LIPIS – Durian bersaiz besar dengan anggaran berat antara lima hingga tujuh kilogram sebiji milik Tok Batin Kampung Bukit Long Pos Sinderut dekat sini menjadi tarikan penggemar raja buah.
Bukan hanya kerana saiz yang besar tetapi ia memiliki rasa manis, berlemak, berwarna krim dan beraroma.
Batin Manzurizal Manang, 43, berkata, dia bertuah apabila pokok induk daripada varieti durian tembaga Pahang yang ditanam datuknya sekitar tahun 1950-an masih mampu mengeluarkan hasil yang banyak.
“Sebelum ini setiap kali musim durian, pokok induk mampu mengeluarkan kira-kira 200 biji dengan berat lebih lima kilogram sebiji.
“Durian ini memiliki lima pangsa dan setiap pangsa mempunyai antara enam hingga lapan ulas. Sesetengah orang hendak habiskan seulas durian pun jenuh sebab isi tebal dan ulasnya yang besar,”katanya ketika ditemui di Kampung Bukit Long, Pos Sinderut di sini baru-baru ini.
Manzurizal berkata, dia juga telah menyemai semula biji benih dari pokok induk dan kini 10 pokok telah mengeluarkan hasil dan buah durian masih lagi ada.
Menurut Manzurizal, setiap kali musim durian, buah miliknya itu habis ditempah para penggemar khususnya daripada guru sekolah berhampiran.
“Saya menjual dengan harga RM4.50 sekilogram dan ada juga penduduk Orang Asli di sini membeli durian saya kemudian menjual di sekitar pekan Sungai Koyan dan Bandar Raub.
“Sebelum ini pemborong dari luar memborong durian milik Orang Asli di sini, namun ekoran cuaca tidak menentu dan hasil buah juga kurang menjadi pada kali ini maka kami hanya menjual kepada penduduk kampung sekitar sahaja,”ujarnya.
Dalam pada itu dia memberitahu, fokus utamanya kini adalah menanam lebih banyak pokok durian kampung kerana mudah dijaga serta tidak memerlukan kos yang tinggi untuk membeli baja dan racun bagi mendapatkan pokok berkualiti.
















