HYUNDAI Elantra memulakan jenamanya sebagai kenderaan kompak pada tahun 1990. Ketika itu, Elantra turut dikenali sebagai Avante dan Lantra di beberapa buah negara.
Generasi pertama dengan kod J1 di lancarkan pada bulan Oktober tahun 1990. Model ini masuk ke pasaran Eropah kira-kira setahun selepas itu.
Tahun 1995, generasi kedua dilancarkan dengan rekaan lebih ‘lembut’ dengan menawarkan enam variasi enjin bergantung pada negara yang menjualnya.
Model Elantra generasi ketiga dengan kod XD antara yang mempopularkan jenama Hyundai di Malaysia. Ketika diperkenalkan, Elantra mendapat sambutan menggalakkan. Sampai hari ini, masih boleh nampak XD berada di atas jalan raya di negara ini.
Sebelum ini, jenama Hyundai lebih dikenali sebagai kenderaan biasa-biasa sahaja kerana model-model yang diperkenalkan lebih kepada kereta ‘orang tua’ atau kereta ‘budak skema’.
Perubahan dilakukan Hyundai sangat drastik, dari generasi ketiga sampai ke tujuh, semuanya boleh dikatakan rekaan masa hadapan yang berani.
Maksud penulis, berani kerana sanggup menjual rekaan yang belum pasti mendapat permintaan pelanggan.

Jika tidak mendapat permintaan dan model itu dikira gagal, syarikat terpaksa menanggung kerugian besar.
Pada 10 Disember lalu, Hyundai-Sime Darby Motors telah melancarkan model Elantra generasi ketujuh dengan menggunakan enjin dan transmisi teknologi Smartstream.
Tanda harga pengenalan RM158,888 untuk Semenanjung Malaysia tidak termasuk insurans nampak agak mahal untuk sebuah sedan Segmen C yang bersaing dengan Honda Civic, Toyota Altis dan Mazda 3.
Namun Hyundai memposisikan Elantra sebagai penanda aras baharu untuk segmen itu.
Hyundai-Sime Darby Motors sebenarnya menawarkan spesifikasi Elantra tertinggi untuk pasaran Malaysia.
Teknologi Smartstream dengan enjin 1.6 liter itu mampu menghasilkan kuasa maksimum pada 123PS pada 6,300rpm dan tork maksimum 154Nm pada 4,500rpm.
Empat mod pemanduan turut ditawarkan seperti Smart, Comfort, Eco dan Sport. Penulis juga difahamkan, panel meter di paparan informasi bersaiz 10.25 inci akan bertukar mengikut mod pemanduan dipilih.
Reka bentuknya yang futuristik dan tidak konvensional sesuai dengan generasi pemandu seterusnya yang ingin menjadi berbeza dan sentiasa menyoal tradisi.
Pemikiran yang berani dan ‘tidak sesuai ini’ dapat dilihat dalam gaya progresif dan menarik pada Elantra.
Rekaan bahagian hadapan menggunakan gril parameter permata, jeriji gril bersaiz lebar ibarat bersambung dengan lampu utama.
Bahagian sisi pula turut dihiasi dengan garisan potongan berlian jelas kelihatan di samping rim bersaiz 17 inci yang melengkapkan rupa daripada tepi.
Sekilas pandang, Elantra generasi ketujuh dari bahagian sisi nampak seperi sebuah coupe empat pintu.

Lampu belakang dengan dengan tema ‘thor’ dan bonet belakang condong dan tajam sudah cukup memberikan karakter rekaan tersendiri.
Bonet juga akan terbuka sendiri bila pemegang kunci berada di belakang tanpa perlu menggoyangkan kaki.
Masuk ke ruang kabin pemandu, bahagian dalam ada kelas tersendiri kerana susun atur papan pemuka dan berkonsepkan kokpit juruterbang.
Antara ciri-ciri menarik dalam kabin Elantra seperti pengecaj tanpa wayar telefon pintar, penghawa dingin dan pemanas tempat duduk hadapan, sistem infortainmen bersaiz lapan inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto.

Kereta tersebut ditawarkan dua warna ruang kabin sama ada cerah atau gelap mengikut cita rasa masing-masing.
Menurut Pengarah Urusan Hyundai-Sime Darby Motors, Low Yuan Lung, Elantra baharu adalah game changer kerana model itu bukan sahaja menjual penampilan semata-mata, tetapi keseluruhan pakej.
“Rekaan sporty dan elegan ditambah dengan bahagian dalaman premium dengan teknologi tinggi seperti ciri-ciri Smartsense menjadikan Elantra kereta segmen C yang tiada tandingan dalam kelasnya.
“Mengenai reka bentuknya yang unik, Elantra direka berdasarkan pada konsep rekaan Sensuous Sportiness Hyundai,” katanya semasa pelancaran model itu baru-baru ini.
Tambahnya, Elantra membawa reka bentuk rumit kristal geometri yang dipotong dan permukaan badan terbahagi dengan penggunaan corak garis yang kemas.
“Elemen reka bentuk ini adalah cabaran yang berani, belum pernah dilihat pada mana-mana kereta.

“Dibangunkan di platform kenderaan K3 generasi ketiga Hyundai, Elantra baharu ini mempunyai dimensi dalaman utama yang unggul,” tambahnya.
Kesimpulannya, penulis belum berpeluang memandu uji model ini, tetapi daripada pemerhatian tanda harga yang ditawarkan, boleh dikira berbaloi dengan apa yang ditawarkan.
Spesifikasi pada Elantra ini kebiasaannya boleh didapati pada sedan segmen D varian premium.
















