PADA hari minggu itu, Maya (bukan nama sebenar) perlu masuk ke pejabat untuk mengambil dokumen-dokumen yang perlu dibaca dan ditandatanganinya.
Ketika Maya melangkah masuk ke lobi pejabat, keadaan sunyi sepi dan hanya ada seorang pengawal keselamatan sedang duduk di tepi pintu masuk.
Nombor lif menunjukkan dia berada di tingkat lima, Maya menekan nombor butang ke atas sambil membelek-belek telefon bimbitnya.
Ketika pintu lif terbuka, wanita berusia 45 tahun itu berasa seperti terdapat angin kuat bertiup kencang seakan-akan menolaknya ke dalam lif.
Ujar Maya, dia menyangka angin kuat tersebut dari luar kerana ketika itu cuaca mendung.
“Sewaktu saya melangkah masuk ke pejabat, cuaca memang mendung. Jadi, saya tidak fikir sangat apabila ada angin kencang.
“Cuma bulu roma saya naik sekejap sebab angin itu memang kuat. Seperti ada yang cuba tolak saya masuk ke dalam lif,” katanya kepada Panorama.
Wanita yang memegang jawatan sebagai ketua pegawai operasi itu terus menekan panel nombor 10 dan lif bergerak ke atas.
Anehnya, lif tidak berhenti di tingkat 10, sebaliknya terus ke atas melepasi beberapa aras di bangunan itu.
Dalam kebingungan, Maya menekan butang tingkat 10 sekali lagi, tetapi lif terus naik ke tingkat yang tidak wujud.
Jelas wanita kacukan Cina-Melayu itu, nadinya berdegup kencang.
Dia cuba untuk menghubungi orang luar untuk mendapatkan bantuan, tetapi telefonnya tidak ada ‘line’.
“Saya sudah mula diserang rasa cemas. Saya terasa macam ada makhluk hitam sedang pandang saya dari satu sudut di atas lif.
“Saya duduk mencangkung dan menangis sambil membaca surah-surah yang terlintas dalam fikirannya. Mata saya pejam rapat-rapat,” katanya.
Tiba-tiba lif berhenti dan pintu lif terbuka, Maya yang berada dalam keadaan takut melihat ke luar menggunakan ekor matanya.
Keadaan di luar lif seakan-akan di kawasan parkir kereta yang gelap-gelita.
Sekali lagi, angin kuat bagaikan menolak badan Maya. Namun kali ini, dia hanya ‘mengeraskan’ diri sambil membaca ayat suci al-Quran. Setelah angin lalu, pintu lif kembali tertutup dan pergerakan lif kembali ke bawah menuju ke tingkat 10.
Enggan lagi memikirkan hal kerjanya, Maya segera menekan butang G untuk ke lobi agar dia boleh keluar daripada lif itu dengan segera.
“Sewaktu saya sampai di lobi, saya segera berlari ke kereta. Saya dapati pengawal keselamatan sudah tidak ada.
“Ketika mengadu dengan seorang rakan, baru saya tahu tiada pengawal keselamatan yang bertugas hari minggu.
“Terkejut saya mendengarnya. Sehingga hari ini, saya tidak akan datang pejabat pada hari minggu lagi,” ujarnya.














