“HAI rang.” Itu merupakan sapaan trademark Noor Fujiah Said setiap kali memulakan video TikTok.
Biarpun loghat Sabah wanita itu pekat, namun pengikutnya rata-rata terdiri daripada warga Semenanjung yang teruja melihat kehidupan hariannya.
Berbekalkan persona lucu dan bersahaja, akaun TikTok suri rumah di perkampungan atas air itu berjaya mengumpul 21,800 pengikut setakat ini.
Wanita berketurunan Bajau Suluk itu tinggal bersama keluarga kecilnya di Kampung Pondo, Pulau Gaya, Kota Kinabalu, Sabah.
Menurut wanita berusia 30 tahun itu, ‘kariernya’ sebagai pembuat kandungan bermula secara tidak sengaja selepas video-videonya viral sejak Ogos lalu.
“Rata-rata pengikut saya teruja melihat kehidupan sebenar masyarakat Borneo yang berbeza daripada sangkaan mereka.
“Kebanyakan masyarakat memiliki streotaip bahawa orang pulau di Sabah ini mundur, miskin dan tidak beridentiti.
“Saya pernah diminta untuk menunjukkan kad pengenalan oleh netizen yang menyangka saya pendatang asing tanpa izin,” katanya ketika dihubungi K2 baru-baru ini.
Untuk pengetahuan, etnik Bajau Suluk merupakan keturunan hasil perkahwinan antara etnik Bajau Laut dan Suluk.
Bajau Laut merupakan pelaut nomad yang secara tradisinya tinggal di perairan di sekitar Borneo, Filipina dan timur Indonesia.
Sementara, orang Suluk yang juga dirujuk sebagai Tausug merupakan kumpulan etnik berasal dari Kepulauan Sulu di selatan Filipina.
Dalam beberapa dekad kebelakangan ini, sebahagian daripada etnik tersebut telah beralih kepada gaya hidup menetap sama ada di atas air atau darat.
Kongsi Noor Fujiah, antara identiti Bajau Suluk yang tidak diwarisinya adalah kemahiran berenang kerana mereka sekeluarga tinggal di darat.
“Ramai menyangka semua yang tinggal di rumah atas air ini mesti pandai berenang. Tetapi saya dan anak tidak begitu.
“Sebab itu, saya sediakan kolam kecil yang diisi dengan air laut untuk anak berenang di kawasan rumah,” katanya.
Pada asalnya, Noor Fujiah dibesarkan di Kampung Lokub, Sepanggar.
Namun, hatinya telah terpaut pada pemuda bernama Abdul Salam Mukaran yang juga merupakan anak pulau.
Sejak bernikah pada 2018, anak sulung daripada tujuh beradik itu telah berpindah ke rumah suaminya yang terletak di tengah laut.
Suaminya yang juga merupakan etnik Bajau Suluk tinggal di lautan dengan bekerja sebagai tukang cuci di pusat beli-belah, Suria Sabah.
Sebagai seorang yang bukan dilahir di pulau, pengalaman tinggal di persekitaran laut memberinya cabaran baharu terutama keadaan cuaca.
Kebiasaannya, penduduk akan menyewa rumah atau tinggal bersama keluarga di daratan selama beberapa hari sekiranya cuaca buruk.
Jelas Noor Fujiah, keadaan angin dan ombak kuat pada musim tengkujuh boleh menerbangkan atap serta dinding rumah penduduk kampung.
“Pada tahun lepas, sebanyak 10 buah rumah di kampung ini runtuh dan ranap diterbangkan badai.
“Namun, setelah keadaan reda, penduduk kampung bersama-sama membina semula rumah dalam masa tiga hari sahaja,” katanya.
Selain Kampung Pondo, Pulau Gaya turut dikelilingi perkampungan lain seperti Kampung Pulau Gaya, Kampung Pasir Putih dan Kampung Lok Urai.
Namun, Kampung Pondo merupakan satu-satunya perkampungan di pulau tersebut yang tidak memiliki elektrik dan sumber air bersih.

Penduduk kampung masih menggunakan generator sebagai sumber elektrik pada waktu malam, sementara bekalan air bersih dibeli daripada sumber luar.
Jelas ibu kepada seorang cahaya mata itu, enjin generator di rumahnya akan dihidupkan bermula pukul 6 petang sehingga 5 pagi.
“Setiap 1.5 liter minyak tanah yang dimasukkan ke dalam enjin boleh bertahan selama empat jam.
“Dalam sehari, kami memerlukan lebih kurang tiga hingga empat botol minyak tanah untuk menerangi malam,” ujarnya.
Sebagai pencipta kandungan, bateri telefon cukup penting terutamanya ketika membuat siaran langsung pada waktu siang.
Bagi memastikan bateri telefon tidak habis, pemilik akaun TikTok, JiaTiara itu akan mengecas menggunakan power bank berkapasiti 20,000 mAh.
Dengan cara itu, Noor Fujiah mampu mengecas telefon bimbitnya sebanyak empat atau lima kali pada waktu siang.
Antara kandungan yang dikongsi adalah dekorasi rumah, masakan masyarakat Sabah serta realiti kehidupan di pulau.
Katanya, ada pengikut pernah memintanya melakukan house tour kerana ingin melihat suasana rumah di atas air.
“Rumah saya sederhana sahaja tetapi saya suka buat dekorasi.
“Rumah ini ada satu bilik tidur dan dapurnya bersambung dengan ruang tamu.
“Paling unik adalah tandas kami, di mana lubangnya terus ke dalam laut. Jadi, sambil buang air, boleh nampak ikan berenang di bawahnya,” katanya.
Berkongsi tentang kemudahan di kampung berkenaan, Noor Fujiah mendedahkan, kampungnya memiliki sebuah kedai runcit.
Namun, sekiranya ingin membeli bahan basah seperti daging atau ayam, mereka perlu menaiki bot dengan tambang sebanyak RM3 untuk ke Terminal.
Setibanya di Terminal, penduduk akan membeli-belah di Pasar Besar Kota Kinabalu dan menyimpan barangan basah di dalam ice box.
Sementara itu, Noor Fujiah berkata, terdapat pihak yang menghantarkan sampel barang untuk diulas di dalam akaun TikTok miliknya.
“Biasanya, saya akan guna alamat tempat kerja suami di darat atau alamat pejabat pos utama untuk mereka yang ingin menghantar barang.
“Secara umumnya, kehidupan kami sama sahaja dengan orang lain.
“Saya mahu tunjukkan kepada orang ramai tentang kehidupan kami agar stre-otaip dan prejudis terhadap etnik Bajau Suluk boleh diperbetulkan,” katanya.














