PUTRAJAYA – Pinjaman peribadi mencatatkan jumlah paling tinggi dalam kes kebankrapan melibatkan rakyat negara ini dari tahun 2020 hingga September lalu iaitu sebanyak 14,800 kes.
Individu muflis atau bankrap merujuk kepada seseorang penghutang yang gagal menjelaskan hutang kepada pemiutang dengan nilai had minimum RM100,000 dan ke atas.
Ketua Pengarah Insolvensi, Datuk M. Bakri Abd. Majid berkata, kes kebankrapan kedua tertinggi ialah pinjaman perniagaan sebanyak 5,620 kes, sewa beli kenderaan (2,791), pinjaman
perumahan (2,323), hutang kad kredit (1,404) dan hutang lain (1,104).
Menurut beliau, dalam hal ini, pihaknya menasihatkan orang ramai khususnya golongan muda agar tidak terpengaruh dengan dengan gaya hidup mewah hingga mengabaikan keperluan utama.
“Perbelanjaan yang tidak berhemah dengan mengutamakan kehendak yang tidak sewajarnya akan merugikan diri sendiri terutama kepada golongan muda,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.
Tambah beliau, individu yang menetap di negeri maju seperti Selangor dan Johor pula dilaporkan paling ramai dikategorikan muflis dalam tempoh sama.
Katanya, kes kebankrapan dilaporkan paling tinggi di Selangor dengan 24,786 kes, diikuti Johor sebanyak 21,941 kes.
“Jumlah kes bankrap di Wilayah Persekutuan pula merekodkan sebanyak 18,862 kes, diikuti Pulau Pinang (16,533) dan Perak (10,398).
“Selain itu, antara lokasi lain yang turut merekodkan kes bankrap tertinggi ialah Sarawak dengan 8,975 kes, selain Kedah (7,730), Muar (5,703), Negeri Sembilan (4,862) dan Pahang (4,279),” katanya.
M. Bakri memaklumkan, individu yang bekerja di sektor swasta menjadi antara individu bankrap paling ramai dalam tempoh sama iaitu sebanyak 9,651 orang.
Jelasnya, mereka yang berniaga pula dilaporkan sebanyak 5,099 orang, selain sektor awam (3,606) dan bekerja sendiri (720).
Dalam pada itu, beliau berkata, setakat September lepas, jumlah kes kebankrapan yang belum dilepaskan Jabatan Insolvensi ialah sebanyak 145,921 kes yang mana segala harta bankrap akan terletak kepada hak Ketua Pengarah Insolvensi untuk pengagihan kepada pemiutang.
Mengulas lanjut katanya, individu yang berumur antara 35 hingga 44 tahun paling ramai dikategorikan sebagai bankrap dengan merekodkan sejumlah 11,772 kes atau 39.2 peratus.
Bagaimanapun, bercakap mengenai Dasar Peluang Kedua yang diperkenalkan kepada golongan bankrap menjalani kehidupan baharu, M. Bakri berkata, sebanyak 142,510 kes berjaya dilepaskan setakat Jun lalu.














