GEORGE TOWN – Budaya berhutang dalam kalangan umat Islam yang tujuannya semata-mata untuk memenuhi hawa nafsu dan nampak mewah sehingga diri sendiri terbeban hukumnya adalah haram.
Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman berkata, hukum berhutang asalnya adalah harus dan ia perlulah berdasarkan hasrat dan keperluan yang mendesak.
Menurutnya, hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Anas RA bermaksud: “Orang yang ingin berhutang tidak akan berhutang melainkan dia mempunyai hajat (yang mendesak)”.
“Sehubungan itu, berhutang dibenarkan apabila wujudnya keperluan dan hajat bukannya berhutang untuk bermewah dan memenuhi kehendak hawa nafsu untuk hidup secara bergaya.
“Bahkan para ulama menyatakan bahawa berhutang yang diizinkan oleh syarak hanyalah kerana keperluan yang mendesak. Keperluan tersebut adalah seperti ingin memiliki kereta kerana ia merupakan satu keperluan pada zaman sekarang.
“Namun begitu, sekiranya berhutang kerana ingin memiliki kereta mewah atau ingin memperoleh telefon canggih atau ingin memiliki perabot yang mewah semata-mata, maka inilah yang dilarang oleh Islam,” katanya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.
Jelas beliau lagi, di dalam kitab al Taqrirat al Sadidah dinyatakan bahawa hukum berhutang kadangkala boleh jadi haram, wajib dan boleh jadi harus.
“Adapun haram berhutang bagi mereka yang tiada keperluan (yang mendesak). Justeru, haram berhutang untuk bermewah-mewah apatah lagi sehingga menyebabkan seseorang itu tidak mampu untuk melangsaikan hutang,” ujarnya.
Semalam, Kosmo! melaporkan pasangan suami isteri muda bawah 30 tahun dikatakan sanggup menanggung beban bayaran bulanan hutang mencecah RM4,000 demi kepuasan diri, mahu hidup bahagia dan nampak mewah.
Mereka terdiri dalam kalangan peniaga dan jurutera syarikat swasta mendakwa hanya berpegang pada prinsip hidup hanya sekali, janji ada depan mata dan nikmati apa yang diinginkan selagi mampu.















