GOPENG – Masalah ketagihan permainan video dan judi online dalam kalangan orang muda dikesan seawal 15 tahun.
Pengarah Rumah Pengasih Amanjaya Gopeng, Badrul Hisham Ahamad berkata, sejak ditubuhkan lebih 10 tahun lalu, pihaknya memulihkan ramai penghuni yang mempunyai masalah ketagihan kedua-dua aktiviti tersebut.
“Ini perkara serius kerana mereka ini boleh terjebak dadah seperti syabu dengan berjaga lebih lama berhari-hari bagi mendapatkan duit dan kepuasan.
“Kami mendapat permintaan tinggi daripada ibu bapa yang mahu memulihkan anak-anak mereka daripada ketagih bermain video dan judi online.
“Setiap tahun pasti ada yang masuk pusat ini sebab ketagih permainan video dan judi,” katanya kepada Kosmo!.
Menurut Badrul Hisham, pihaknya memberikan komitmen terbaik untuk membantu memulihkan apa jua bentuk ketagihan demi masa depan lebih baik terutama golongan muda.
Katanya, masa selama tujuh hingga lapan bulan diperlukan untuk untuk memulihkan seseorang penghuni bergantung kepada semangat mereka.
“Namun ada bekas penghuni yang tidak dapat dipulihkan dan sakit mental sebab ketagihan melampau, ada yang berjaya dipulihkan dan menjalani kehidupan seperti biasa.
“Ibu bapa harus memainkan peranan, jangan kerana anak berada di rumah kita anggap mereka baik kerana kita tidak tahu apa yang dilakukan,” katanya.
Beliau memberitahu, faktor easy money iaitu mendapat duit dengan mudah tanpa berusaha keras menyebabkan orang muda terjebak permainan video dan judi online.
“Benda haram memang seronok, tetapi merosakkan masa depan,” katanya.
Beliau turut menepis persepsi orang ramai yang mengatakan semua penghuni pusat pemulihan itu penagih dadah.
“Kerajaan negeri dan Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak turut menyalurkan bantuan secara one off setiap tahun dalam usaha mengurangkan beban operasi kami,” ujarnya.














