CAHAYA matahari menyinari kehijauan Bukit Batu Pahat, Kuala Kubu Bharu, Selangor dari ketinggian 426 meter.
Di depan penulis, terbentang luas trek larian paragliding yang seakan-akan balapan dengan penghujungnya adalah gaung.
Saat juruterbang memberi isyarat untuk berlari, penulis terus menarik diri ke hadapan sebelum terbang ke udara.
Penting untuk peserta tidak teragak-agak. Bahkan, mereka perlu terus dalam aksi berlari biarpun kaki tidak lagi mencecah tanah.
Sekiranya larian peserta terhenti secara tiba-tiba, ia dikhuatiri mampu ‘menarik’ juruterbang dan peserta jatuh ke dalam gaung.
Sebaik sahaja terbang di langit, pandangan di daratan kelihatan kecil dengan angin mula menyapa pipi.
Jangan terkejut sekiranya juruterbang tiba-tiba membuat pergerakan drastik bagi menambahkan lagi rasa keterujaan ketika terbang.
Penerbangan selama lima hingga 10 minit itu terasa sekejap, sebelum pendaratan dibuat di padang sebuah sekolah.
Pengalaman tersebut diperoleh penulis menerusi khidmat KKB Paragliding Park dengan kerjasama Tourism Malaysia bagi memperkenalkan produk pelancongan di Selangor.
Pengasas KKB Paragliding Park, Nazri Sulaiman berkata, had berat peserta untuk penerbangan bersama juruterbang adalah 120 kilogram (kg) bagi tandem (dewasa) dan lebih kurang 70kg bagi triplet (dewasa dan kanak-kanak).
“Selain berat, kita juga akan lihat ketinggian dan keadaan tubuh peserta bagi memastikan sama ada mereka sesuai untuk melakukan penerbangan atau tidak.

“Sekiranya perkara ini tidak dititikberatkan, ia dikhuatiri akan menimbulkan risiko ketika penerbangan (take off) mahu dibuat,” katanya.
Untuk rekod, KKB Paragliding Park telah ditubuhkan pada 2014, sebelum dikomersialkan sepenuhnya pada 2018 untuk paragliding tandem.
Aktiviti tersebut diselia oleh Cloudbass Venture dan diperakui oleh Majlis Perbandaran Hulu Selangor.
Setakat ini, KKB Paragliding Park memiliki lima juruterbang sepenuh masa dan lapan juruterbang separuh masa.
Kesemua juruterbang telah melalui lima tahap pensijilan sebelum diberi kepercayaan untuk mengendalikan paragliding tandem.
Nazri yang berusia 46 tahun berkata, waktu paling baik untuk melakukan aktiviti paragliding adalah pada sebelah pagi sepanjang April hingga November.
“Kalau ikutkan sepanjang tahun kecuali bulan Disember hingga Mac tidak sesuai untuk melakukan aktiviti paragliding atas faktor cuaca.
“Untuk peluang penerbangan lebih besar, peserta dinasihatkan datang pada sebelah pagi seawal pukul 9,” katanya.
Bagi yang memiliki masalah kesihatan, mereka dinasihati supaya mendapatkan nasihat pakar sama ada sesuai untuk melakukan aktiviti tersebut atau tidak.
Ini bagi mengelakkan berlakunya perkara tidak diingini ketika melakukan penerbangan.
Orang ramai yang berminat melakukan aktiviti itu dinasihatkan menempah slot di laman web rasmi KKB Paragliding Park terlebih dahulu berbanding walk-in.
















