RANTAU PANJANG – Rata-rata penduduk yang tinggal di sempadan Malaysia-Thailand di daerah ini tetap merentas Sungai Golok secara haram meskipun kawalan ketat anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dijalankan sejak dua minggu lalu.
Penduduk juga nampaknya tidak terkesan dengan penahanan enam rakyat Malaysia termasuk seorang penyanyi wanita sohor dari Kelantan ekoran penemuan 6,000 pil kuda bersama mereka di sebuah hotel di Sungai Golok pada awal bulan ini.
Tinjauan Kosmo! mendapati, kegiatan rentas sempadan masih berlaku setiap hari terutama pada Sabtu dan Ahad yang merupakan hari nat atau pasar apabila penduduk memasuki Thailand melalui pangkalan haram Gergaji.
Seorang penduduk yang mahu dikenali Derahman, 46, berkata, beberapa pangkalan haram di daerah ini dikawal rapi anggota PGA selepas enam rakyat Malaysia ditangkap.
Bagaimanapun katanya, keadaan itu tidak merubah sebarang pergerakan penduduk ke Thailand melalui Sungai Golok untuk membeli keperluan harian seperti barangan dapur atau makanan.
“Pihak berkuasa hanya menjalankan rondaan rutin di kawasan sempadan pada waktu-waktu tertentu, bukan 24 jam mereka ada di sana.
“Jadi, kami akan ke sana dengan menaiki bot tambang apabila pihak berkuasa tidak melakukan tugasan di sempadan. Kami hanya mahu membeli barang dapur dan makanan,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Derahman memberitahu, dengan tambang bot hanya RM3 untuk menyeberang Sungai Golok, ia adalah kaedah perjalanan yang paling mudah untuk ke Thailand.
Menurutnya, pergerakan menyeberang Sungai Golok juga hanya mengambil masa dua minit berbanding melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan yang mengambil masa hampir sejam.
Seorang lagi penduduk yang mahu dikenali Rogayah, 50, berkata, pihak berkuasa sukar untuk menutup pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok kerana kegiatan itu sudah sebati dengan masyarakat setempat.
“Bukan semua yang merentas sempadan pergi berhibur di kelab malam di negara itu. Ada yang ke Thailand untuk melawat keluarga, ziarah kematian dan makan-makan sahaja,” ujarnya.
Bagi seorang peniaga yang mahu dikenali Rahmah, 58, berkata, dia akan masuk ke Thailand melalui Sungai Golok hampir setiap minggu untuk membeli stok jualan makanannya.
Katanya, dia akan menyeberangi sungai Golok ini melalui pangkalan haram kerana itu rutinnya sejak berpuluh tahun.
Berita berkaitan: Penyanyi sohor Kelantan, 5 individu bukan perangkap














