fbpx
SITI ASIAH (kiri) menemani anaknya, Muhammad Ammar Danish yang sedang dirawat di wad Hospital Dungun semalam.

‘Saya lega anak selamat, tapi dia hilang 3 rakan serentak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DUNGUN – Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan yang kini dirawat di wad Hospital Dungun di sini masih trauma dan sering mengigau teringatkan tiga rakannya yang terkorban dalam nahas rempuhan kenderaan uti­liti sukan (SUV) Honda CR-V pada Rabu lalu.

Bapanya, Mohamed Ridzuan Mohd. Sharif, 52, berkata, tidur anak keduanya daripada empat beradik tersebut sering terganggu dengan mimpi buruk tragedi berkenaan.

“Semalam (kelmarin) setiap kali dia (Muhammad Ammar Danish) bangun tidur, dia akan dalam keadaan terkejutnya bertanya sahabat-sahabatnya (Khairil Anwar Jamaludin, 20; Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20 dan Muhammad Akmal Md. Tukirin, 25).

“Hari ini (semalam) emosinya semakin stabil tetapi dia masih belum dibenarkan keluar hospital,” katanya ketika ditemui di Hotel UiTM Dungun di sini semalam.

Mohamed Ridzuan berkata, keadaan anak lelakinya yang mengalami beberapa jahitan pada kepala, telinga, kaki dan tumit kini semakin stabil.

Dia yang menetap di Keramat, Kuala Lumpur bercadang untuk memindahkan Muhammad Ammar Danish ke Hospital Kuala Lumpur setelah keadaan anak keduanya semakin stabil kelak.

“Saya bersyukur anak saya terselamat tetapi pada masa sama bersedih dengan kehila­ngan tiga sahabat baiknya.

“Dimaklumkan suspek yang melanggar anak-anak kami telah ditahan. Saya serahkan kepada pihak berkuasa dan pengurusan UiTM tindakan selanjutnya,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Ridzuan dan isterinya bergegas ke daerah ini sebaik menerima panggilan berhubung kecelakaan menimpa anaknya pada kira-kira pukul 9 malam.

Katanya, hatinya lega amat bertemu dengan Muhammad Ammar Danish sewaktu tiba di Unit Kecemasan Hospital Du­ngun pada pukul 4.15 pagi.

“Matanya dibuka perlahan-perlahan sewaktu saya sampai (ke Unit Kecemasan Hospital ­Dungun) dan terus memanggil saya.

“Hati saya lega tetapi pada masa sama sebak melihat pa­kaiannya koyak-koyak akibat kemalangan itu,” katanya.

Sementara itu, isterinya, Siti Asiah Abdullah Sani, 48, memberitahu dia mengenali Khairil Anwar, Ku Adib Aizad Muhammad Akmal sebagai sahabat anaknya.

“Saya juga sekali-kala berborak dengan mereka setiap kali anak saya berhubung dengan saya menerusi panggilan video sewaktu dia berada di kampus,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN