KUALA LUMPUR – Bekas anggota kumpulan militan JI, Abu (bukan nama sebenar) mendakwa perjuangan jihad yang dipelajarinya pada hujung tahun 1980-an tidak membenarkan anggotanya menyerang rumah ibadat seperti gereja, pusat hiburan, bank dan tempat tempat awam lain.
“Hambali (Ketua JI) cuba rekrut saya untuk membuat serangan seperti insiden pengeboman di Bali, namun saya tolak kerana perjuangan jihad mereka berbeza.
“Ramai dalam kalangan kami (ahli) militan tidak bersetuju dengan ideologi Hambali. Hanya segelintir yang masih sokong. Bagi yang tidak menyokong, kami dianggap tidak sekepala dan ‘musuh’.
“Saya tidak terlibat dalam pengeboman dan serangan gereja sebaliknya melatih ahli-ahli dari segi teori, taktikal dan persediaan peperangan,” katanya ketika ditemui Kosmo! barubaru ini.
Menurut Abu, sepanjang menyertai JI selepas berguru dengan Ustaz Abdullah Sungkar, dia tidak pernah terfikir atau merancang untuk menyerang negara sendiri kerana perkara itu antara perkara yang dilarang oleh ‘mentornya’.
Abu berkata, malah sewaktu operasi untuk menangkap Hambali di Banting, Selangor pada 1990an, dia nyaris menjadi ‘mangsa’ kerana disangka pemimpin kumpulan militan tersebut.
“Waktu polis datang, ketika itu saya tiada di rumah. Sebaik sampai di rumah, mereka bertanya adakah saya Hambali, jika saya mengaku sudah tentu peluru menembusi kepala saya,” katanya. – KOSMO ONLINE














