sawit ketika ini bagaikan durian runtuh kepada peneroka apabila mereka mampu memperoleh pendapatan lumayah mencecah lebih
RM20,000 sebulan.

Lebih menggembirakan apabila rata-rata peneroka mengakui mereka mampu mengeluarkan hasil buah kelapa sawit yang lebih banyak berbanding beberapa bulan lalu.

Difahamkan, harga bagi buah tandan segar (BTS) bermula Janua­ri hingga Oktober tahun ini adalah sekitar RM800 hingga RM900 bagi satu tan metrik, sebelum melonjak mencecah RM1,200.

Bagi peneroka, lonjakan harga­ buah kelapa sawit ketika ini memberi sedikit kelegaan untuk mereka menabung selain melunaskan pelbagai hutang-hutang sampingan.

Peneroka Felda Kota Gelanggi 1, Johari A. Manaf, 81, berkata, dia bersyukur memandangkan hasil ladang kelapa sawit yang di­usahakannya telah menunjukkan peningkatan apabila dia mampu mengeluarkan kira-kira 20 hingga 25 tan sebulan.

Katanya, berdasarkan harga semasa dengan keluasan 5 hektar (14 ekar) kelapa sawitnya, dia mampu memperoleh pendapatan antara RM20,000 hingga RM30,000 sebulan.

“Alhamdulillah harga sawit meningkat ketara sejak ke­belakangan ini dan dapatlah kami menikmati pendapatan yang lebih baik.

“Saya jangkakan harga buah sawit ketika ini mampu bertahan lama,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

HARGA minyak sawit mentah turut kekal pada paras tinggi iaitu RM5,050 bagi setiap tan.

Dalam pada itu, Ketua Pe­neroka Felda Kota Gelanggi 1, Abd. Rahman Ghani berkata, pada masa ini purata tuaian sawit bagi seorang peneroka adalah antara 10 tan hingga 15 tan sebulan dengan pendapatan sekitar RM10,000 bergantung kepada keluasan ladang.

Katanya, harga sawit juga masih menunjukkan trend pe­ningkatan dari semasa ke semasa­ dan berkemungkinan boleh mencecah sehingga RM1,300 setan seperti tahun sebelum ini.

Bagaimanapun katanya, apa yang dibimbangi pada masa ini adalah kes kecurian sawit yang semakin menjadi-jadi sehingga meresahkan golongan peneroka.

“Pada masa ini setandan sawit sudah boleh mencecah RM30 dan meskipun ia memberi pendapatan yang besar, saya harap pe­neroka tidak boros dan bersikap berjimat cermat dengan menyimpan wang berkenaan,” katanya.

Jelasnya, dia memuji sikap segelintir peneroka yang menggunakan wang untuk perkara berfaedah termasuk menunaikan umrah dan tidak bermewah dengan membeli kereta baharu dan sebagainya.

“Rata-rata peneroka sudah berusia 60 hingga 70 tahun dan ada yang berusia 80 tahun serta tinggal berdua di rumah ber­sama isteri kerana anak-anak sudah bekerja dan berhijrah.

Jadi, mereka tidak perlu membeli kereta baharu,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Biro Sosial Felda Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, golongan peneroka harus berjimat cermat meskipun mendapat hasil lumayan kerana harga buah akan turun semula seperti sebelum ini.

Justeru, beliau menasihatkan peneroka agar melunaskan segala­ hutang yang ada dan menyimpan duit untuk kegunaan pada masa hadapan.

“Selain itu, peneroka juga perlu­ kerap melakukan pemantauan di ladang masing-masing bagi mengelakkan kes kecurian dan segera melaporkan sekiranya ada perkara mencurigakan kepada pihak polis,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN