fbpx
Beginilah keadaan tanaman yang rosak selepas diserang sekumpulan gajah yang berjaya masuk selepas pihak tidak bertanggungjawab terlupa untuk menutup pintu pagar elektrik di Kampung Som, Jerantut kelmarin.

Penduduk Kampung Som susah tidur malam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JERANTUT – Tidur malam penduduk Kampung Som di sini tidak lagi lena kerana bimbang diserang kawanan gajah liar yang menceroboh kawasan kediaman mereka hingga merosakkan tanaman sejak dua hari lalu.

Kejadian pada pukul 11 malam hingga pukul 1 pagi itu berlaku apabila lima ekor gajah menghampiri rumah penduduk untuk mencari makanan dengan cara merosakkan pokok pisang dan kelapa.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Som, Rafiz Azuan Ahmad, 49, berkata, gajah itu me­rayau-rayau di belakang rumah penduduk yang dipenuhi dengan tanaman tersebut.

“Bukan sahaja rugi, malah penduduk kini ketakutan apabila gajah liar itu menghampiri cuma kira-kira dua meter dengan rumah masing-masing.

“Punca mereka datang ke rumah disebabkan ada pihak ‘gatal tangan’ membuka pintu pagar elektrik yang dipasang Perhilitan di sempadan hutan dan tidak menutup semula pada waktu petang hingga gajah itu bolos,” katanya.

Menurut Rafiz Azuan, pihaknya sudah menghantar laporan ancaman gajah liar tersebut kepada Perhilitan Jerantut bagi mengelakkan ancaman gajah liar berulang.

Dalam pada itu seorang penduduk Kampung Som, Farahaina Abas,40, berkata, ketika kejadian dia yang sedang tidur di dalam rumah terkejut apabila mende­ngar bunyi batang pokok pisang dipatahkan dan kemudiannya dipijak gajah.

“Saya bingkas bangun dan mengintai dari dalam rumah. Dalam samar-samar cahaya lampu saya mendapati seekor gajah liar sedang asyik mematahkan batang pisang dengan belalai dan memijak untuk memakan umbut (pisang),” katanya.

Dia berkata, walaupun sebelum ini pernah berdepan gajah liar yang kerap kali menghampiri rumahnya untuk mencari makanan, tetapi dia tetap bimbang serta waspada dengan ke­selamatan keluarganya lebih-lebih lagi ketika sedang tidur nyenyak pada waktu malam.

Muhamad Fairulizwan Abdullah,44, pula berkata, penduduk tidak dapat tidur malam kerana bimbangkan keselamatan mereka yang boleh diserang gajah pada bila-bila masa.

“Penduduk di sini amat takut melihat haiwan liar yang besar dan agresif serta berasa bimbang gajah ini akan melanggar rumah dan juga kereta yang parkir di hadapan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN