Langkah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menuntut Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) membuka akaun bank khas sebagai syarat menerima dana kerajaan harus dipandang serius oleh semua pihak.
Keputusan ini bukan sahaja melibatkan aspek pentadbiran, tetapi integriti dan ketelusan dalam pengurusan dana sukan.Beberapa PSK ketika ini masih belum membuka akaun khas.
Dalam situasi ini, KBS tidak seharusnya berlembut dengan persatuan yang masih berlengah untuk membuka akaun malah perlu menetapkan tarikh akhir.
Pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli berkata, penetapan itu bukan sekadar prosedur pentadbiran, tetapi langkah penting dalam memastikan ketelusan aspek pengurusan kewangan yang bakal diterima PSK.
Katanya, dana yang diterima merupakan wang rakyat dan harus diuruskan secara berhemah. KBS perlu mengeluarkan senarai PSK yang masih belum membuka akaun khas tersebut.
“PSK yang enggan memberi kerjasama harus dilihat sebagai isu serius. Ini bukan sahaja melibatkan soal pentadbiran, tetapi juga integriti dan ketelusan dalam pengurusan dana pada masa akan datang.
“Jika libatkan dana awam, perlu diaudit dan digunakan dengan sebaiknya demi kemajuan sukan dan atlet. Bagi saya sebelum ini PSK pernah melakukan audit, jadi tiada masalah bagi mereka untuk membuka akaun khas.
“Bagi saya, KBS harus meletakkan tarikh akhir kepada persatuan, jadi mereka tahu mana persatuan yang tidak mahu terima bantuan kerajaan. Jadi, KBS tiada masalah untuk melakukannya dan memberikan kepada yang berhak sahaja,” katanya ketika dihubungi semalam.
Pekan berharap PSK menggunakan peluang emas itu kerana langkah tersebut dapat meningkatkan kepercayaan terutama KBS untuk menyalurkan dana dan pihak penajaan pada masa akan datang.
“Apabila PSK ikut prosedur yang betul dan buka akaun bank khas, ia akan meningkatkan tahap keyakinan orang ramai terhadap pengurusan dana kerajaan.
“Penaja juga akan lebih yakin mereka tahu setiap sen yang diberi akan digunakan dengan telus,” ujarnya.
Baru-baru ini, Hannah memaklumkan pembukaan akaun bank khas itu merupakan tanggungjawab yang perlu dituruti PSK bagi memastikan dana yang disalur dapat diaudit dan diguna untuk membantu atlet.
“Tugas persatuan untuk membantu atlet. Sekarang kerajaan nak bagi duit takkan tanggungjawab untuk buka akaun tak boleh buat? Pembaharuan ini untuk memudahkan mereka, bukan susahkan mereka.
“Apa maksud pembaharuan? Kita nak ke hadapan. Kita nak lebih senang, kalau tak saya akan dengar aduan sama ‘kenapa bayar lambat’, apabila anda bagi resit, saya bayar dan itu melambatkan.
Itu sebab kita nak jalankan kerja yang bagus dan senangkan semua orang. Saya tak faham kenapa tak boleh buka akaun,” kata Hannah.
Beliau memaklumkan, sembilan daripada 19 PSK, masih belum membuka akaun bank khas itu seperti diminta pihaknya setakat ini.














