HULU TERENGGANU – Setelah mengganas di Kampung Basung sehingga meragut nyawa seorang pekebun dua minggu lalu, kumpulan gajah liar ‘menyerang’ pula dua perkampungan lain di daerah ini iaitu Kampung Belukar Bukit dan Betong, di sini pada Sabtu lalu.
Dalam kejadian itu, banyak kebun kelapa, pisang dan kelapa sawit penduduk di dua perkampungan itu musnah ‘dikerjakan’ mamalia terbabit.
Seorang penduduk, Jaafar Ahmad, 70, mendakwa, dia terkejut terserempak dengan seekor gajah jantan dewasa sewaktu dalam perjalanan ke kebun kelapa sawitnya baru-baru ini.
“Mujur saya sempat menyelamatkan diri. Jika tidak mungkin saya jadi mangsa serangan gajah seperti di Kampung Basung kira-kira dua minggu lalu.
“Namun sebahagian pokok kelapa sawit di kebun saya seluas kira-kira 0.81 hektar tidak terlepas menjadi ‘mangsa’,” ujarnya ketika ditemui di Kampung Belukar Bukit, di sini semalam.
Katanya, kumpulan gajah liar itu mula berkeliaran di kebun penduduk sejak awal bulan ini.
Seorang lagi penduduk, Azmi Hamid Chua, 45, pula kerugian lebih RM35,000 ekoran kebun kelapa sawitnya dimusnahkan gajah liar sejak tahun 2021.
Azmi Hamid yang menetap di Kampung Betong berkata, dia tidak dapat menikmati pulangan maksimum daripada penanaman kelapa sawit sejak tiga kali pusingan lalu ekoran serangan gajah tersebut.
“Saya sudah hampir putus asa untuk terus mengusahakan kebun kepala sawit kerana asyik dirosakkan gajah,” katanya.
Ujar Fatimah Yaakub, 53, pula, lebih 500 penduduk di kedua-dua perkampungan tersebut berada dalam ketakutan berikutan serangan gajah terbabit.
“Kami ini bukan sahaja tidak berani turun ke kebun malah takut keluar rumah terutama pada waktu malam,” katanya.
Kosmo! pada 6 Oktober lalu melaporkan seorang pekebun, Musa Ahmad, 65, maut akibat dipijak gajah liar di Kampung Basong, di sini.














