fbpx
Salah satu persembahan menarik pada festival Gendang Sedunia - Hands International Drumming Festival Kaleidoscope 7 melibatkan bakat gendang dari Malaysia, Indonesia dan China di Zepp Kuala Lumpur baru-baru ini.

Platform ketengah bakat gendang tiga negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MALAM itu, seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Anis, 29, tidak menyangka dirinya bakal terpukau tatkala menyaksikan persembahan gendang oleh lebih 80 orang pemuzik berbakat dari tiga buah negara.

Mengakui ini merupakan kali pertama menonton persembahan seumpama itu, Anis terpesona melihat keharmonian irama gendang yang dimainkan oleh setiap kumpulan yang menyertai festival ‘Gendang Sedunia – Hands International Drumming Festival Kaleidoscope 7’ di Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Apabila bercakap tentang gendang, apa yang terbayang di minda saya adalah kumpulan pemain gendang yang duduk di atas lantai sambil mengetuk instrumen itu bagi menghasilkan bunyi.

“Namun, apabila menonton persembahan ini, saya melihat pelbagai aksi alat muzik drum dimainkan. Saya terpesona menyaksikan persembahan gabungan rebana Melayu, gong Cina dan engkeromong Sarawak yang dimainkan secara serentak oleh satu kumpulan asal Malaysia, Rhythm in Bronze.

“Boleh dikatakan, kesemua lapan kumpulan itu telah menampilkan persembahan menakjubkan,” kongsinya.

Festival gendang yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur itu sudah memasuki tahun ke-7 penganjuran.

Festival itu menyatukan seramai 88 orang pemain gendang dari tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan China.

Pada festival itu, para penonton dapat menyaksikan keunikan persembahan gendang dari negara-negara peserta.

Persembahan gendang dari Malaysia misalnya sinonim dengan irama gamelan yang lembut dan mendayu-dayu. Instrumen yang dimainkan kaum Iban di Sarawak iaitu engkeromong pula hasilkan ritma dan nota khusus.

Bagi persembahan gendang dari Indonesia pula, iramanya lebih kompleks memandangkan terdapat sehingga 20 jenis alat muzik yang dimainkan serentak seperti gendang, seruling, celempung dan rebana. Persembahan Indonesia juga lazimnya dimulakan dengan upacara yang dipanggil upacara sajian yang mana ketua kumpulan akan membaca jampi dan mengunyah sirih sebelum memulakan persembahan.

Bagi kumpulan gendang dari China iaitu Chongdouyuan Jiangzhou pula, ahli kumpulannya mempamerkan persembahan penuh bertenaga dengan menggabungkan teknik pukulan laju daripada instrumen gendang China berserta jeritan dan teriakan.

Para penonton terpesona dengan persembahan-persembahan gendang yang disajikan.

Berbeza dengan gendang dari Malaysia dan Indonesia yang dimainkan dalam posisi duduk di atas lantai, persembahan gendang China pula dimainkan dengan cara berdiri.

Penggunaan pemukul gendang atau drum stick juga lebih sinonim dengan gendang dari China, manakala gendang dari Malaysia dan Indonesia diketuk dengan tangan.

Festival yang menonjolkan keharmonian gendang dunia ini dianjurkan oleh kumpulan Hands Percussion. Ia merupakan idea daripada pemuzik berbakat yang menghargai irama gendang pelbagai kaum, Bernard Goh iaitu pengasas dan Pengarah Artistik Hands Percussion.

Percussion merujuk kepada teknik memukul atau mengetuk pelbagai alat muzik seperti gendang, timpani atau xylophone untuk menghasilkan irama.

Goh menubuhkan Hands Percussion pada tahun 1997 sebagai sebuah kumpulan gendang yang menghimpunkan irama gendang masyarakat Cina, India dan Melayu.

Hasratnya adalah untuk menjadikan irama gendang itu sebagai satu irama yang melambangkan Malaysia dan dikenali sebagai ‘gendang Malaysia’.

“Saya membesar di Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan ketika itu saya hanya bermain gendang masyarakat Cina yang mana kami hanya bermain gendang tanpa ada irama lain mahupun suara nyanyian.

“Namun, memandangkan saya juga belajar bermain instrumen lain seperti rebana dan tabla, maka saya bertanya kepada guru saya, bolehkah jika saya mahu memasukkan elemen itu bersama-sama dengan gendang Cina yang sudah saya pelajari.

“Sebaik sahaja beliau kata boleh, maka saya mula memasukkan irama-irama lain bagi menghasilkan sesuatu yang harmoni,” katanya kepada K2.

Engkeromong merupakan salah satu alat muzik yang kerap digunakan dalam persembahan gendang dari Malaysia.

Tambah Goh, Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan pelbagai budaya dan oleh sebab itu, dia mahu dunia melihat kepelbagaian budaya itu yang dipersembahkan menerusi paluan gendang.

“Saya mahu dunia luar kenal dan tahu irama yang membentuk Malaysia itu sendiri, bukan hanya terhad kepada pukulan gendang tetapi juga elemen lain seperti lagu nyanyian kita dan juga irama yang terhasil tatkala kita bercakap.

“Jika kita boleh harmonikan budaya menerusi masakan, kita juga boleh harmonikan budaya menerusi irama,” katanya.

Selepas mendapat lampu hijau daripada guru gendangnya, Goh kemudian mula mengajar kanak-kanak seawal usia empat tahun sehingga murid sekolah rendah dan juga menengah bermain gendang, sebelum akhirnya menubuhkan Hands Percussion.

Hands Percussion berperanan sebagai sebuah platform yang memperkenalkan irama gendang Malaysia ke serata dunia.

Kumpulan itu bahkan turut terkenal dan pernah membuat persembahan gendang di beberapa festival antarabangsa seperti di Belgium, Belanda, Perancis, Australia, Qatar, Taiwan, Hong Kong, China, Vietnam, Singapura dan Indonesia.

Festival anjuran Hands Percussion, dikenali sebagai Kaleidoscope pula menyaksikan usaha Goh membawa masuk pemain gendang dari luar untuk membuat persembahan di sini seperti dari Indonesia dan China.

Bagi Goh, Malaysia, Indonesia dan China mempunyai begitu banyak pemain gendang berbakat dan dia mahu Kaleidoscope terus menjadi platform yang menunjukkan bakat-bakat hebat ini di seluruh dunia.

Sementara itu, bagi Jimmy Ch’ng yang merupakan salah seorang pemuzik yang menyertai Hands Percussion sejak ia ditubuhkan, minat terhadap bermain gendang telah mendorongnya untuk menjadikan aktiviti bermain gendang itu sebagai kerjaya sepenuh masa.

Lelaki berusia 44 tahun itu juga melihat platform seperti Hands Percussion sebagai sesuatu yang amat baik dalam usaha memperkenalkan irama gendang ke seluruh dunia.

Bahkan, Hands Percussion kini merupakan tenaga pengajar permainan gendang di lebih 40 buah sekolah sekitar Lembah Klang dan Pantai Timur, sebagai usaha memupuk minat generasi muda.

“Dalam permainan gendang ini, tiada limitations atau had, kerana sesiapa pun boleh belajar untuk bermain gendang.

“Ia juga tidak perlu dipisahkan oleh bangsa kerana sebagai contoh, jika anda orang Melayu, anda juga boleh belajar bermain gendang Cina dan orang Cina juga boleh belajar bermain gendang Melayu memandangkan kita semua sentiasa belajar antara satu sama lain.

“Apa yang penting adalah kesungguhan dan anda seronok tatkala bermain gendang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN