SEJAK kecil, wanita itu tidak pernah bertemu dengan neneknya kerana mereka dipisahkan oleh Laut China Selatan.
Malah, ibunya jarang bercerita tentang nenek walaupun pernah beberapa kali Arisa (bukan nama sebenar) bertanyakan tentangnya.
Disebabkan itu, Arisa yang menetap di Kuala Lumpur tidak pernah lagi mengambil tahu tentang neneknya.
Sehinggalah pada suatu hari, keluarganya dimaklumkan bahawa neneknya sudah meninggal dunia.
“Ketika itu saya masih di tingkatan lima. Ibu mendapat panggilan telefon daripada seorang lelaki yang menggelarkan dirinya sebagai Pak Su.
“Selepas panggilan tamat, ibu terus bergegas mencari ayah. Tidak lama kemudian, ibu menyuruh saya dan adik-adik berkemas untuk pulang ke kampung di Sarawak,” katanya ketika dihubungi Panorama baru-baru ini.
Tambahnya, perjalanan pulang mereka pada hari itu dipermudahkan meskipun pembelian tiket penerbangan dilakukan pada saat terakhir.
Ini juga merupakan kali pertama Anisa pulang ke kampung nenek di sebelah ibunya. Perjalanan pulang ke kampung memakan masa hampir sehari kerana perlu menempuh laluan darat selama empat jam dari lapangan terbang.
Setelah tiba di kawasan kampung, suasana di sana agak sunyi memandangkan hari sudah malam dan penduduk berada di dalam rumah masing-masing.
Apabila sampai di rumah nenek, mereka disambut oleh Pak Su yang datang memeluk ibu sambil menangis.
“Kami dibawa melihat jenazah nenek yang masih belum dikebumikan. Ini kerana, nenek pernah berpesan jika dia meninggal dunia, jasadnya hanya boleh ditanam selepas ibu pulang menziarah terlebih dahulu,” ujar anak sulung daripada tiga beradik itu.
Awalnya, keadaan baik-baik sahaja, namun selepas Anisa melihat jenazah nenek buat kali pertama, dirinya berasa tidak sedap hati.
Ketika mencium jenazah nenek, dia turut berasa seolah-olah ada suara berbisik di telinganya, namun perkataan yang dituturkan tidak jelas kedengaran.
Dalam kesibukan urusan pengebumian, Anisa tidak memberitahu insiden aneh yang terjadi kepada dirinya kepada sesiapa.
Keadaan menjadi lebih aneh ketika pengebumian, di mana Anisa sering melihat kelibat wanita tua dari jauh.
Selepas selesai pengebumian, Anisa dan keluarga memilih menetap sehari lagi untuk membantu menguruskan majlis tahlil.
Awalnya, semua berjalan lancar. Namun begitu, ketika waktu senja dek terlalu penat, Anisa terlelap sebentar di dalam bilik neneknya.
“Ketika itu, saya ada bermimpi didatangi seorang wanita tua yang mirip arwah nenek.
“Wanita itu seolah-olah menunjukkan sesuatu di dalam almari. Dalam almari itu terdapat sebuah kotak kayu kecil,” ceritanya.
Kongsinya lagi, selepas terjaga, dia terus ke almari tersebut dan menemukan kotak kayu berkenaan.
Selepas dibuka, terdapat sebilah keris lama dan sehelai kertas dengan tulisan jawi.
Anisa yang ingin tahu tentang kedua-dua barangan tersebut telah membuka keris berkenaan dan membaca kertas itu.
Selepas itu, Anisa tidak ingat apa yang berlaku. Namun menurut cerita ibunya, dia meracau seolah-olah diserang histeria.
“Ibu cerita saya meracau dengan suara yang berbeza, sekejap tergelak, menangis dan menjerit.
“Orang ramai mula menahan saya daripada meronta-ronta, sebelum Pak Su membawa seorang ustaz datang mengubati saya,” kongsinya.
Keadaan agak kecoh ketika itu, ketika ustaz bertanya tentang siapa makhluk di dalam badan Anisa, ia menjawab bahawa dirinya adalah nenek.
Namun, selepas diasak dengan bacaan ayat suci al-Quran, makhluk itu kemudian mengaku bahawa ia adalah pendamping nenek.
“Makhluk itu cuba mencari pengganti memandangkan tiada lagi waris sah termasuk ibu yang mahu mewarisinya.
“Mengetahui hal itu, ustaz kemudian mengeluarkan makhluk tersebut dari badan saya.
“Ustaz tersebut mengurung makhluk itu di dalam balang kaca yang kemudian ditutup dengan kain putih.
“Saya tersedar selepas semuanya selesai. Kepala saya terasa berat dan badan sakit-sakit.
“Saya bertanyakan apa yang berlaku kepada ibu. Kemudian, ibu menceritakan segala-galanya termasuk sebab utama mereka sekeluarga jarang pulang bertemu nenek di kampung,” katanya.
Selepas insiden itu, tiada lagi suara bisikan dan kelibat nenek tua yang dirasakan oleh Anisa.
Malah, makhluk yang dikurung itu sudah ditanam di dalam tanah agar tidak datang mengganggu lagi.














