fbpx
SEMUA pihak tertumpu kepada pilihan raya AS minggu ini.

Pilihan raya AS ibarat pilih syiling sama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Amerika Syarikat semakin menjadi bipartisan. Rakyatnya seperti berpecah kepada dua puak. Kumpulan pertama penyokong tegar Parti Republikan, manakala puak satu lagi mendukung Parti Demokrat.

Kedua-duanya fanatik dan saling bermusuhan. Senario sekarang di Amerika tidak ubah seperti suatu masa dahulu di Malaysia khususnya Pantai Timur antara penyokong satu parti politik dan parti orang Melayu yang lain.

Ketika itu banyak perkara ‘pelik’ berlaku seperti solat dua imam, suami isteri tidak bertegur sapa, malah ada yang bercerai, masjid serta surau ada kariah berlainan dan macam-macam hal lagi.

Semua itu kerana perbezaan fahaman politik yang agak ekstrem.

Itulah yang berlaku di Amerika sekarang. Penyokong Republikan menganggap pendokong Demokrat sebagai ‘alien’. Jurang antara mereka terlalu ketara.

Namun, pada kaca mata orang luar, termasuk penulis lain pula.

Kedua-dua Republikan dan Demokrat ibarat ‘kepala’ dan ‘ekor’ sekeping duit syiling yang sama. Pilihlah dan undilah kepala atau ekor, rakyat akan dapat syiling itu juga.

Ketika artikel ini ditulis, pemenang pilihan raya Presiden Amerika Syarikat masih belum ditentukan.

Natijahnya, walaupun siapa Presiden baharu Amerika sama ada Donald Trump atau Kamala Harris , dasar Washington atau order dunia mereka tetap tidak berubah.

Rantau Asia Barat tetap terbakar, perang skala penuh sedang menanti, perbezaannya adalah skala penglibatan Washington atau sokongannya kepada perang yang dicetuskan oleh Israel di rantau itu.

Berbalik kepada topik pilihan raya Presiden Amerika Syarikat, selama berpuluh-puluh tahun, bukan penulis sahaja tetapi pastinya ramai orang menyangka bahawa ada dua parti politik sahaja di Amerika iaitu Parti Republikan dan Parti Demokrat.

Hanya selepas menyertai dunia pekerjaan di bidang media, barulah penulis sedar bahawa Amerika Syarikat mempunyai berbilang parti politik walaupun tidak pernah diuar-uarkan oleh
media Barat hatta setiap kali kempen pilihan raya diadakan.

Parti-parti politik lain di Amerika Syarikat adalah ibarat pepatah Melayu, ‘hidup segan mati tidak mahu’.

Bagi memeriahkan lagi senario politik di Amerika Syarikat antara parti yang jarang diketahui oleh rakyat Malaysia termasuk Parti Sosialis dan Pembebasan, Parti Hijau, Parti
Kemerdekaan Amerika, Parti Perikatan, Parti Perlembagaan, Parti Solidariti Amerika, Parti Kebebasan dan Keamanan dan sebuah parti politik yang mengambil nama serta tema narkotik.

Bagaimanapun, Parti Demokrat dan Republikan adalah dua parti politik utama dan antara yang tertua di Amerika Syarikat.

Kedua-dua parti politik tersebut mempunyai dana dan pengaruh yang amat besar bukan sahaja di Amerika Syarikat tetapi luar negara itu, manakala selagi sistem dua parti didokong rakyatnya, pada hemat penulis, dunia tidak perlu begitu teruja dengan pilihan raya Presiden Amerika Syarikat kerana walau siapa pun yang menang, memetik frasa bahasa Inggeris: It’s business as usual.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN