JIKA disebut ikan gerut-gerut, mungkin ramai yang sudah mengenali ikan tersebut.
Selain faktor fizikal badannya yang bersisik serta berwarna perak dan kuning berkilauan, ia juga sangat mudah dikenali berdasarkan bunyi ‘groottt-groottt’ yang dihasilkan setelah dibawa naik ke darat.
Namun, ada satu lagi spesies daripada keluarga gerut-gerut yang agak sukar ditemui dan jarang dikenali terutama dalam kalangan pemancing baharu iaitu ikan tebal pipi.
Ikan tebal pipi atau nama saintifiknya yellow tail trumpeter sebenarnya dapat dikenali daripada bentuk fizikalnya yang mempunyai insang seakan-akan membengkak.
Selain itu, spesies itu juga mempunyai tulang pipi yang menonjol keluar, selain mempunyai warna sisik, ridip dan ekor sedikit kuning keemasan selain memiliki banyak bintik hitam di bahagian atas badan.
Berbanding ikan gerut-gerut, ikan tebal pipi dikatakan jarang ditemui di pasar-pasar disebabkan kesukaran untuk perolehnya.
Jika ada dijual, ia pasti menjadi rebutan disebabkan keenakan isinya, lantas menyebabkan harganya akan menjadi lebih tinggi berbanding ikan gerut-gerut biasa.
Atas faktor itulah, seorang pemancing tegar, Mohamad Nor Azam Abd. Ghafor, 49, menjadikan Perairan Kongkong dan Tanjung Pengelih di Johor sebagai ‘tempat permainannya’ memburu si tebal pipi.
Menurut Nor Azam, perairan Johor terutama di sekitar Kongkong dan Tanjung Pengelih yang mempunyai dasar berpasir serta berkarang memang sudah dikenali sebagai habitat ikan tebal pipi.
“Ramai kaki pancing yang ingin memancing ikan tebal pipi akan bertandang ke perairan Johor terutama di dua lokasi ini untuk mencuba nasib.
“Walaupun ikan berkenaan banyak membiak di kawasan perairan di Johor, tetapi memancingnya bukan satu perkara yang mudah.
“Ini kerana ia memerlukan teknik tertentu untuk memujuk ikan tebal pipi membaham umpan pada mata kail,” ujarnya.
Nor Azam berkata, ikan tebal pipi biasanya akan berenang secara berkelompok untuk mencari makanan di kawasan dasar yang berpasir dan di sekitar kawasan batu karang kecil.
Untuk memburu ikan tebal pipi, pemancing tidak perlukan peralatan yang mewah, dan cukup sekadar set joran untuk aksi sederhana sahaja.
Bagi tali pula, biasanya dia akan menggunakan tali bersaiz antara 25 paun hingga 30 paun dan dipadankan dengan perambut’ bottom’ jenis ‘florocarbon’ sepenuhnya bersaiz 30 paun.
Untuk mata kail, dia lebih gemar gunakan saiz sederhana saja iaitu 1/0 atau 2/0 kerana ikan tebal pipi memiliki saiz bukaan mulut yang tidak terlalu luas berbanding kerapu, siakap atau jenahak.
Disebabkan bahagian mulut dan lelangit ikan ini lebih keras berbanding ikan lain, maka mata kail yang digunakan haruslah benar-benar tajam bagi mengelak ia terlucut ketika membaham umpan.
“Bagi memburu ikan tebal pipi, biasanya saya akan menjaring terlebih dahulu untuk mendapatkan udang hidup untuk dijadikan umpan.
“Ada juga pemancing lain gunakan umpun-umpun, sotong, jari sotong kurita dan ikan bilis sebagai umpan,
“Tetapi berdasarkan pengalaman saya, penggunaan udang hidup lebih berkesan. Umpan ini akan digunakan untuk teknik pancingan ‘bottom’ kerana ikan tebal pipi kerap mencari makanan di kawasan dasar laut,” ujarnya.
Tambahnya, spesies berkenaan aktif memburu makanan pada waktu air surut dan mula hendak pasang dengan arus yang perlahan.
Justeru katanya, waktu berkenaan merupakan waktu terbaik untuk memburu spesies berkenaan terutama ketika ia bergerak secara berkelompok.
Menurutnya, ikan tebal pipi sering mendominasi hasil pancingan sekiranya dia turun ke Perairan Kongkong dan Tanjung Pengelih.
Malah katanya, dia juga pernah berjaya menaikkan sehingga 35 ekor ikan tebal pipi dalam satu trip memancing di kawasan perairan tersebut.
“Disebabkan ikan tebal pipi ini menjadi rebutan dan mempunyai harga tinggi di pasaran iaitu sekitar RM28 hingga RM35 sekilogram, biasanya saya akan menjual kesemua hasil pancingan kepada peraih dan pembeli,” katanya.
















