fbpx
Elemen songket, sutera Korea dan bunga lado banyak diterapkan dalam koleksinya.

Pertunjukan fesyen ‘come back’ klasik kontemporari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GAYA klasik kontemporari sering menjadi pilihan untuk digayakan ke pelbagai acara memandangkan gabungan dua elemen itu disifatkan sebagai bukan sahaja cantik tetapi juga pilihan yang ‘selamat’.

Gaya klasik kontemporari juga sentiasa nampak relevan sepanjang tahun dan tidak terhad kepada satu-satu musim.
Sebagai meraikan rekaan klasik kontemporari yang malar segar, pereka fesyen terkenal, Suriani Hassan, 38, mengangkat rekaan itu menerusi satu pertunjukan fesyen solonya yang diadakan di

Galeri Diraja Tuanku Jaafar, Seremban, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Selepas sembilan tahun menyepi daripada sebarang pertunjukan fesyen, Suriani atau lebih mesra disapa sebagai Suri kembali memeriahkan industri fesyen tanah air menerusi pertunjukan tersebut yang diberi nama Adiratna.

Ujar Suri, menerusi pertunjukan fesyen itu, dia menggabungkan estetika moden dengan elemen klasik bagi menterjemah gaya anggun.

“Menerusi koleksi ini, saya menerapkan elemen songket dan elemen bunga lado dalam estetika tersendiri.

“Selain songket, fabrik lain yang digunakan termasuk sutera Korea yang memberikan efek mewah pada busana,” katanya.

Palet warna bold seperti ungu dan merah mendominasi koleksi rekaan anak kelahiran Kamunting, Perak itu.

Selain itu, untuk gaya tudung pula, Suri menampilkan tudung bercorak sebagai menyuntik kelainan.

Kongsi Suri, salah satu rekaannya mengambil inspirasi daripada rona bendera Palestin mencuri tumpuan penonton.

Mahu turut sama mempamerkan sokongan terhadap Palestin menerusi busana yang direkanya, Suri memilih menghasilkan sepasang dres dengan potongan cape yang digayakan bersama keffiyeh yang dililit di atas kepala.

“Untuk busana ini, ia adalah gabungan harmoni antara elemen klasik dengan moden.

“Bagi busana solidariti saya bersama Palestin, saya memilih muse yang juga merupakan seorang ikon fesyen Muslimah iaitu Datuk Rozzana Rahmat untuk menggayakan dres itu yang mana rona-ronanya diinspirasikan daripada bendera Palestin,” katanya.

Ditanya tentang pertunjukan fesyen solonya selepas hampir sedekad ‘berehat’, Suri yang merupakan bekas isteri Cat Farish berkata, cintanya terhadap fesyen tidak pernah pudar.

“Saya terlalu sukakan fesyen dan bersyukur kerana ini menjadi satu-satunya kemahiran yang Allah kurniakan kepada saya.

“Ini menjadi sumber rezeki saya dan cara saya meneruskan hidup. Oleh sebab itu saya nekad untuk membuat come back,” kongsinya.

Biarpun dilahirkan di Perak, Suri berkata, pemilihan Negeri Sembilan sebagai lokasi bagi pertunjukan fesyen come back itu juga adalah kerana dia dibesarkan di Senawang dan sehingga kini masih lagi menetap di situ bersama kedua-dua ibu bapanya.

“Saya dibesarkan di Senawang, pernah bersekolah di Seremban dan juga Rembau. Jadi, sudah tentu saya mahu pertunjukan come back ini dibuat di negeri yang cukup bermakna buat saya iaitu Negeri Sembilan,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN