MELAKUKAN aktiviti kemasyarakatan sering dijadikan agenda dalam usaha tanggungjawab sosial korporat sesebuah syarikat. Lebih besar kelompok atau capaian masyarakat yang disantuni tentunya lebih bermakna kerana banyak pihak yang dapat ditemui dan dibantu.
Penganjuran hari komuniti mega lebuh raya PLUS Malaysia Berhad yang diadakan setiap tahun sejak 2013 misalnya telah beri banyak manfaat kepada pengguna sepanjang jajaran lebuh raya itu.
Tahun ini, acara itu yang diadakan secara serentak di 25 lokasi terpilih pada 14 November lalu telah memberikan manfaat kepada lebih 21,000 rakyat.
Projek-projek kemasyarakatan yang memberi fokus terhadap aspek keselamatan dan kelestarian tersebut dijayakan oleh lebih 1,250 sukarelawan terdiri daripada warga kerja PLUS dan pelajar institusi pengajian tinggi dengan penglibatan komuniti setempat.
Projek-projek Hari Komuniti MyPLUS melibatkan pelbagai program di lapan buah sekolah, 11 kemudahan komuniti setempat dan enam pusat rekreasi.
Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata, projek yang dijalankan itu melibatkan 25 buah lokasi terpilih di seluruh negara, membabitkan pelbagai program komuniti.
Projek dengan tema ‘Memperkasa Komuniti Selamat dan Lestari’ itu dijalankan secara serentak di sepanjang jajaran Lebuh Raya Utara-Selatan termasuk di Lebuh Raya Pantai Timur 2.
“Ia meliputi kerja-kerja kemasyarakatan termasuk kerja membaik pulih kemudahan sekolah dan masjid, pemasangan papan tanda keselamatan dan papan tanda tunjuk arah, pemasangan lampu jalan, mengecat lintasan pejalan kaki dan penanda jalan, membaik pulih jalan, pembaikan pendawaian elektrik, membaik pulih sistem perparitan serta inisiatif-inisiatif kelestarian seperti pemasangan lampu solar LED, menanam pokok, penyediaan tong kitar semula, penyediaan sistem penuaian air hujan, membersihkan sungai, taman rekreasi, pantai dan sebagainya.
“Di Sekolah Kebangsaan HICOM di Shah Alam, PLUS membantu menambah baik kemudahan sekolah bagi memberi lebih keselesaan serta mewujudkan suasana yang lebih kondusif dan sejahtera kepada kira-kira 1,400 orang pelajar, guru dan kakitangan sokongan sekolah,” katanya.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi ketika berucap merasmikan Program Hari Komuniti MyPLUS di Sekolah Kebangsaan HICOM, Seksyen 27, Shah Alam memberitahu, bahawa kolaborasi strategik antara pihak Kementerian Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia dan PLUS mencerminkan semangat Malaysia Madani, di mana semua pihak berganding bahu untuk sama-sama meningkatkan kualiti hidup dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Program ini diberi sedikit suntikan kelainan dengan kolaborasi bersama KKR melalui program kementerian yang sedang giat dilaksanakan iaitu MYJalan.
“Program Hari Komuniti MyPLUS ini merupakan satu program CSR berskala mega yang berimpak Murni kerana ia memberi manfaat kepada kira-kira 21,000 rakyat di komuniti terpilih sepanjang lebuh raya. Secara keseluruhannya, program ini telah memberi manfaat kepada hampir 80,000 orang sejak program ini pertama kali diperkenalkan pada 2013,” katanya.
Hari Komuniti MyPLUS itu turut melibatkan penyertaan 500 pelajar IPT antaranya Multimedia University (MMU), Kolej Komuniti Klang, Kolej Komuniti Hulu Langat, INTEC Shah Alam, Segi University, Universiti Teknologi Mara, Universiti Putra Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Kolej Yayasan UEM (KYUEM), Management and Science University (MSU), Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Politeknik Sultan Azlan Shah, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Kolej Yayasan Pelajaran Johor, Kolej Komuniti Kuala Terengganu dan lain-lain lagi.
Selain Hari Komuniti MyPLUS, PLUS juga secara berterusan melaksanakan pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memberi fokus terhadap keselamatan jalan raya.
Ia termasuklah mengadakan program keselamatan jalan raya untuk komuniti serta pelajar sekolah, seminar keselamatan untuk pemandu dan operator kenderaan berat (HEVTEC) serta inisiatif-inisiatif lain.















